Rasuah: Pendakwa Akui Kesilapan Dalam Tuduhan Rasuah Khir Toyo

0
218

Rasuah: Pendakwa Akui Kesilapan Dalam Tuduhan Rasuah Khir Toyo



Pihak pendakwaan dalam perbicaraan rayuan kes rasuah Dr Mohd Khir Toyo hari ini mengakui terdapat kesilapan dalam tuduhan rasuah terhadap bekas Menteri Besar Selangor itu. Timbalan pendakwa raya, Mohd Masri Daud berkata perkara itu hanya disedari pihak pendakwaan apabila kes masuk ke peringkat rayuan.

“Bagaimanapun, ia tidak bermaksud pasukan pembelaan ditipu atau berlakunya kesilapan mahkamah (miscarriage of justice),” kata Masri kepada Mahkamah Persekutuan, Isnin. Masri berkata, Khir juga adalah pengerusi Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) semasa menjadi menteri besar.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah sebelum ini membangkitkan bahawa anak guamnya dituduh menyalah guna kedudukan sebagai menteri besar untuk mendapatkan tanah dan hartanah di bawah harga pasaran.
Bagaimanapun perbicaraan itu merujuk kedudukan Khir sebagai pengerusi PKNS, lapor portal berita Malaysiakini. Shafee menegaskan, pihak pendakwaan tidak meminda pertuduhan sepanjang perbicaraan dan menuduhnya sebagai seorang bekas menteri besar dan itu mewujudkan kesan prejudis terhadap Khir untuk mendapatkan perbicaraan yang adil.

Shafee mendakwa, ia juga menafikan hak anak guamnya untuk memanggil saksi tambahan bagi tujuan pembelaan.

“Atas perkara ini anak guam saya patut dibebaskan daripada pertuduhan,” kata Shafee. Khir sebelum ini disabitkan bersalah oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam dan dijatuhkan hukuman 12 bulan penjara. Mahkamah Rayuan mengekal sabitan dan hukuman itu. Rayuan Khir hari ini didengar di Mahkamah Persekutuan di hadapan lima panel hakim diketuai oleh Ketua Hakim Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinuddin.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here