Perdana Menteri atau Menteri Kewangan?

0
139

Bolehkah Perdana Menteri Memegang Dua Jawatan Sekaligus? 

Bekas Menteri Kewangan Malaysia dalam satu laporan berkata, sudah tiba masanya Perdana Menteri Malaysia, Najib Razak melepaskan salah satu jawatan yang disandangnya untuk lebih fokus sama ada menjadi Perdana Menteri atau Menteri Kewangan. 

Dewan Parlimen semalam kecoh selepas perdebatan mengenai sama ada PM Najib harus terus memegang portfolio kewangan tersebut. 


Bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah dan Daim Zainuddin pernah berkata bahawa Perdana Menteri tidak sepatutnya memegang jawatan Menteri Kewangan. Dalam satu surat terbuka kepada semua ahli dewan parlimen tersebut, Tengku Razaleigh berkata Putrajaya haruslah bersikap sensitif terhadap faktor-faktor yang boleh menyebabkan kejatuhan ekonomi negara, termasuklah undang-undang seperti Akta Rahsia Rasmi serta Akta Universiti dan Kolej Universiti. 

 
Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong dari DAP berkata, seorang Menteri Kewangan penuh amat diperlukan untuk memberi tumpuan 100% terhadap cabaran ekonomi yang dihadapi negara sekarang ini. Dengan kenaikan kos sara hidup yang semakin tinggi dan beban hutang negara yang dilihat hampir ke had siling 55% menampakkan kegagalan Najib sebagai Menteri Kewangan. 


Ahli Parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar pula berkata bukan sahaja tugas Najib kelihatan bertindih tapi keupayaan beliau sebagai Menteri Kewangan juga boleh dipersoal. Mahfuz menambah lagi, nasihat yang diberi oleh Tengku Razaleigh dan Daim harus dipandang serius kerana pengalaman mereka dalam menguruskan kewangan negara. Mahfuz berkata Najib seharusnya mencari sumber kewangan yang baru untuk menyuntik ekonomi negara dan bukannya membebankan rakyat dengan pelbagai cukai. 


Namun, ahli Parlimen Lenggong, Shamsul Anuar berkata ekonomi negara stabil kerana kepimpinan Najib. Menurut beliau, parti Barisan Nasional terbuka dalam menerima pandangan dari pelbagai pihak dan dipertimbang untuk kebaikan bersama sambil mempersoal tindakan kerajaan negeri Pulau Pinang yang memecat salah satu exco kerana menegur kerajaan negeri. 


Bukan sahaja dalam dewan parlimen, tapi di media sosial juga sudah tentu perdebatan terjadi antara kedua-dua penyokong mahupun yang di atas pagar. Tetapi, yang sudah pasti menjadi mangsa adalah rakyat sendiri yang terbeban atas ekonomi yang lemah dan kuasa membeli yang semakin berkurangan. Sama ada penyokong BN mahupun PR ataupun atas pagar, bagi rakyat marhaen, masing-masing pasti terkesan dengan keadaan ekonomi semasa. 


Amalan Perdana Menteri memegang jawatan Menteri Kewangan bermula pada tahun 1997 selepas bekas Perdana Menteri Dr Mahathir memecat Anwar Ibrahim dari jawatan Menteri Kewangan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here