Jangan Cuci Cawan Anda Di Pejabat, Ini Sebabnya!

Agaknya kalau anda di pejabat anda jenis yang mana: sentiasa pastikan mug di pejabat sentiasa dicuci atau suka ‘peram’ mug anda dan dibiarkan tak bercuci? Kalau bagi saya pula memang akan peram mug kemudian basuh dengan air panas dan lap pakai tisu. 
Fakta ini mungkin menyebabkan anda terkejut dan rasa ‘annoying’ namun itulah kebenarannya. Menurut satu laporan dalam Wall Street Journal, sebenarnya tidak mencuci mug bukan satu kesalahan atau menampakkan anda pengotor. Malah ia dianggap satu perbuatan yang wajar dan juga OK! Mengapa pula?
Sebenarnya, mencuci mug di pejabat adalah satu tindakan yang paling tidak bersih. Ini kerana anda akan berkongsi span pencuci dengan ramai pengguna lain di situ. 
“Span di pantri pejabat adalah benda yang paling banyak kuman, berbanding barangan lain di pejabat,” yang dipetik dari Nymag. 
Malah, mencuci dan menggosok mug anda menggunakan span di pejabat, boleh menyebabkan kuman daripada orang lain berjangkit kepada anda!
Oleh itu, anda tak perlu mencuci mug anda sekiranya:
1. Asalkan anda tidak berkongsi mug tersebut dengan orang lain di pejabat
2. Asalkan mug anda tidak berkulat dan berbau busuk.
Bagaimanapun, masih sukar terima fakta mug tak perlu dicuci kan? Jika anda masih ingin mencuci mug anda di pejabat, cukup dengan membilasnya dengan air panas. 
Atau jika masih mahu juga mencucinya, gunakan span pencuci anda sendiri atau ‘panaskan’ seketika span dalam ketuhar gelombang mikro!

“Ayahku Seorang Security Guard Dan Berkorban Untuk Aku Masuk Uni”

Mungkin bagi sesetengah orang, konvokesyen hanya dianggap sebagai sebuah majlis keraian bagi mahasiswa yang telah tamat pengajian di universiti. Namun, bagi sesetengah individu, konvokesyen dianggap begitu penting sekali dan merupakan detik sekali seumur hidup yang tidak boleh dilepaskan. 

Inilah masanya untuk ibu bapa dengan bangganya menyaksikan anak mereka naik ke pentas untuk menerima segulung ijazah, hasil daripada penat lelah dan usaha selama bertahun-tahun sepanjang melanjutkan pelajaran di universiti. 

Seorang graduan UTP, Nizam Mustapha melalui Instagram menceritakan sebuah kisah sebak di mana ibu bapanya sanggup bersusah payah membiayai pelajarannya selama ini walaupun hidup susah. Sediakan tisu bebanyak…
My family’s background bukanlah drpd golongan berharta & berduit. Since I was kid, hidup hujung bulan beras habis, ataupun kasut @ baju sekolah pakai sampai lusuh sbb tak mampu nak beli baru. Teringin nak join pengawas or librarian, tp letak tepi ja hasrat tu sbb tak cukup nak beli uniform baru. 
Even when I received my offer letter to pursue my studies in UTP, fikir banyak kali sampai gaduh dgn Abah sbb last minute buat decision masuk UTP instead of IIUM. Some even asking my mum either our family capable enough to pay my fees in private university. Kekadang Mak sanggup tebalkan muka meminjam semata untuk anak..
When I was in Foundation 2nd Semester, I need to pay almost RM5,000 to pass and take my examination slip. I need to pay by at least 50%. Cuba bayangkan dalam masa dua minggu, Aban kena cari RM2,500. Masa tu Abah suruh extend satu lagi semester sebab tak mampu nak bayar.



Masa tu jugak, Mak ada tanya some of her siblings nak pinjam RM2,500, my sister also ada tanya her boss if she can borrow RM2,000. Deep down saya stress sangat waktu tu, sedih tengok Mak mintak duit sana sini.

So as a conclusion, I ada mintak tolong my friend, her name is Alia Shahrudin. Abah dia sanggup bagi pinjam duit dia dulu. Jujurnya, I rasa malu gila sebab terpaksa pinjam daripada kawan.
Masa join UTP dulu pun waktu orientation ada berborak dengan senior, even senior tu pun terkejut mcm mana seorang Security Guard boleh decide utk anak dia sambung study dekat private university. Ada jugak gtau abah benda ni, tp Abah rilex ja, katanya selagi dia mampu, jgn fikir pasal duit..
Saya tak pernah kisah pun nak masuk UTP, sebab saya tahu UTP tu universiti swasta dan yurannya mahal. Tapi Abah tetap suruh saya apply. Alhamdulillah, saya dapat panggilan dari UTP. Sebelum masuk, saya kena pergi interview dulu. Masa tu Abah sanggup sewa kereta dan dan hantar saya ke Tronoh pada pukul 12 malam.

Selepas interview pada pagi tersebut, kami terus pulang ke rumah. Abah tak mampu nak sewa bilik hotel. Abah suruh saya masuk UTP sebab katanya UTP ni bagus, dan bukan semua orang boleh masuk.


Tapi pada masa yang sama, saya dapat tawaran dari UIAM. Ikutkan hati, saya memang nak masuk UTP, tapi disebabkan duit, saya cakap kat Abah yang saya nak masuk UIAM. Bergaduh juga saya dengan Abah waktu tu. Abah cakap jangan risau pasal duit sebab dia mampu nak tanggung segala kos saya di UTP.
Tapi saya tahu Abah mesti akan struggle nak cari duit sebab sejak kecil pun, saya nak masuk sekolah pun susah, inikan pula private university. Nak tahu apa Abah buat? Abah ada ambil pinjaman bank sebab nak renovate rumah, but you know what, he gave me half of the money untuk saya bayar yuran di UTP.

Saya masih ingat lagi macam mana orang kecam Mak saya. Sampai ada yang cakap “Ada harta ke nak gadai untuk tanggung yuran kat UTP tu?”
Last Sunday during my convocation, after i received my scroll, Mak text aku tanya: “Abang nak bunga ke? Mak dah tanya dah tp RM 100, Mak tak mampu Bang”. Sebak sungguh bila Mak masih lagi fikir nak belikan bunga during my convocation. That moment when both of your Abah & Mak berjaya tanggung kau sampai ke Menara Gading..
To all students out there, either you’re rich or sebaliknya, make both of your parent proud of you. Dont you even try to flip around during your student life, strive as you can. Tak semua mampu berada dgn apa yg kita ada skrg, so be grateful and ingat abah & mak So i dedicated this Degree to Mak & Abah

Kisah Dua Beranak Mampu Makan Nasi Putih Dan Kuah Kosong

Agak sedih bila baca kisah dua beranak ini. Bantulah sesama kita dan ingatlah jika diri ini rasa susah, masih lagi ada yang susah dari kita. Bersyukurlah. Kisah ini dipetik dari Info Ibu Hamil

Ni citer beberapa hari lepas masa cod barang, saya singgah di sebuah warung makan sebab anak saya ni dah menjerit2 dahaga nak minum air. Masa duduk dalam warung tu saya perasan ada seorang lelaki tua dengan sorang budak lelaki sebaya umur anak saya mungkin dalam 4 tahun gitu.


Lelaki tu nampak selekeh sangat , kaki tangan hitam berminyak , baju seluar kasut lusuh mungkin orang susah so nampak uzur je. Budak lelaki tu pun kurus sangat, nampak terketar2 mungkin lapar sangat agaknya.

Saya perhati je dua beranak tu, si ayah pegang pinggan berisi nasi putih bersama anak kehulu kehilir depan lauk2 atas tray makanan. Dua beranak tu memang menarik perhatian semua orang dalam kedai tu, tak kurang juga ada yang pandang sinis seolah2 geli tengok mereka yang kotor. Astaghfirullah.

Hati ni dah rasa semacam, air saya dah lama habis tapi masih melekat bontot saya nak duduk kat situ, leka saya duk perhati ayah lama berdiri depan lauk tapi tak jugak ambil2 lauknya. Anak pula duk tunjuk2 lauk sotong. Mungkin nak makan sotong agaknya.

Last2 si ayah ni ambik kuah je. Nasi putih dengan kuah kosong, jangankan lauk sotong, satu ketul lauk dia tak ambil pun, takde lauk langsung. Anak ni diam je tak cakap apapun bila ayah dia suruh duduk makan nasi kosong dengan kuah semata2.

Masa tu Allah je tahu camana perasaan saya bila tengok dua beranak tu makan nasi putih sepinggan dengan kuah kosong. Air memang takde. Lagi sedih si ayah ni tak jamah pun, duduk sebelah je tengok si anak ni makan. Ayahnya cuma kutip nasi yang tumpah tepi pinggan anak je suap ke mulut sendiri. Sayu hati tengok.

Ya Allah..

Time tu jugak mengalir air mata saya, sebaknya tak payah cakap la. Susahnya hidup mereka. Kita rasa hidup kita dah susah, rupanya ada lagi orang yang lebih susah dari kita.

Sedih tengok dua beranak tu, saya pun ke kaunter minta pembantu kedai letakkan nasi sepinggan dengan lauk2 sekali. Adalah sikit sotong, ikan bakar , sayur, telur mata dengan lauk lain. Kemudian saya minta pembantu kedai tu hantar nasi tu ke meja 2 beranak tadi.

Mulanya lelaki tu nampak terkejut, saya dengar dia kata tak nak sebab takde duit nak bayar , tapi pembantu kedai tu kata, ambil laa ada orang belanja. Si anak ni panjang leher2 duk tengokk je nasi penuh lauk, tapi sikit pun tak merengek kat ayah mintak nak makan. Last2 ayah tu amik jugak nasi tu.

Saya dah berjalan menuju ke kereta, dalam kereta saya perhati lagi 2 beranak tu dari jauh. Terkejut saya, bila tengok lelaki tu menangis. Kepala dia tunduk je ke meja. Tangan duk kesat2 air mata, sesekali dia gosok cium kepala anak yang tengah makan nasi tadi.

Ya Allah lagi la sebak dada tengok lelaki tu menangis sambil peluk anak dia. Bagi saya air mata lelaki kalau gugur membasahi pipi adalah air mata yang sangat2 jujur.

Bayangkan..

Sampai anak saya tanya, mama kenapa mama nangis, ayyad tak naughty lagi, soryy mama.
Saya terus peluk kedua2 anak saya sambil menangis.

Sedih,

Bersyukurla dengan apa yang kita ada sebab bukan semua orang dapat rasa nikmat kesenangan. Kita susah, ingat.. ada lagi insan lain yang jauh lebih susah dari kita. Semoga Allah memelihara kedua beranak itu.

Jamal “Baju Merah” Ditumbuk Ketika Cuba Rempuh Polis

Pemimpin Baju Merah Datuk Seri Jamal Md Yunos berdarah pada hidungnya selepas dia didakwa diserang dan ditumbuk dalam kejadian di Ampang pada Ahad.
Kejadian berlaku ketika Jamal bersama pengikutnya mengekori Anggota Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin yang sedang mempromosikan perhimpunan BERSIH5 di pusat beli-belah Ampang Point.
Sejurus kemudian berlaku pergelutan dan ketika itulah muka Jamal didakwa ditumbuk pihak tidak diketahui.

Dalam video itu Jamal dilihat menjerit “Polis tumbuk saya!” berkali-kali. Akan tetapi ketika ditemui media selepas itu Jamal berkata seorang daripada “budak Zuraida” telah memukulnya.

Lelaki Ugut Hantar Santau Jika Tidak Ikut Kehendak Nafsu

Seorang lelaki muda sanggup mengugut mahu menyihir seorang gadis jika kemahuannya tidak dituruti.


Lelaki yang menggunakan nama Man Eni Tan di laman Facebook sebelum itu telah meminta mangsa, Bear Bear, melayani nafsunya.

Mangsa pada awalnya berpura-pura melayani lelaki terbabit yang menyuruhnya masuk ke dalam bilik dan dipercayai meminta gambar bogelnya.

Namun, mangsa yang juga pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) enggan berbuat demikian, menyebabkan lelaki itu mula berang dan mengugut mahu menyihirnya dengan bantuan seorang dukun.

“Awak tunggu, saya santau awak malam ini. Dukun itu dah dapat gambar awak. Nanti kira berapa ekor ulat bulu dalam perut awak.

“Saya dah minta bagus-bagus, layan saya dan tunjukkan pada saya apa yang saya nak dalam (Facebook Messenger) ini sahaja. Habis layan saya, saya padam akan padam kesemuanya dan cakap awak nak apa dan saya akan pos ke alamat rumah awak.

“Tetapi awak menolak dan memerli saya. Awak tunggu,” katanya.
Mangsa bagaimanapun tidak takut dengan ancaman lelaki itu, lalu memuat naik beberapa gambar perbualan mereka di laman Facebooknya sebagai peringatan kepada netizen khususnya kaum hawa agar berhati-hati dengan lelaki berkenaan.

“Subhanallah, jahilnya seorang lelaki ini menggunakan dukun untuk mengugut saya untuk melayani kehendak seksnya. Hidup dan mati hanya Allah yang tentukan. Hati-hati dengan lelaki ini ya bagi kaum hawa,” katanya.
Sementara itu netizen juga menasihatkan agar mangsa membuang segala gambar selfienya di laman Facebook dan tidak lagi memuat naik gambar-gambar seumpama itu bagi tujuan keselamatan diri.

“Itulah, lain kali jangan upload gambar kita. Senang-senang saja orang nak buat benda syirik ini dengan gambar kita. Tetapi kaum hawa ini nak juga upload konon-konon cantik bagai. Bila dah kena, mulalah takut,” kata Radin Nor Izham.

Meskipun ugutan Man Eni Tan itu nampak tidak realistik, selain nampak kesanggapan yang melampau serta kebudak-budakkan, kaum hawa perlu berhati-hati bagi menghindari perkara yang tidak diingini berlaku.


Minyak Terpakai, Patut Dibuang Atau Masih Boleh Diguna?

Apa akan jadi jika anda menggunakan minyak yang sama untuk menggoreng berulang kali? Pendek kata, nak jimat punya pasal, sanggup menggunakan minyak yang sama sehingga hitam pun ada!
Masalah yang terjadi pastinya melibatkan kesihatan badan. Ini kerana kajian mendapati minyak yang diguna berulang kali menyebabkan kehadiran radikal bebas. Bahanyanya radikal bebas ini bila ia akan bergabung dengan sel yang sihat dan akhirnya menyebabkan pelbagai penyakit. 
Ini termasuklah peningkatan kolestrol jahat dalam saluran darah, sakit jantung dan tak terkecuali kanser!
Berikut merupakan antara kesan sampingan lain menggunakan minyak terpakai:


1. Asid dalam badan
2. Sakit jantung
3. Alzheimer dan Parkinson
4. Sakit tekak
Jadi, persoalannya berapa kali sahaja minyak yang sama boleh digunakan?

Pakar nutrisi Priya Kathpal berkata, tiada angka tertentu untuk memastikan minyak itu boleh digunakan berulang kali. Ini kerana ia bergantung kepada jenis minyak, berapa lama ia dipanaskan, adakah ia digunakan untuk gorengan sedikit atau bagaimana, jenis makanan yang digoreng dan sebagainya.
Walaupun menggunakan minyak baharu setiap kali adalah sangat baik, namun ia dilihat kurang praktikal. Ini bermaksud, minyak masih boleh digunakan berulang kali namun haruslah berpada-pada.
Priya memberi tips untuk anda yang ingin menyimpan dan menggunakan minyak terpakai:
1. Pastikan minyak benar-benar telah sejuk dan masukkan ke dalam bekas yang bertutup rapat. Cara ini akan mengasingkan sisa makanan daripada minyak dengan lebih berkesan.
2. Pastikan minyak yang diguna semula tidak berwarna gelap dan tesktur yang pekat. Jika ia telah berwarna gelap dan menjadi pekat, merupakan petanda minyak tersebut harus dibuang. 
3. Jika minyak yang dipanaskan mengeluarkan asap dengan banyak lebih daripada biasa, hentikan segera penggunaannya. Ia mungkin telah mengandungi toksin yang menyebabkan pelbagai penyakit seperti strok, penyakit hati dan sebagainya

Wanita Ini Kongsi Pengalaman Melucukan Kahwin Ketika Belajar

Kahwin muda macam dah jadi ‘trend’ pula sekarang ini, dan pastinya ada di kalangan kawan-kawan kita ada yang masih belajar lagi sudah pun mendirikan rumah tangga.
Banyak antara kita yang memang mempunyai impian untuk segera berkahwin dengan cinta hati masing-masing bila melihat kebahagian yang dipamerkan pasangan muda ini. Dalam hati mesti terdetik, “Wah, seronoknya dapat buat segala-galanya berdua”, kan?
Namun, perkongsian dari seorang wanita yang menggunakan nama sebagai Imanabdulrahim di Instagram ini mampu mengubah persepsi anda dan angan-angan mahu mendirikan rumah tangga ketika masih menuntut di universiti.
Paling kelakar bila dia menyenaraikan benda yang tidak seronok tentang berkahwin ketika masih belajar.

Pertama, dia kena buat “assignment” dua kali ganda, termasuk “assignment” suaminya sekali. Biasalah, dalam rumah tangga mestilah memerlukan kerjasama dan saling tolong-menolong.
Seterusnya, wanita ini merasakan dia kena selalu bersaing dengan suami untuk mendapat keputusan yang lebih cemerlang dari pasangannya. Perkara ini sebenarnya boleh menjadi sesuatu yang positif kerana ia merupakan sebuah persaingan yang sihat untuk lebih berusaha memajukan diri sendiri.
Tambahnya lagi, masing-masing perlu berkorban dan berjaga malam untuk menemani pasangan melengkapkan projek tahun akhir mereka. Lagi kelakar, bila wanita ini terpaksa pergi juga ke dalam kampus walaupun kelasnya batal untuk menjemput suami pulang dari kelas.
Kena jadi pembantu peribadi dalam memastikan suaminya tidak tertinggal barang-barang seperti buku nota, bekas pensel, slip peperiksaan dan lain-lain lagi. Iman kata lagi yang dia dan suami tidak boleh berpegangan tangan dan bermesra di dalam kampus sebab kena ‘cover’, takut orang kata berlebih-lebih pula.
Apa yang paling melucukan bila Iman meluahkan yang, “Bila bergaduh, suami lagi suka pergi belajar, sebab katanya belajar lagi senang dari pujuk isteri.” Antara komen dari rakan-rakan yang mengucapkan tahniah dan menyukai kapsyen tentang rumah tangga yang ditulisnya. 


Macam-macam ragam dapat dilihat dari pasangan muda yang sudah berkahwin. Apa-apa pun pasti ada manis dan pahitnya dalam perjalanan dalam alam rumah tangga.
Yang penting, kena saling bertolak ansur dan jadilah suami atau isteri yang sentiasa memahami pasangannya, okay?


Benarkah KPN Miliki Rumah RM5.5 Juta di Mantin? MyWatch Lapor SPRM

Pengerusi Pasukan Bertindak Pemantau Jenayah Malaysia (MyWatch), Datuk R. Sri Sanjeevan menerusi laman Facebook mendakwa Tan Sri Khalid memiliki sebuah ‘Istana Mantin’ di Kampun Gebok, Mantin.
“MyWatch minta KPN menjawab adakah benar rumah ini miliknya dan jika benar, dari mana datangnya sumber pendapatan untuk membina “Istana Mantin” ini?”
Sanjeevan turut mempersoalkan adakah rumah mewah itu merupakan harta keluarga yang dibina menerusi keuntungan daripada syarikat Nilai Arms & Ammunitions Sdn Bhd milik anak perempuan KPN dan Unggul Shooting Academy Sdn Bhd milik abang KPN?
Pada masa yang sama, Sanjeevan turut membuat kenyataan bahawa perkara tersebut telah dilaporkan kepada Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) dan berharap SPRM dapat menjalankan siasatan yang sewajarnya dan keputusannya perlu dimaklumkan kepada seluruh rakyat Malaysia dalam masa terdekat ini.
Sementara itu, menurut laporan Oriental Daily News, apabila ditanya media berhubung isu tersebut, Tan Sri Khalid memberitahu perkara tersebut ditimbulkan adalah kerana dendam Sanjeevan yang tidak puas hati terhadap pihak polis yang menyiasat kesalahan yang dilakukannya sebelum ini. 

Kagum! Pramugari Isi Masa Lapang Dengan Berlatih Tulisan Jawi

Macam-macam cara nak mengisi masa lapang semasa berada di dalam pesawat dan bagi pramugari ini, dia memilih untuk mengasah skil penulisannya dalam bahasa Jawi. Anna Jimenez, yang bekerja untuk syarikat penerbangan Air Asia akan memastikan semua penumpang dalam pesawat sudah selesa dan berehat dengan tenang dahulu sebelum memulakan draf penulisannya.
Selepas selesai, Anna akan memuat naiknya ke akaun Facebook miliknya untuk mendapatkan pandangan ramai tentang kemajuan dirinya dalam penulisan Jawi. Apa yang lebih menarik, Anna akan meminta pengikut dan rakan-rakannya untuk membuat transkrip penulisan Jawi yang ditulisnya itu ke dalam tulisan Rumi. 

Bukan sahaja untuk menilai adakah penulisannya itu betul berkualiti dan boleh difahami, Anna turut menawarkan ganjaran bagi mereka yang boleh menterjemahkannya dengat tepat dan pantas.
Hadiah tersebut merupakan sebuah Photobook yang bernilai sebanyak RM90. Rata-rata netizen memuji usahanya dalam memartabatkan tulisan Jawi yang sekarang ini semakin dilupakan. Difahamkan apa yang ditulis Anna adalah skrip biasa yang disampaikan oleh juruterbang syarikat penerbangan sebelum pesawat berlepas.
Pramugari itu juga turut berjinak-jinak dengan seni tulisan khat dan selalu menggunakan aplikasi dalam iPad untuk mengasah bakatnya. Semoga lebih ramai lagi orang seperti Anna yang mempunyai hobi yang sangat bagus seperti ini untuk mengisi masa terluang yang ada.


Bak kata pepatah, “Masa Itu Emas”. Jangan gunakan waktu anda dengan sesuatu yang sia-sia kerana masa yang pergi tidak akan kembali lagi. Tak begitu?



TMJ “Tembak” Geng Baju Merah

Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim hari ini menyiarkan video bagi menyebarkan mesej antikeganasan dan mengkritik gerakan baju merah.


Video parodi yang disiarkan di laman Facebook Johor Southern Tigers itu, menggambarkan tujuh lelaki bertopeng meniru aksi seni mempertahankan diri oleh pergerakan baju merah dalam protes mereka di Petaling Jaya semalam.

Satu watak dalam klip video itu memegang cangkul, yang mungkin merujuk kepada insiden bulan lalu melibatkan serangan terhadap kakitangan Suruhanjaya Air Johor.

Klip video itu berakhir dengan Tunku Ismail ‘menembak’ tujuh lelaki berkenaan dengan menggunakan sepucuk pistol.

Beliau kemudian memandang kamera dan mengangkat bahu sebelum video parodi itu tamat.
Mesej yang disertakan di Facebook tersebut berbunyi: “Senjata tidak membunuh manusia, manusia yang saling membunuh antara satu sama lain. Keganasan dan kebencian tidak akan menjadikan negara ini tempat yang lebih baik. Kekal positif. Salam penuh kasih sayang,”.


Bagaimanapun, Tunku Ismail berkata beliau tidak berpihak kepada baju merah atau baju kuning, sebaliknya bersama Bangsa Johor yang melambangkan perpaduan.

“Perpaduan adalah ‘formula’ untuk negara ini bergerak ke hadapan, bukan keganasan dan kebencian,” katanya.