Mereka Bukan Pengemis, Mereka #UstazKopi

0
185
Tatkala warga kota bingkas bangun daripada lena, seorang pemuda yang bekerja sebagai guru agama memulakan langkah berniaga di pembahagi jalan.


Razin Abdul Rahman, 24, menganggap perniagaannya sebagai perkhidmatan membekalkan sarapan kepada orang ramai sebelum memulakan kerja.

Beliau dan 5 sahabat, 3 daripada mereka rakan sekerja di sekolah agama, membawa sandwich telur dan sardin serta air kopi di sekitar Jalan Subang dan Lebuh Raya Guthrie (GCE). Razin berkata idea berniaga di pembahagi jalan diilhamkan abangnya selepas melihat gelagat pengemis yang menjual tisu dan meminta sedekah.

“Dari situlah idea ini timbul. Apa kata kita jual sesuatu daripada kita meminta-minta,” katanya. Perkhidmatan menjual sarapan ringkas itu digelar UstazKopi, disebabkan 4 daripada mereka bertugas sebagai guru agama sesi petang di sebuah sekolah agama.

“Selepas kami jual, kami ke sekolah mengajar. Kami semua cikgu, mengajar dalam bidang agama. Di sekolah semua panggil kami ustaz dan di situlah kami cetuskan UstazKopi,” katanya.

Bangun awal

 

Razin juga berkata, beliau dan rakan-rakannya akan memulakan perniagaan seawal jam 6.30 pagi pada setiap hari Isnin hingga Jumaat kecuali cuti umum.

Malah, sebelum memulakan perniagaan, mereka akan bangun seawal jam 4 pagi menunaikan solat sunat sebelum memulakan persiapan jualan.

“Rahsianya hanya satu sahaja, kita bangun sebelum keluar berniaga, sebelum solat subuh kita buat solat tahajud dahulu.

“Balik sahaja rumah, jangan lupa buat solat sunat dhuha. Ini rahsia kami untuk memurahkan rezeki,” katanya lagi.

Jelas Razin, tidak dinafikan dengan hanya melakukan satu kerja sahaja memang tidak akan cukup, jadi inisiatif untuk menambah sumber pendapatan harus dilakukan.

“Kalau lihat, modal kami pun tinggi, kalau dapat keuntungan, separuh daripanya adalah modal. Sebab itu kita kena buat dua kerja,” katanya.

Rakan Razin, Mohammad Akil Ibrahim, 25, berkata memang sukar bangun seawal jam 4 pagi.

“Mahu atau tidak kena bangun juga. Memang hari pertama, kedua dan ketiga memang susah sikit. Lama-lama, bak kata orang tak perlu pakai jam loceng, 4.30 pagi automatik terus terbangun,” katanya.

Razin dan rakannya kini menjual antara 200 hingga 300 bungkusan sandwich setiap pagi.

Jelas Akil, dengan menjual sandwich ini juga, mereka berpeluang melakukan senaman.

“Biasanya pagi lepas subuh saya akan joging, kalau joging hanya dapat penat. Tetapi ini macam joging juga, dapat tambah hasil dan turut dapat naikkan perniagaan.

“Kami berharap, kalau sesiapa yang lalu jika tidak membeli, berikanlah senyuman kepada kami. Itu pun dah kira okay dan menaikkan semangat kami,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here