Hantar Sampah Sarah Ke Pejabat Bersih Kalau Gagal Bayar Saman

0
150
Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan menegaskan bahawa beliau akan menghantar segala sampah sarap di depan pejabat Bersih 2.0 pada perhimpunan seterusnya di ibu negara.


Kata Abdul Rahman, jika NGO itu terus berkeras untuk tidak membayar bil tuntutan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), sampah sarap itu akan dihantar ke alamat yang betul.

“Jika Bersih terus berkeras untuk tidak membayar bil tuntutan tersebut, pada perhimpunan haram seterusnya yang mereka anjurkan, mungkin saya patut menghantar segala sampah sarap yang mereka tinggalkan itu di depan pejabat mereka.

“Jika ini berlaku, saya jamin kali ini saya akan hantar sampah sarap tersebut ke alamat yang betul!” katanya dalam kenyataan dimuat naik di Facebooknya.

Menteri itu juga menyifatkan Bersih 2.0 sebagai ‘kebudak-budakan’ apabila berlaku insiden mereka mempersendakan pegawai-pegawai DBKL yang tersilap menghantar surat tuntutan bil kerja-kerja pembersihan tersebut.

Abdul Rahman menjelaskan saman itu dihantar ke alamat yang betul, namun malangnya NGO itu tidak memaparkan sebarang papan tanda yang menunjukkan itu adalah pejabat mereka.

“Setelah menyedari kesilapan tersebut, pegawai-pegawai saya telah sekali lagi pergi ke lokasi tersebut dan kali ini mereka pergi ke alamat yang betul. Alamat yang betul itu juga nampaknya seolah-olah kosong, dan tiada siapa berada di sana untuk menerima bil tersebut.

“Kesilapan ini boleh terjadi kepada sesiapa pun. Ia adalah satu kesilapan kecil dan pegawai saya telah pun menjelaskan kekhilafan beliau dalam akaun Twitter beliau pada hari kejadian tersebut. Rumah yang salah itu bukannya berada di jalan yang lain atau pun dalam tempat lain di Petaling Jaya.

“Rumah tersebut hanya terletak di sebelah kanan pejabat Bersih,” katanya.

Tambahnya, ketika perhimpunan Bersih 4 berlangsung di Dataran Merdeka, bukan sahaja gagal membersihkan kekotoran yang mereka tinggalkan, tetapi Bersih 2.0 juga gagal menghalang penyokong-penyokong mereka yang bertindak melanggar adab kesopanan dan mengabaikan kebersihan awam.

“Saya ada gambar-gambar yang menunjukkan segala timbunan sampah dan juga kerja-kerja pembersihan yang telah dilakukan oleh kakitangan Alam Flora.

“Saya telah mengarahkan Alam Flora untuk menggandakan usaha mereka dalam membersihkan bau kencing demi menjaga keselesaan rakyat Malaysia yang pergi ke perarakan Hari Kebangsaan keesokan harinya,” ujarnya.

Jelasnya lagi, beliau akan memastikan bil tuntutan tersebut dibayar penuh oleh NGO itu.

“Maria Chin pernah berkata mereka berjaya mengutip RM2.4 juta daripada awam untuk membantu mereka menganjur dan mengurus perhimpunan haram tersebut.

“Saya cukup pasti yang bil berjumlah RM65,000 itu tidak sedikit pun akan menjejaskan dana mereka yang berjumlah jutaan ringgit itu.

“Sikap mereka yang enggan membayar juga jelas menunjukkan mereka sengaja mempermain-mainkan penderma-penderma,” katanya yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here