Datuk Seri, Datuk Berseri-seri dan Datuk Tiada Seri

0
208

Datuk Seri, Datuk Berseri-seri dan Datuk Tiada Seri

Berikutan penarikan gelaran Datuk Seri kepada Anwar Ibrahim oleh Sultan Selangor, dunia politik Malaysia bagai nak runtuh seketika. Walaupun pemberian atau penarikan gelaran kepada mana-mana individu adalah hak dan kuasa istana, tetapi oleh kerana ia melibatkan Anwar, ramai musuh politiknya gembira dengan keputusan Istana Selangor itu.

Pada peringkat awal berita itu tersebar, ramai pemimpin dan pengendali media sosial pro-Umno menyambutnya dengan gembira. Masa depan politik Anwar seolah-olah telah musnah dan mati dengan penarikan gelaran itu.

Ada yang berkata Anwar hanya akan dipanggil “Saudara Anwar” atau “Brother Anwar” sahaja selepas ini. Ada pula yang berkata cukup dengan Anwar saja. Yang memperlekeh pula meminta dipanggil “Datin Seri Anwar” berikutan isterinya, Dr Wan Azizah bergelar Datuk Seri.


Hanya setelah didedahkan bahawa Anwar masih mempunyai sekurang-kurangnya tujuh lagi gelaran Datuk termasuk tiga Datuk Seri, barulah mereka yang riuh-rendah pada awalnya tadi mula berdiam diri. Ditarik cuma satu, ada banyak lagi yang berbaki.

Tetapi serangan mereka tidak berakhir setakat itu. Ada pula yang meminta Anwar memulangkan semula semua gelarannya dan ada juga yang terlebih daulat meminta supaya Sultan dan Yang Dipertuan Negeri yang pernah menganugerahkan gelaran kepada Anwar agar menarik balik semua gelaran itu.

Ketua Pembangkang Selangor, Shamsudin Lias pula meminta Anwar meletak jawatan sebagai Penasihat Ekonomi Negeri Selangor berikutan dakwanya, penarikan gelaran itu menyebabkan Anwar telah hilang intergritinya.

Sebenarnya penarikan gelaran Anwar itu adalah kuasa dan pertimbangan Sultan yang tidak perlu kita kaitkan dengan politik atau perkara lain. Baginda berhak memberi dan menarik balik atas apa juga alasan. Dan Anwar sendiri menerima keputusan itu dengan hati yang terbuka serta mengambil maklum mengenainya dan menyatakan tidak pernah meminta atau memohon gelaran itu.

Sebelum ini ramai yang sudah pernah ditarik gelaran termasuk Tengku Razaleigh Hamzah dan Ibrahim Ali. Sebagaimana Ku Li dan Ibrahim Ali tidak terkesan atau mati hayat politiknya dengan penarikan gelaran oleh istana, Anwar juga demikian. Beliau akan meneruskan perjuangan politiknya selagi mampu dan selagi diberi sokongan oleh rakyat.

Tidak perlu diminta menyerahkan gelaran yang lain atau meminta semua gelarannya ditarik balik. Tidak perlu juga diminta melepaskan jawatannya sebagai Penasihat Ekonomi Selangor kerana itu adalah hak Menteri Besar dan tiada kena-mengena sama ada bergelar atau pun tidak. Juga tidak perlu dikaitkan dengan apa-apa yang lain kerana semuanya tidak berkaitan.


Sama ada bergelar atau tidak, tidak mengubah apa-apa kepada Anwar. Kadangkala panggilan tanpa gelaran lebih menyerlahkan kemesraan. Ghafar Baba tetap dihormati dan disanjung walau tidak bergelar apa-apa ketika memegang jawatan dalam kerajaan. Beliau hanya menerima gelaran Tun setelah bersara dan meninggalkan kerajaan.

Memang ada orang yang bangga dan memburu gelaran Datuk atau Datuk Seri ini. Ia bagaikan aksesori paling mahal yang menghiasai kehidupan mereka. Ada pula yang tidak peduli dengannya dan walaupun mempunyai gelaran tertentu tetapi tidak kisah dipanggil apa pun. Yang menolak gelaran pun ramai juga.

Mereka yang ada jasa dan sumbangan kepada bangsa dan negara mungkin berhak berbangga dengan gelaran ini kerana tanda adanya pengiktirafan. Gelaran Datuk atau Datuk Seri tentunya menjadikan mereka lebih dihormati dan berseri-seri. Begitu juga dengan mereka yang dikenali dalam masyarakat, gelaran Datuk atau Datuk Seri seringkali menambah aura dan seri kepada penampilan seharian.

Tetapi ada juga mereka yang kita tidak tahu jasa dan sumbangannya, tiba-tiba diketahui telah menerima gelaran Datuk atau Datuk Seri. Kadang-kadang kawan lama yang berpuluh tahun tidak berjumpa, tiba-tiba sekarang sudah bergelar Datuk atau Datuk Seri juga. Mungkin ia rezeki dan pilihan mereka sendiri yang tidak perlu kita gundah-gulana dengannya.

Tambahan pula, selain ada sembilan Sultan atau Raja, negeri tidak beraja melalui Yang Dipertuan Negeri juga berhak memberikan gelaran Datuk atau Datuk Seri ini. Belum termasuk lagi Sultan Sulu, Mindanao, Naning dan Sultan Melaka yang tidak diiktiraf. Untuk itu, saban tahun mereka yang bergelar ini berganda jumlahnya sehingga kadangkala di keliling kita lebih ramai yang bergelar Datuk atau Datuk Seri daripada yang tidak mempunyai sebarang gelaran apa-apa.

Bahkan, pelakon Hindi, Shah Rukh Khan dan ada individu daripada Bangladesh serta Indonesia juga turut bergelar Datuk dan Datuk Seri sekarang ini.

Kerap kali juga mereka yang bergelar ini bila berbual membahasakan diri mereka sendiri sebagai Datuk atau Datuk Seri. Itu maknanya mereka ingin memberitahu gelaran yang ada padanya dan mahu kita memanggilnya dengan Datuk atau Datuk Seri juga. Kalau ringan mulut, panggillah mereka dengan penghormatan itu.

Kadangkala wajah mereka yang masam dan tak berseri, terus berubah jadi berseri-seri bila kita memanggilnya dengan gelaran Datuk atau Datuk Seri itu. Sekurang-kurangnya dengan memanggil mereka dengan gelaran yang diberi oleh istana itu berjaya menambahkan lagi keceriaan dunia ini. Oleh itu, jika ada tanda-tanda kawan kita yang bergelar mahu dipanggil dengan gelaran yang diterimanya, lakukanlah dengan senang hati kerana ia juga menunjukkan budi bahasa kita.

Namun demikian, ada juga mereka yang bergelar Datuk atau Datuk Seri ini yang tampil tidak berseri atau tanpa berseri langsung. Kita pula kadangkala tidak percaya mereka itu sudah bergelar Datuk atau Datuk Seri jika dinilai daripada penampilannya.

Apa pun, meski ada yang menganggap gelaran Datuk atau Datuk Seri sebagai aksesori paling mahal dalam kehidupan, perhiasan paling bernilai tetaplah budi bahasa sejak dulu, kini dan selamanya. Jika bergelar Datuk atau Datuk Seri tetapi tinggi budi bahasannya, pujian melangit akan selalu diberikan tetapi jika buruk budi bahasa, kelakuan dan perangai, walau ada 17 gelaran Datuk atau Datuk Seri sekalipun, tetap juga dipandang rendah oleh manusia lain.

Sekadar contoh, kiranya bergelar Datuk atau Datuk Seri tetapi sesuka hati memanggil orang lain dengan gelaran “haramjadah” atau “bangang”, lama-kelamaan penghormatan akan hilang dan mungkin dibalas dengan cacian atau makian pula. Gelaran Datuk atau Datuk Seri tidak memberi kelebihan kalau tidak disertai dengan budi bahasa dan peri laku yang baik.

Sebagaimana Anwar lebih dikenali kerana perjuangannya dan bukan kerana gelaran Datuk atau Datuk Seri yang dimilikinya, kita juga seharusnya tidak terlalu risau sama ada bergelar atau pun tidak. Yang perlu kita bimbang ialah jika kita sudah hilang akhlak, budi bahasa dan keceriaan dalam hidup ini. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here