Dakwaan Justo Pembohongan Yang Cuba Disensasikan

0
269
Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar menafikan dakwaan bekas kakitangan Petrosaudi International, Xavier Andre Justo bahawa dia berminat membeli data 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Menerusi kenyataan pada Selasa, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata, dia tidak pernah bertemu dengan individu bernama Justo.



Dia terkejut dengan laporan akhbar terbitan Kumpulan New Straits Times Press (NSTP) apabila menyebut dirinya didakwa berminat untuk membeli data maklumat 1MDB. “Saya dengan ini menafikan sekeras-kerasnya bahawa saya pernah menawarkan US$2 juta kepada Justo dalam bentuk kontrak kerajaan sekiranya parti pembangkang memegang kuasa. Saya tidak pernah berjumpa dengan Justo.

“Ini merupakan satu lagi usaha terdesak oleh media BN yang dikawal untuk memesongkan isu utama 1MDB membabitkan skandal dengan PM, Najib Razak,” katanya.

Nurul Izzah mendakwa, laporan muka hadapan akhbar NST dan Berita Harian itu merupakan pembohongan yang cuba disensasikan.

Katanya, beliau telah mengarahkan peguamnya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap akhbar tersebut kerana melaporkan perkara yang tidak benar.

Dalam pada itu mengulas mengenai perkara berkaitan, Nurul Izzah berkata, persoalan utama yang harus diberikan tumpuan berkaitan 1MDB bukannya dokumen yang dicuri oleh Justo.

Sebaliknya, beliau berkata, perkara penting yang harus dilakukan siasatan termasuk laporan-laporan oleh Wall Street Journal, Sarawak Report dan The Edge berkenaan rasuah besar, pengubahan wang haram, penyelewengan dan dakwaan rasuah pilihan raya yang dikaitkan dengan 1MDB.

Nurul Izzah turut memberikan tiga persoalan utama yang sehingga kini gagal dijawab oleh Perdana Menteri.
  • 1MDB telah membuat pinjaman sebanyak RM42 billion yang dijamin oleh kerajaan Malaysia. Apakah yang telah dilakukan oleh 1MDB menggunakan wang ini?.
  • Bagaimanakah lebih daripada US$1 billion kepunyaan usahasama PetroSaudi-1MDB berakhir dalam akaun yang dikawal oleh syarikat kepunyaan Jho Low?
  • RM2.6 billion ringgit telah didepositkan dalam akaun peribadi Perdana Menteri. Adakah ianya benar-benar dari penderma Timur Tengah, ataupun ia merupakan wang 1MDB?

“Ini merupakan persoalan dan isu sebenar yang patut dijawab oleh Perdana Menteri. Beliau patut menghentikan penggunaan media kawalan BN dan kenyataan Xavier Justo untuk mengalihkan tumpuan daripada salahlaku beliau sendiri,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here