Atlet Paralimpik Cipta Sejarah Menang Emas Di Rio

Malaysia melakar sejarah dengan memenangi dua pingat emas pada Paralimpik Rio di Brazil, di mana satu daripada kemenangan itu turut mencipta rekod dunia baharu.


Pingat emas pertama dimenangi Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi pada Sabtu dalam acara 100m T36 (celebral palsy), disusuli pingat emas kedua disumbangkan Muhammad Ziyad Zolkefli dengan rekod dunia baharu dalam acara lontar peluru F20 (masalah pembelajaran).

Malaysia pernah memenangi pingat perak dan gangsa pada paralimpik sebelum ini.
Di Stadium Olimpik Rio, Mohamad Ridzuan memecut ke garisan penamat 100m T36 dengan catatan 12.07 saat mendahului Yang Yifei dari China (12.20s) dan Rodrigo Parreira da Silva dari negara tuan rumah, Brazil (12.54s).

Muhammad Ziyad pula melontar peluru sejauh 16.84 meter untuk mencipta rekod dunia baharu dan memungut emas dalam cubaan kelima, sekaligus memadamkan rekod dunia yang dicatat Todd Hodgetts dari Australia sejauh 16.29m di Paralimpik London 2012.

Dimitrios Senikidis dari Greece memenangi pingat perak dalam acara itu di Rio dengan lontaran 16.17m dan Hodgetts meraih pingat gangsa dengan lontaran 15.82m.

Lee Chong Wei Sumbang Pingat Perak Olimpik Badminton Final

Lee Chong Wei sekali lagi terpaksa berpuas hati dengan pingat perak di final badminton Olimpik  apabila beliau kecundang  kepada Chen Long 18-21,18-21.


Ini merupakan pingat perak yang ketiga buat Lee Chong Wei selepas beliau meraih dua pingat perak sebelum ini di Olimpik Beijing 2008 dan Olimpik London 2012.

2016 merupakan tahun yang baik buat skuad badminton negara apabila berjaya meraih tiga pingat perak di Olimpik; dua lagi menerusi acara regu lelaki dan regu campuran.
Terima kasih Dato’ Lee Chong kerana sudah mencuba yang terbaik untuk Malaysia. Usaha keras Dato’ di setiap sukan Olimpik semestinya perlu dijadikan tauladan untuk setiap atlet di masa akan datang. Tahniah sekali lagi Dato’!

Berapakah Ganjaran Kepada Atlet Yang Menang Pingat Di Sukan Olimpik? Jangan Terkejut!

Ganjaran yang ditawarkan kerajaan Malaysia kepada pemenang pingat di Sukan Olimpik adalah yang keempat tertinggi dalam kalangan negara peserta temasya itu.


Oriental Daily memetik statistik yang diperolehi media Jepun menunjukkan, Singapura mendahului senarai itu dengan ganjaran S$1 juta (kira-kira RM3 juta).

Ia disusuli Indonesia yang menawarkan ganjaran RM1.5 juta, Thailand menduduki tangga ketiga dengan ganjaran RM1.26 juta dan Malaysia di tempat keempat dengan RM1 juta.

Di bawah skim insentif Majlis Sukan Negara (MSN) untuk Olimpik, pemenang pingat emas bakal menerima RM1 juta dan pencen bulanan RM5,000, perak pula mendapat RM600,000 dan pencen bulanan RM3,000 manakala gangsa RM100,000 serta pencen bulanan RM2,000.

Persatuan Badminton Indonesia turut mengumumkan pemenang pingat emas akan menerima 1 bilion rupiah (kira-kira RM150,000), perak 500 juta rupiah (kira-kira RM150,000) dan gangsa 250 juta rupiah (kira-kira RM75,000). Tambahan, pemain badminton yang memenangi pingat emas juga bakal mendapat 20 juta rupiah (sekitar RM6,163) setiap bulan.

Di rantau Asia Timur pula, Korea Selatan menawarkan ganjaran kira-kira RM200,000 diikuti Jepun sekitar RM193,000 dan China sekadar RM115,100.

Bagaimanapun, di Jepun, ada persatuan sukan tertentu, seperti ping pong, badminton dan golf turut menawarkan ganjaran sekitar RM380,000 kepada pemenang pingat emas.

Persatuan Golf Korea Selatan pula menawarkan ganjaran kira-kira RM1.15 juta kepada dua pesertanya, jika mereka berjaya merangkul emas, manakala RM575,000 (perak) dan RM380,000 (gangsa). Tambahan, jurulatih juga akan diberikan ganjaran.

Setakat ini, Malaysia sudah meraih dua pingat perak dan satu gangsa menerusi gandingan Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hoong dalam acara 10m platform seirama wanita, pasangan beregu campuran Chang Peng Soon dan Goh Liu Ying dalam acara badminton serta pelumba basikal Azizulhasni Awang dalam acara keirin.

Beregu Campuran Peng Soon-Goh Liu Sambar Pingat Perak

Impian emas beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying berakhir dalam masa 45 minit selepas tunduk 14-21, 12-21 kepada Tontowi Ahmad-Liliyana Natsir di final Sukan Olimpik Rio.


Peng Soon-Liu Ying terpaksa mengakui kehebatan gandingan nombor tiga dunia itu yang mahukan kemenangan bukan sahaja untuk pingat emas pertama negara mereka di Rio tetapi hadiah terbaik bagi ulang tahun kemerdekaan Indonesia pada Rabu.

Laluan gandingan negara di Pavilion 4, Riocentro sememangnya sukar kerana hanya menang sekali daripada sembilan pertemuan dengan juara dunia 2013 itu, termasuk yang terbaru apabila tewas 15-21, 11-21 dalam aksi peringkat kumpulan Sabtu lepas.

“Kami sudah cuba yang terbaik tapi lawan jelas lebih bagus,” kata Peng Soon yang turut berterima kasih kepada penyokong terutama isterinya, Cham May May dan keluarganya di Pulau Pinang.

Dalam set pertama, Peng Soon-Liu Ying sekadar dapat merapatkan kedudukan pada 9-11, sebelum gandingan Indonesia itu melebarkan jurang dan menamatkan set tersebut dengan 14-21.

Cerita sama juga berlaku dalam set kedua apabila pasangan negara memberi harapan seketika pada kedudukan 10-13, sebelum Tontowi-Liliyana memastikan kemenangan yang cukup istimewa untuk kemerdekaan Indonesia ke-71, dengan 12-21.

Namun, Peng Soon-Liu Ying yang mencipta sejarah menjadi beregu campuran pertama negara mara ke final, tetap mampu berbangga apabila pulang dengan pingat perak.

“Saya masih tidak percaya dapat bermain di final Olimpik walaupun ini bukan permainan yang terbaik daripada kami. Sekarang beregu campuran negara semakin meningkat dan saya percaya untuk Sukan Olimpik akan datang, kita juga boleh mengharapkan sesuatu,” kata Liu Ying.

Malaysia masih berpeluang mencari pingat emas pertama Olimpik menerusi acara beregu lelaki apabila Goh V Shem-Tan Eee Kiong akan beraksi menentang Fu Haifeng and Zhang Nan dari China di final Jumaat ini.

Datuk Lee Chong Wei juga masih pada landasan tepat memenuhi impian emasnya apabila akan berdepan musuh tradisinya dari China, Lin Dan di separuh akhir, juga pada Jumaat.

Peng Soon-Liu Ying mencipta sejarah mara ke final dan kutipan pingat perak mereka menambah kepada perak yang disumbang gandingan terjun, Pandelela Rinong-Cheong Jun Hoong dan gangsa acara keirin oleh Azizulhasni Awang.

Setakat ini, kontinjen negara mencatat kutipan pingat terbanyak dalam sejarah penyertaan di Sukan Olimpik, mengatasi pencapaian 1996 dan 2012 apabila masing-masing mendapat satu perak dan satu gangsa.

Beregu campuran negara itu, yang digandingkan sejak 2009, menampilkan aksi membanggakan untuk mara ke final.

Bagaimanapun, gandingan itu terpaksa dipisahkan seketika apabila Liu Ying menjalani pembedahan di kedua-dua lututnya pada 2014 sebelum kembali bergandingan semula selepas 11 bulan.

Mereka pernah menjuarai Kejohanan Asia pada 2010 sebelum memenangi emas di Sukan Komanwel edisi 2010 dan 2014.

Azizulhasni Beri Pingat Gangsa Untuk Malaysia Di Rio

Pelumba basikal Malaysia, Azizulhasni Awang meraih tempat ketiga sekaligus memungut pingat gangsa dalam perlumbaan akhir keirin di Rio Olympic Velodrome, Rio De Janeiro, hari ini.


Azizul merupakan antara enam pelumba yang layak ke pertandingan akhir acara itu.

Jason Kenny dari Britain menang pingat emas manakala Matthijs Buchli dari Belanda meraih pingat perak.

Pada Sukan Olimpik 2012 di London, Azizul mendapat tempat ke-6.

Kemenangan Azizul itu memberikan pingat kedua kepada Malaysia, yang sebelum ini memenangi perak menerusi acara terjun 10 meter platform seirama oleh gandingan Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hoong.


United Buka Musim Baharu Tewaskan Bournemouth 3-1

JOSE Mourinho memulakan kempen baharu Liga Perdana Inggeris (EPL) bersama Manchester United dengan selesa selepas mencatat kemenangan 3-1 ke atas Bournemouth di Stadium Vitality, Ahad malam.


Percaturan pertama Mourinho selaku pengurus baharu di Old Trafford itu bakal memberi gambaran sebenar skuad United musim ini dengan kehadiran beberapa pemain baharu.

Pengendali Portugis itu menggandingkan dua penyerang terbaiknya, Wayne Rooney dan Zlatan Ibrahimovic di barisan hadapan manakala Juan Mata menggantikan Jesse Lingard di bahagian tengah.

Antonio Valencia turut disenaraikan pada perlawanan pertama musim ini sekaligus mencatat rekod penampilannya yang ke-250 untuk The Red Devils ini.

Namun harapan untuk melihat bekas pemain Juventus, Paul Pogba yang menjadi perhatian apabila mencatat rekod perpindahan termahal dunia ke Old Trafford tidak kesampaian kerana berada dalam tempoh penggantungan.

Kemenangan skuad United di tempat lawan pada aksi pertama liga musim ini bermula dengan jaringan lima minit sebelum berakhir separuh masa pertama.

Sementara itu, rentak permainan United pada babak kedua lebih kemas dan pemain-pemain menunjukkan gaya permainan yang lebih selesa bermain dengan bola, dan dalam masa sama turut membuat percubaan berbahaya ke arah gawang tuan rumah. 

Kapten Wayne Rooney, yang kurang publisiti sejak akhir-akhir ini selepas kehadiran beberapa pemain bintang tetap membuktikan sentuhannya masih berbisa dengan menjaringkan gol kedua pada minit ke-59.
Wisel gol United sekali lagi ditiup pengadil Andre Marriner apabila bekas pemain Paris Saint-Germain, Ibrahimovic tanpa melepaskan peluang untuk mencatat nama sebagai penjaring minit ke-64 pada penampilan pertamanya dalam EPL.

Ketinggalan 3-0 tidak melemahkan anak buah Eddie Howe untuk cuba merapatkan jurang mata dan gol tunggal mereka dijaringkan oleh Adam Smith pada minit ke-69.

Kedudukan 3-1 itu kekal sehingga ke wisel akhir perlawanan.

JDT Menang Tipis Ke Atas Perak

Pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) terus melebarkan penguasaan dalam saingan Liga Super 2016 selepas mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Perak di Stadium Perak, Ipoh malam Sabtu.


Gol kemenangan skuad Harimau Selatan itu adalah menerusi pemain import, Jorge Pereyra Diaz dari Argentina pada minit ke-15, dan keputusan itu meletakkan JDT di persada liga dengan 43 mata. 

Perak pula turun di kedudukan keenam liga dengan 20 mata. Felda United pula kekal di kedudukan kedua liga dengan 39 mata, apabila terpaksa berhempas pulas sebelum seri 2-2 menentang Terengganu di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka yang menyaksikan pasukan pelawat terlebih dahulu mendahului 2-0.
Gol Terengganu dijaringkan Issey Morgan Nakajima-Farran pada minit ketujuh dan Ashari Samsudin (minit ke-60), sebelum Felda United berjaya menyamakan kedudukan hasil jaringan Zah Rahan Krangar (minit ke-71) dan Ahmad Syamim Yahya (minit ke-88). 

Kedudukan Selangor juga tidak berubah di tempat ketiga dengan 26 mata, walaupun tewas 0-1 kepada Kedah di Stadium Darul Aman, Alor Setar, menerusi jaringan pemain import, Bang Seung-Hwan pada minit ke-47.

Kedah mengekori rapat skuad Gergasi Merah dengan 25 mata di tangga keempat diikuti Kelantan yang naik ke tangga kelima dengan 21 mata, selepas menang 2-0 menentang T-Team di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kota Baru.

Kelantan memperoleh gol menerusi Mohd Badhri Mohd Radzi (minit ke-65) dan Wander Luiz Junior (minit ke-89). Kekalahan T-Team itu menyaksikan pasukan berkenaan jatuh di tangga kelapan liga dengan 19 mata.

Sementara itu, Pulau Pinang naik dua anak tangga untuk berada di kedudukan kesembilan dengan pungutan 18 mata selepas cemerlang menewaskan Sarawak 2-0 di Stadium Negeri, Kuching.

Gol Pulau Pinang dijaringkan oleh Muhamad Faizat Mohd Ghazli pada minit ke-14 dan S. Kumaahran (minit ke-83).

Pahang terus berada di kedudukan tercorot liga apabila tewas 0-1 kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), hasil jaringan pemain import Guilherme De Paula pada minit ke-71. 

Berikut adalah keputusan penuh perlawanan Liga Super yang berlangsung malam Sabtu:
Sarawak 0-2 Pulau Pinang 
Felda United 2-2 Terengganu 
Kedah 1-0 Selangor 
Kelantan 2-0 T-Team 
PDRM 1-0 Pahang 
Perak 0-1 JDT 

Khairul Idham Pawi Juara Moto3 GP Jerman

Pelumba Moto3 negara, Khairul Idham Pawi sekali lagi mencipta sejarah apabila meraih kemenangan podium pada perlumbaan motosikal Grand Prix (GP) Jerman di Litar Sachsenring, Ahad.


Ini merupakan kemenangan kedua pelumba berusia 17 tahun yang mewakili Honda Team Asia itu selepas kejayaan di GP Argentina pada April lepas.

Beraksi di litar basah akibat hujan sebelum perlumbaan, jelas memberi kelebihan buat Khairul Idham, yang lebih dikenali sebagai Super KIP yang bermula dari petak ke-20, apabila pantas memintas pelumba lain sehingga berada di kedudukan ketujuh sebaik bermula.

Anak kelahiran Kampung Gajah, Perak itu membuktikan beliau memang ‘Raja Litar Basah’ apabila terus memimpin perlumbaan sehingga tamat dengan catatan masa 47 minit 07.763 saat.
Tempat kedua dan ketiga masing-masing dimenangi pelumba dari Itali, Andrea Locatelli dari pasukan Leopard Racing dan Enea Bastianini dari pasukan Gresini Racing.

“Syukur Alhamdulillah dan terima kasih kepada pasukan saya yang sentiasa berusaha keras untuk saya.

“Ia adalah perlumbaan yang sukar dan banyak yang berlaku sewaktu perlumbaan tadi. Mulanya saya terlalu mendesak jentera saya sebelum sedar perlu lebih bertenang dan cuba mengawal keadaan. 

“Saya harap keluarga saya, rakan dan peminat akan bergembira dan menikmati kemenangan ini,” katanya.

Kemenangan pada Ahad membolehkan Khairul Idham kini berada di tempat ke-10 keseluruhan selepas mengumpulkan 54 mata. Pelumba Afrika Selatan Brad Binder dari pasukan Red Bull KTM Ajo masih mendahului dengan 159 mata

Payet Hero Perancis

DIMITRI Payet tidak dapat menahan air matanya selepas menjaringkan gol kemenangan buat negaranya Perancis pada aksi pembukaan Euro 2016 bertemu Romania, awal pagi Sabtu.


Kemenangan 2-1 pasukan tuan rumah ini amat penting sebagai aksi pembukaan kejohanan empat tahun sekali ini, malah ia merupakan gol pertama Payet dalam tempoh 369 hari.

Pemain tengah West Ham ini melakar gol kemenangan pada minit ke-89 selepas kedudukan terikat seri 1-1.

Sebelum itu, Olivier Giroud menyumbang gol pertama pada minit ke-57 setelah kedua-dua pasukan gagal mencari sebarang jaringan pada separuh babak pertama.

Namun pasukan lawan, berjaya menyamakan kedudukan lapan minit selepas itu menerusi sepakan penalti oleh Bogdan Stancu dengan memperdayakan penjaga gol tuan rumah, Hugo Lloris.

Sementara itu, Payet menjadi pemain West Ham yang ketiga menjaringkan gol pada aksi Euro selepas dua pemain England, Geoff Hurst dan Geoff Hurst.

Perancis akan meneruskan aksi kedua peringkat kumpulan bertemu Albania Rabu ini sebelum melayan Switzerland pada Ahad.

JDT Bawa Pulang Piala FA 2016

Pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) melengkapkan trofi kemenangan kedua musim ini dengan menjuarai Piala FA menewaskan PKNS FC 2-1 pada aksi akhir di Stadium Shah Alam, Sabtu malam.
Pada perlawanan tersebut, JDT atau turut dikenali Harimau Selatan ini dikejutkan dengan gol pendahuluan PKNS FC seawal minit keenam permainan selepas pengadil Syed Azhar Syed Kamar menghadiahkan sepakan penalti gara-gara tindakan Mohd Aidil Zafuan menjatuhkan Gonzalo Manuel Soto.
Penyerang import dari Argentina, Gabriel Guerra tenang menyempurnakan sepakan penalti ke arah gawang Mohd Izham Tarmizi. Tersentak dengan gol pembukaan itu, pemain-pemain Mario Gomez merancakkan serangan sehingga penjaga gol PKNS G. Jeevanathan tersilap langkah menjatuhkan Pereyra Diaz di kawasan kotak penalti sekaligus JDT dihadiahkan sepakan penalti.

Kapten JDT, Safiq Rahim tampil menyamakan kedudukan menerusi tendangan kencang tepat ke arah gol pada minit ke-16. Corak permainan kedua-dua pasukan semakin menarik apabila masing-masing cuba mencari peluang menambah jaringan.

Minit ke-34, JDT meledak gol kedua apabila Pereyra Diaz berjaya membuat penyudah baik di tepi pintu gol PKNS. JDT mendahului kedudukan 2-1 sehingga tamat separuh masa pertama.
Dengan kehadiran penonton seramai 75,253 orang membuat suasana di stadium terus meriah, lebih-lebih lagi dengan kehadiran penyokong-penyokong JDT yang memenuhi setiap ruang distadium ini. Bagaimanapun, penyokong-epnyokong PKNS tetap tenang dan terus memberi sokongan kepada pasukan mereka biarpun ditenggelami dengan sorakan pihak lawan.

Harapan untuk melihat keputusan berubah pada babak kedua tidak kesampaian apabila kedudukan 2-1 kekal hingga wisel penamat. Apa yang menarik, perlawanan akhir ini mendapat perhatian luar biasa apabila buat pertama kalinya pasukan berstatus kelab bertembung di pentas akhir.

Manakala PKNS melakar sejarah kelabnya tersendiri apabila buat julung kalinya mara ke final. Selain itu, JDT berjaya menambah koleksi trofi kedua musim ini selepas turut menjuarai Piala Sumbangsih menewaskan Selangor Februari lalu.