PRK DUN Kajang

Saya baru balik dari satu perjumpaan dengan seseorang. Seseorang yang terlibat secara langsung dalam perancangan untuk membuka jalan ke arah terjadinya “Kajang Move” (memetik nama yang diberikan oleh Rafizi dalam blog beliau). 

Tulisan ini ditulis berdasarkan penerangan beliau. Anggapan saya, semua penjelasan yang diberikan oleh beliau adalah benar kerana saya secara peribadinya mempercayai beliau.

Ada dua sebab utama kenapa tindakan ini diambil. Pertama, isu pergeseran Azmin dengan Khalid Ibrahim. Kedua, kerana serangan terbaru dari pembangkang di Selangor terhadap kerajaan negeri Selangor sekarang.


Isu Khalid Ibrahim dengan Azmin, saya percaya banyak pembaca blog ini sudah tahu. Usaha demi usaha diambil untuk mendamaikan kedua dua mereka, tapi usaha tersebut tidak berjaya. Jalan terbaik adalah dengan meletakkan Anwar di kerusi DUN Selangor.

Isu kedua, kerana serangan demi serangan yang berlaku ke atas negeri Selangor.

Selepas Pakatan Rakyat mengambil alih tampuk pimpinan negeri Selangor pada tahun 2008, media perdana di bawah kawalan UMNO-BN gigih memainkan berita kononnya negeri akan bankrap selepas 10 hari PR memerintah. Alhamdulillah, sehingga tarikh artikel ini ditulis, Selangor masih lagi belum bankrap.

Menyedari bahawa serangan dalam bentuk ekonomi tidak akan berjaya memenangkan UMNO-BN semula di Selangor, mereka mengambil tindakan lain pula, contohnya seperti menyusahkan warga Selangor dengan krisis air. Kesannya, jumlah kerusi UMNO-BN dalam DUN Selangor semakin mengecut sehingga membolehkan PR Selangor mendapat 2/3 majoriti.

Noh Omar terdiam, Najib tertewas.

Selepas kekalahan pada PRU tahun 2013, kaedah serangan diubah. Isu perkauman dan agama dimainkan. Injil berbahasa Melayu dirampas. Berlaku serangan ke atas rumah ibadat. Isu ketuanan Melayu dibangkitkan semula.

MB Selangor yang sedia ada (dikatakan) tidak mempunyai keupayaan untuk berdepan dengan isu perkauman dan agama ini kerana beliau merupakan orang ekonomi. Dalam situasi yang sedia ada, Anwar dilihat sebagai pilihan terbaik untuk mendepani persoalan tersebut. 

Benar atau salah, kita tidak pasti tapi kita sedia menyedari (secara rela atau tidak) bahawa permasalahan kaum dan agama begini memerlukan seorang yang mempunyai ciri ciri negawaran. Maka, Anwar Ibrahim dilihat sebagai penyelesaian.

Ada yang menimbulkan persoalan, mengapa tidak Rafizi Ramli dicalonkan untuk kerusi tersebut? Jawapan yang diberikan ada dua.

Pertama, Rafizi adalah orang ekonomi. Mungkin beliau punya elemen kemanusiaan lebih tinggi dari Khalid Ibrahim, tetapi beliau tetap orang ekonomi. Cara beliau berdepan dengan isu perkauman dan agama akan menjurus kepada pertimbangan dari sudut angka dan statistik juga.

Kedua, Rafizi adalah pengarah strategi parti. Meletakkan beliau sebagai calon MB mengundang risiko dari segi tumpuan dan masa beliau yang lebih baik jika digunakan untuk mengatur strategi parti di peringkat nasional.

Persoalan lain, adakah Anwar bakal menjadi MB Selangor? Jawapan yang diterima adalah, perkara itu masih terlalu pra-matang untuk dibincangkan. Tujuan Keadilan meletakkan Anwar sebagai ADUN di Selangor adalah untuk memberikan lebih pilihan kepada parti sekiranya ada berlaku sesuatu yang tidak diduga.

Secara peribadi, saya merasakan bahawa Anwar diletakkan di Kajang untuk menjadi calon MB.

Selesai perjumpaan tersebut, apakah pandangan saya tentang strategi ini? Saya berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan melihat kepada permasalahan yang timbul dan penyelesaian yang diberikan.

Isu kos? Kos mengadakan pilihanraya adalah satu ‘pembaziran’ (kalau boleh dikatakan membazir) yang mesti (necessary evil). Saya lebih selesa jika parti politik memulangkan mandat kepada rakyat untuk membuat pilihan berbanding kalau main langgar tembok sesuka hati. 

Harus diingat, ini bukan kali pertama pilihanraya kecil diadakan demi untuk menukar MB baru. Sebelum ini sudahpun terjadi di Selangor, Kelantan, Terenganu dan Sabah (atau Sarawak, saya tidak pasti).

Anda pengundi Kajang yang rasa membazir dan marah dengan tindakan Keadilan ini? Gunakan hak anda sebagai pengundi untuk membuat pilihan yang bijak.

Hmmm… Apa lagi yang perlu ditulis eh?

Pandangan terakhir saya secara peribadi tentang keseluruhan isu ini. Saya melihat perkara ini secara objektif. 

Selama ini Anwar menjanjikan itu dan ini di Selangor, tapi beliau tidak dapat mencapai hasrat tersebut kerana tangan beliau terikat. Beliau hanya seorang ahli parlimen dan ketua pembangkang. Jawatan ketua pembangkang itu juga tidak membawa apa apa kesan secara rasmi, kecuali bilik khas di parlimen dan elaun pembantu khas.

Kini kita sudah ada peluang untuk berpegang kepada kata kata beliau secara rasmi. 

Saya mengaku, pada awalnya saya melihat isu ini bakal makan diri. Tapi selesai penjelasan dari individu tersebut, saya berpuas hati dan melihat bahawa kekosongan kerusi tersebut tidakpun memberi kesan besar dalam kehidupan masyarakat di Kajang secara khasnya dan di Malaysia secara amnya.

Adakah kekosongan kerusi tersebut meningkatkan kadar jenayah atau meningkatkan kos sara hidup di Malaysia? Rasa rasanya tidak.

Kenapa saya perlu marah bila ahli politik memulangkan kuasa demokrasi kepada rakyat untuk memilih?

Saya mungkin sedikit terkilan dan marah dengan keputusan ahli politik sebegini, tapi masih lagi cukup waras untuk tidak memilih pihak yang satu lagi.

“Kalau ISMA bertanding camne? Nak sokong ISMA?”

“Tak. Saya belum gila lagi.”

Penulis adalah seorang yang pemerhati politik yang juga pencinta kucing dan boleh didekati di twitter dengan nama @juwaini_