Rakyat Tidak Kisah Susah

Keputusan dua PRK semalam memberi isyarat pengundi di Sungai Besar dan Kuala Kangsar tidak kisah dengan pelbagai kepayahan ditanggung rakyat selama ini yang berpunca daripada pelbagai dasar dilaksanakan kerajaan BN.


Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, ia termasuk pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), kenaikan kos sara hidup dan skandal 1MDB.

“Maksudnya segala keributan dan keresahan yang disuarakan selama ini (baik yang menulis secara terus, baik yang menzahirkan kemarahan itu di media sosial dan lain-lain) hanya satu kepura-puraan?

“Maksudnya rakyat tidak kisah sebenarnya dengan kepayahan hidup yang disebabkan GST? “Mereka tidak rasa marah dengan skandal wang yang menyebabkan peruntukan rakyat dipotong dan menambahkan beban mereka?” soalnya menerusi Facebook miliknya.

Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan berpendapat, pengundi masih terpengaruh dengan dua senjata utama Umno dan BN sejak berdekad lalu, iaitu sentimen perkauman atau keagamaan dan kebendaan.
Dari segi sentimen perkauman atau keagamaan, beliau mendakwa ramai pengundi ‘pasrah’ dengan masalah rasuah dan penyelewengan kerana bagi mereka, memerangi Cina DAP dan sekutu mereka iaitu PKR dan Amanah lebih penting daripada membantu diri mereka sendiri.

Manakala dari segi kebendaan, faktor projek yang dijanjikan dan wang yang diagihkan semasa berkempen oleh Umno dan BN tetap berkesan untuk meraih undi rakyat tidak kira kaum Melayu, Cina, India, Iban atau Kadazan.

“Pilihan Raya Kecil Kuala Kangsar dan Sungai Besar membuktikan penyakit kebendaan ini tidak mengenal kaum, agama, tempat atau masa,” katanya.

PRK Sungai Besar semalam menyaksikan BN menang dengan majoriti 9,191 undi, selepas meraih 18,600 undi, diikuti Amanah (7,609 undi) dan PAS (6,902 undi).

Manakala Kuala Kangsar pula menyaksikan BN mendapat majoriti 6,969 undi, setelah BN meraih 12,653 undi, PAS (5,684 undi), Amanah (4,883 undi) dan calon Bebas (54 undi).

Mengulas pandangan Pakatan Harapan mempelawa PAS kembali ke meja rundingan dengan blok pembangkang, Rafizi berkata, ia telah dibincangkan dengan wakil pimpinan PAS sejak awal lagi.

“Dijemput untuk menyertai Pakatan Harapan malah dirunding sehingga ke peringkat akhir untuk satu lawan satu dalam kedua-dua pilihan raya kecil.

“Keputusan sama ada PAS masih mahu terus menjadi blok ketiga itu di luar kawalan Pakatan Harapan kerana ia keputusan PAS,” tegasnya.

Amanah dibantu Deklarasi Rakyat

Amanah bukan hanya mendapat sokongan Pakatan Harapan malah akan dibantu kumpulan Deklarasi Rakyat sepanjang PRK Parlimen Kuala Kangsar berlangsung.


Perkara itu disuarakan Presiden Amanah, Mohamad Sabu selepas mengisytiharkan Naib Ketua Amanah Kuala Kangsar, Dr Ahmad Termizi Ramli selaku calon parti di hadapan hampir 500 penyokong Pakatan Harapan, di sini, kelmarin.

Menurutnya, sokongan yang diberikan itu bertujuan untuk menumbangkan BN di Parlimen tersebut.

“Kita bersama mereka yang terlibat dalam Deklarasi Rakyat dan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Semuanya akan bergabung untuk memenangkan calon Pakatan Harapan,” katanya.

Hadir sama Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Pengerusi Amanah Perak, Asmuni Awi.

Beliau berkata, pihaknya berharap kemenangan akan dapat dijelmakan dengan sokongan rakyat yang berada dalam Parlimen Kuala Kangsar.

“Kita mahu Pakatan Harapan terus berkumandang di sini. Insya-ALLAH, rakyat Kuala Kangsar bijak bestari, mereka memahami,” katanya.

Mastura Tidak Perlu Hadir Penamaan Calon

Datin Mastura Mohd Yazid, yang dinamakan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar, tidak perlu menghadiri penamaan calon pada 5 Jun ini kerana masih dalam tempoh edah selepas kematian suaminya.


Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa berkata peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak mengkehendaki calon berbuat demikian sebaliknya menetapkan pencadang dan penyokong untuk hadir pada penamaan calon.

“Orang yang mencadang dan menyokong perlu hadir, calon tidak perlu hadir. Oleh itu, Datin Mastura tidak perlu hadir,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke Hospital Kuala Kangsar di sini, Ahad.

Beliau mengulas kenyataan Mastura, 55, menerusi satu tayangan video bahawa beliau tidak dapat menyertai kempen bermula 5 Jun ini kerana masih dalam tempoh edah selama empat bulan 10 hari sebagaimana ditetapkan Islam apabila kematian suami.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan Mastura, yang juga balu Anggota Parlimen Kuala Kangsar Datuk Wan Khair-il Anuar Wan Ahmad, sebagai calon BN bagi PRK Kuala Kangsar.

Ditanya sama ada Mastura akan diwakilkan oleh anaknya, Annuar berkata: “Dalam peraturan pilihan raya, calon dibenar untuk melantik wakilnya.

“Datin Mastura ada wakil-wakil calonnya, jadi tidak semestinya anaknya atau mungkin sesiapa sahaja,” katanya.

Pada pilihan raya umum ke-13, Wan Mohammad Khair-il memperoleh majoriti 1,082 undi menewaskan calon PAS Khalil Idham Lim Abdullah dan calon Bebas Datuk Kamilia Ibrahim. 

Adakah Calon BN Hanya Untuk Dapatkan Undi Simpati?

Ketidakhadiran calon BN bagi PRK Parlimen Kuala Kangsar Datin Mastura Mohd Yazid semasa tempoh berkempen boleh menjejaskan kemenangan BN. Penganalisis Politik Prof Dr Mohd Atory Hussain berkata ini kerana kawasan yang ditandingi itu merupakan kawasan “panas”.


“Kawasan ini kawasan panas. Kalau dia boleh keluar berkempen itu bonus,” katanya.Atory berkata BN mencari calon lain untuk bertanding di kawasan tersebut. “(Tapi) UMNO nampak macam tak ada calon yang lebih sesuai selain isteri dia (bekas Ahli Parlimen Kuala Kangsar Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar),” katanya.

Beliau berkata pencalonan Mastura bertujuan untuk mendapatkan undi simpati daripada pengundi di kawasan tersebut. “Tapi adakah pengundi simpati? Kita tak tahu. Daripada segi kelayakan saya rasa tak ada masalah. Kalau dia dah popular dari dulu, tak ada masalah..tapi kalau dia tak dikenali susah juga,” katanya.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan Mastura yang juga balu Wan Mohammad dipilih sebagai calon BN bagi PRK Kuala Kangsar.

Mastura, 55, menerusi tayangan video berkata beliau tidak dapat menyertai kempen yang dijadual bermula 5 Jun depan kerana masih berada dalam tempoh edah selama empat bulan 10 hari sebagaimana ditetapkan dalam hukum Islam apabila seseorang wanita kematian suami. Kerusi Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar kosong susulan kematian penyandangnya dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak awal bulan ini.

Jadi apakah pendapat anda pula? Ada warga Kuala Kangsar yang sedang membaca?

Tun M Mahu BN Kalah Dalam PRK

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan harapan besar agar pembangkang menewaskan BN pada dua pilihan raya kecil (PRK) yang akan diadakan 18 Jun depan. Bekas presiden Umno itu mahu kedua-dua kerusi tersebut hanya ditandingi satu lawan satu sahaja.


Mahathir berkata, ia bagi mengelakkan perpecahan undi di kalangan pembangkang seperti berlaku dalam pilihan raya negeri (PRN) Sarawak sebelum ini.

“Bulan puasa ini kita akan berdepan dengan dua pilihan raya kecil, saya berharap kita semua akan mengalahkan BN dalam PRK kali ini.

“Jangan ambil kira siapa yang lawan BN, kita hendak satu parti sahaja yang lawan BN kerana kita tahu kalau kita letak dua tiga calon seperti yang berlaku di Sarawak, undi berpecah dan BN akan menang.

“Kalau kita hanya ada satu lawan satu kita boleh tentukan kekalahan BN dengan mengundi sebarapa banyak mungkin kepada calon yang melawan BN,” kata Mahathir ketika berucap dalam Himpunan Selamatkan Malaysia di Stadium Malawati, Shah Alam, malam tadi.

Meskipun dihadiri barisan kepimpinan Pakatan Harapan (HARAPAN), himpunan kali ini dilihat kurang mendapat sambutan apabila hanya dihadiri kira-kira 300 penyokong.

Bagaimanapun jumlah kehadiran dikatakan merosot kerana kerana malam tadi turut berlangsung perlawanan akhir Piala FA di Shah Alam.

Bercakap mengenai langkah PAS meletakkan calon di dua kerusi berkenaan, jelas Mahathir pembangkang seharusnya bersatu dan tidak menjadikan isu perebutan kerusi sebagai faktor kemenangan BN di dua PRK berkenaan.

Justeru, Tun Mahathir berkata meskipun PAS bukan lagi sebahagian dari pakatan itu HARAPAN perlu bersatu bagi menumbangkan BN.

“Jangan kita (pertikai) siapa calon ini, kalau pun daripada dia parti PAS dan PAS tidak bersama dengan kita tetapi yang utama mengalahkan BN untuk menunjukkan kepada Najib bahawa rakyat sudah tidak lagi sokongnya, sebab itu kita harus kerja keras untuk mengalahkan BN dalam PRK pada kali ini.

“Ini akan menjadi bukti bahawa kemenangan di Sarawak bukan kemenangan Najib walapun dihambur begitu banyak wang disana tetapi mereka memikir tentang kepentingan Sarawak semata-mata bukan berkenaan dengan sokongan kepada Najib,” tegas Mahathir.

sumber: mkini

1.27 Juta Rakyat Malaysia Mahu PM Letak Jawatan

Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan tahniah kepada 1.2 juta rakyat Malaysia kerana berani menandatangani Deklarasi Rakyat yang menuntut pengunduran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.


Beliau juga yakin jumlah tandatangan yang menuntut pengunduran Najib itu akan bertambah dari semasa ke semasa. “Saya percaya lebih ramai yang akan tampil berbuat demikian sebagai pernyataan komitmen untuk menyelamatkan Malaysia daripada pemimpin yang rasuah dan pecah amanah.

“Sekalung tahniah kepada pasukan petugas Deklarasi Rakyat yang telah bertungkus lumus mengumpul tandatangan di segenap pelusuk tanah air. Syabas saya ucapkan! Undur Najib! Selamatkan Malaysia!,” katanya dalam laman Facebooknya.
Beliau berkata demikian mengulas pengesahan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa 1.27 juta tandatangan telah berjaya dikutip di seluruh negara.

Dalam pada itu, Dr Mahathir juga berkata akan menyerahkan sendiri dokumen yang dinamakan Deklarasi Rakyat itu kepada Yang di-Pertuan Agong dan sedang mendapatkan perkenan untuk menghadap.

Katanya, walaupun sasaran sejuta tandatangan pada tahun ini berjaya dilaksanakan lebih awal, tandatangan lain akan terus diterima. Mahathir berkata, sebanyak 1.07 tandatangan dikumpul melalui atas talian dan 200,000 lagi melalui pengedaran borang secara fizikal.

Sebanyak 50,000 lagi direkodkan di laman alternatif Change.org.

Jamal Buat Laporan Polis Nafi Ugut Bunuh Ali Tinju

Datuk Jamal Md Yunos menafikan beliau membuat ugutan bunuh terhadap Presiden Gerakan Baju Merah, Mohd Ali Baharom, atau lebih dikenali sebagai Ali Tinju. Menyusuli laporan polis yang dibuat terhadapnya hari ini.


Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar itu tampil membuat laporan balas di Balai Polis Sekinchan, petang tadi. Jamal berkata, tuduhan Ali Tinju terhadapnya adalah berniat jahat dan bertujuan untuk mencemar nama baiknya dan keluarganya. 

“Disini saya ingin menafikan (kononnya saya ingin menembak dan membunuh Ali Tinju) dan pernyataan tersebut adalah berniat jahat dan bertujuan untuk menjatuhkan reputasi saya. “Saya berharap polis dapat menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya,” katanya dalam tangkap layar laporan polis Jamal.

Terdahulu, Ali Tinju membuat laporan polis di IPD Dang Wangi dan mendakwa Jamal menghubungi petang semalam lalu mengugut akan memukul dan menembaknya. Ali sebelum itu dilaporkan berkata BN akan kalah teruk dalam pilihan raya kecil Sungai Besar yang akan diadakan tidak lama lagi sekiranya Jamal dipilih sebagai calon gagasan itu. 

Kenyataan itu menyusuli program burger percuma untuk warga Sekinchan dan Sungai Besar anjuran Jamal. Beliau menafikan program burger itu merupakan kempen politik tersembunyi bagi melobi dirinya sebagai calon BN.

“Akhirnya Wang Rakyat Bayar Hutang 1MDB?”

Segala hutang dan tanggungjawab Bandar Malaysia Sdn Bhd akan berpindah kepada Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) sekiranya pindah milik dilakukan seperti cadangan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).


Menurut Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, beliau telah memberi amaran tentang perkara ini sebelumnya di mana pada akhirnya, wang rakyat juga yang akan digunakan untuk membayar hutang-hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan anak syarikatnya.

“Ini bermakna tanggungan hutang daripada terbitan sukuk RM2.4 bilion itu kini akan dipindahkan kepada kerajaan seperti juga tanggungjawab melibatkan kerja-kerja memindahkan dan naik taraf pangkalan-pangkalan udara.
“Sebelum ini, kaedah yang sama telah digunakan untuk memindahkan hutang RM4 bilion yang diambil anak syarikat 1MDB iaitu SRC International kepada MKD,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, PAC melalui laporannya terhadap 1MDB mencadangkan agar anak-anak syarikat dan aset milik kumpulan 1MDB seperti Tun Razak Exchange, Bandar Malaysia, tanah Air Itam dan tanah Pulau Indah seharusnya diserahkan kepada MKD supaya dapat dikawal selia dan diuruskan dengan lebih rapi dan teliti.

Dalam pada itu, menurut Rafizi, jumlah hutang RM2.4 bilion ini akan ditanggung oleh kerajaan dalam keadaan pelbagai peruntukan dipotong kerana kedudukan kewangan kerajaan persekutuan yang makin merundum.

Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan mengingatkan Bandar Malaysia mempunyai dua tanggungjawab dan komitmen penting yang melibatkan kepentingan awam.

“Bandar Malaysia mempunyai tanggungan hutang sebanyak RM2.4 bilion (atau jumlah mengikut wang yang telah dibelanjakan setakat ini) melalui terbitan sukuk yang dilanggan oleh Tabung Haji.

“Bandar Malaysia bertanggungjawab menyiapkan kerja-kerja pemindahan dan naik taraf pangkalan-pangkalan udara melibatkan Pangkalan Udara Sungai Besi dan lapan yang lain,” katanya.

Jangan Jual Undi Untuk Wang Sogokan

Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simanggang tidak menjual undi mereka semata-mata untuk mendapatkan wang sogokan. Perdana Menteri berkata, masa depan pengundi adalah lebih bernilai berbanding dengan wang ringgit yang cuba disogokkan oleh pihak-pihak tertentu yang mahukan undi mereka.

Mereka perlu mengutamakan masa depan mereka semasa pilihan raya ini dan bukannya menggunakan hak mereka untuk mendapat duit secara cepat.


Beliau berkata demikian semasa berucap di Rumah Panjang Jegai Anak Jawa, Kampung Purai, sebuah perkampungan masyarakat Iban di Undop, kira-kira 40km, dari sini, Selasa.
Sebelum itu, calon Barisan Nasional (BN) DUN Simanggang, Datuk Francis Harden Hollis, mendakwa telah menerima maklumat ada cubaan pihak tertentu untuk menyogok pengundi di kawasannya agar tidak mengundi BN.

Beliau mendakwa pengundi khususnya di kawasan kaum Iban telah ditawarkan RM100 setiap seorang untuk berbuat demikian dan akan ditambah RM200 lagi selepas pilihan raya ini.

Sementara itu, Najib berkata, beliau yakin pengundi Iban di DUN Simanggang bijak membuat pilihan mereka dan tidak mudah terjebak dengan tawaran sedemikian.

“Orang Iban orang pahlawan. Orang yang ada semangat tinggi. Jadi kita jangan jual maruah kita. Lebih penting (jangan gadai) masa depan kita,” katanya.

Menurutnya, BN bukan hanya berjuang untuk memastikan kesejahteraan generasi sekarang tetapi juga untuk merancang masa depan cemerlang untuk generasi baharu.

Perdana Menteri, yang diiringi Timbalan Menteri Dalam Negeri, Masir Kujat, yang juga Anggota Parlimen Sri Aman, turut mengumumkan peruntukan RM200,000 untuk beberapa projek bagi penduduk Rumah Jegai semasa majlis itu.

Francis Harden, selaku penyandang, akan ditentang calon DAP, Leon Jimat Donald, Norina Umoi Utot (PKR) dan calon Bebas, Ngu Piew Seng, dalam pilihan raya negeri, Sabtu ini.


Siapa yang selalu janji sana sini… dapat signboard je… kih kih.. 

Nurul Izzah Dilarang Masuk Ke Sarawak

Nurul Izzah dilarang ke Sarawak hari ini, sekalipun telah menulis surat kepada Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem untuk meminta kebenaran menjejakkan kaki ke negeri itu. Ahli Parlimen Lembah Pantai itu menerusi Twitternya memaklumkan, beliau terkejut gagal memasuki Sarawak, walaupun telah menulis surat kepada Adenan Jumaat lalu.


“Salah guna kuasa sewenang-wenangnya yang berterusan oleh negeri,” tulis Nurul Izzah dalam Twitternya yang turut disertakan gambar notis sekatan kemasukannya hari ini.
Sementara itu, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil turut mengesahkan sekatan ke atas Nuruz Izzah, setibanya di Lapangan Terbang Miri, pagi tadi.

Nurul Izzah pernah dihalang masuk ke Sarawak pada Disember tahun lalu, selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah mengharamkan wanita itu menjejakkan kaki ke Negeri di Bawah Bayu, kerana menemui Jacel Kiram, anak Sultan Sulu yang menjadi dalang pencerobohan Lahad Datu, Sabah pada 2013.

Namun, Adenan dilaporkan sebagai berkata, beliau akan mempertimbangkan untuk membenarkan Nurul Izzah dan ibunya yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ke Sarawak, jika mereka meminta secara baik.

Dr Wan Azizah dibenarkan memasuki Sarawak, setibanya di Lapangan Terbang Sibu semalam, walaupun lawatan beliau itu dihadkan sehingga 5 Mei sahaja.