Selangor Batal Sambutan Tahun Baru 2015

Selangor Batal Sambutan Tahun Baru 2015


Selangor memutuskan membatalkan sambutan Tahun Baru 2015 serta Te‎masya Selangor 15 sebagai tanda simpati kepada rakyat di negeri-negeri pantai timur yang menderita bencana banjir, kata Mohamed Azmin Ali.


Menteri besar Selangor itu berkata, keputusan dibuat bagi menjimatkan perbelanjaan kerajaan negeri Selangor.

“Kerajaan negeri Selangor mengarahkan Majlis Bandaraya Shah ‎Alam (MBSA) untuk membatalkan program Jom Heboh anjuran TV3 yang dijadualkan pada 27 dan 28 Disember di I-City, Shah Alam atas prinsip sama,” katanya pada sidang media di Bangunan Setiausaha Kerajaan (SUK), di Shah Alam hari ini.

Menurut Azmin, sebagai tanda simpati Selangor juga meluluskan RM1 juta untuk kerajaan Kelantan; RM100 ribu ‎masing-masing untuk negeri Terengganu, Pahang, dan Perak.


Sejumlah RM200,000 juga ‎bagi Misi Bantuan Kemanusiaan yang dikendalikan Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga melalui Pertubuhan Misi Bantuan Kemanusiaan Selangor (Pantas).

Beliau bersama delegasi juga akan turun ke Kelantan hari ini untuk menyampaikan bantuan

Pakatan Juga Jangan Kecewakan Rakyat

Pakatan juga jangan kecewakan rakyat

Begitu banyak sekali masalah negara yang namaknya belum lagi terselesaikan. Isu perkauman masih membara, harga getah dan kelapa sawit begitu rendah sekali, nilai wang Malaysia semakin menurun, jutaan pendatang asing sangat merisaukan, harga barang melonjak tinggi dan pelbagai lagi.

Malah wartawan veteran, Datuk A Kadir Jasin, dalam tulisan di blognya, sampai menasihatkan kerajaan agar berterus-terang kepada rakyat mengenai realiti ekonomi negara pada masa ini. Kadir berkata, kerajaan perlu berterus terang kepada rakyat mengenai situasai ekonomi negara sebelum mereka marah apabila keadaan menjadi parah.

Katanya, kerajaan perlu berkongsi maklumat secara rasional dan terbuka dengan rakyat bukan berdolak-dalik dengan berita-berita baik yang sengaja diada-adakan. “Lebih baik membuatkan mereka kurang gembira dengan menyatakan kebenaran daripada membuatkan mereka marah apabila malapetaka ekonomi melanda mereka. Yang utama sekarang adalah berkongsi maklumat secara rasional dan terbuka dengan rakyat jelata. Bukan berdolak-dalik dengan mereka apatah lagi memesongkan mereka dengan berita-berita baik yang sengaja diada-adakan,” tambahnya.

Terus teranglah dengan mereka, kata Kadir, jangan sekali-kali anggap mereka bangang, bodoh, dungu, tongong dan bahlul. Di tengah-tengah kegelisahan rakyat ini, kelihatannya parti-parti dalam Pakatan Rakyat seperti tidak mengambil perhatian serius akan masalah ini. Malah mereka masih sibuk dengan masalah dalaman yang tidak habis-habisnya.

Memang kita kerap membaca tulisan Dr Dzulkefly Ahmad dari PAS, pandangan Rafizi Ramli dari PKR, Tony Pua dari DAP dan analisis dari ahli ekonomi PAS, Dr Rosli Yaakub. Juga dari peguam Hanipa Maidin serta beberapa tokoh NGO.

Tetapi belum nampak usaha Pakatan Rakyat sendiri untuk menangani secara besar-besaran krisis ini yang boleh meyakinkan rakyat bahawa Pakatan – yang dikira sebagai alternatif kepada Barisan Nasional – serius dengan krisis ini.

Pakatan perlu melakarkan usaha secara konkrit bagaimana mengenai masalah negara ini yang berhubung dengan soal ekonomi, perkauman, keresahan rakyat kerana kenaikan harga barang, wang kita yang susut nilai, rasuah, pendatang asing yang berlambak di sana sini dan pelbagai masalah lagi.

Krisis dalam Pakatan mungkin dilihat keseluruhannya sudah mulai reda, walaupun pergeseran di antara PAS dan DAP masih berterusan, sementara PKR mulai tenang. Tetapi krisis dalaman PAS terus membara.

Isu walak dan tidak walak (setia dan tidak setia) antara sesama ahli kelihatan boleh mengundang perpecahan secara terbuka dalam PAS sama ada disedari atau tidak disedari. Malangnya hingga kini tidak nampak ada usaha meredakan isu ini.

Ini menyebabkan, Fauwaz Fadhil, putera bekas presiden PAS, Allahyarmam Fadzil Noor, menyatakan kebimbangan dalam Facebook:

“Risau melihat gerakan Islam banyak membincangkan isu wala’ dan taat kepimpinan, khususnya kepada golongan ulama, daripada membincangkan isu kelemahan pimpinan gerakan Islam yang menyebabkan mereka dikritik. Kehidupan zaman sekarang menuntut banyak berdialog bukannya suruh taat.”

Dengan terus bergelut isu itu, nampaknya PAS lupa untuk memberi perhatian kepada isu nasional yang begitu banyak sekali. Dalam Muktamar PAS di Johor September lalu, isu ekonomi, keselamatan negara, isu pendatang asing disentuh sambil lalu saja dalam perbahasan.

Demikian juga dengan isu perkauman yang terus membara, tidak disentuh di dalam Muktamar itu, pada hal isu ini adalah isu PAS sejak 30 tahun lalu, di mana ucapan dasar presiden, Yusuf Rawa di muktamar di Kedah masa itu membawa tema “Menggempur Pemikiran Assobiyah” (Perkauman).

Akhirnya, kini isu ini senyap begitu saja di dalam PAS. Rakyat yang sedang resah dengan pelbagai isu yang muncul itu melihat Pakatan Rakyat, khususnya PAS, seperti terlepas pandang dengan isu tersebut.

Benar ada pelbagai kritikan dari para tokoh dalam Pakatan sendiri terhadap pemerintah. Tetapi itu tidak cukup, kerana rakyat mahukan Pakatan memperlihatkan apa yang ada “di tangan Pakatan”, iaitu rancangan besar-besaran untuk mengatasi masalah ini.

Ada Buku Jingga dari Pakatan sendiri dan “Negara Berkebajikan” (gagasan PAS) yang di ketengahkan menjelang PRU Ke-13 dulu. Tetapi kedua-dua gagasan itu entah ke mana menghilangnya. Pada hal kedua-dua gagasan itu boleh dijadikan asas yang kukuh dalam meyusun rancangan besar sebagai jawapan kepada krisis negara yang ada sekarang.


Gagasan Negara Berkebajikan penuh dengan idea yang sangat praktikal dan boleh mensejahtera serta menyelamatkan negara, tetapi hingga kini tiada siapa yang pedulikannya lagi. Pada hal buku tersebut adalah “golden idea” yang dicetuskan oleh para pemikir PAS yang menyusunnya.

Tiba-tiba isu ulama-profesional ditimbulkan kembali, mencetuskan gelombang yang luar biasa dalam PAS dan didebatkan tidak habis-habisnya, hingga melupakan isu besar yang jauh lebih penting.

Isu ini – entah atas kepentingan apa dan siapa – disuburkan kembali, walaupun Ustaz Fadzil sudah menegaskan bahawa “kita hendak mengulamakkan professional dan memprofesionalkan ulama” yang membawa maksud bahawa pendukung PAS perlu memiliki kedua-dua elemen ini untuk menjadi pendukung PAS yang berkualiti.

Rakyat kecewa dengan krisis yang berlaku dalam negara, yang dilihat bagaimana Umno/BN yang memerintah tidak berupaya menyelesaikannya, malah bertambah tenat. Pada hal mereka memiliki segala keupayaan untuk mengatasi krisis ini.

Maka itu, rakyat mengharapkan sangat PAS, PKR dan DAP, duduk semeja memulakan perbincangan untuk mengatasi masalah negara seperti yang disebutkan tadi dan memberitahu rakyat akan rancangan mereka.

Janganlah tunggu dekat PRU Ke-14 baru bingkas untuk mengusuun rancangan memulihkan krisis negara ini. Berusahalah dari sekarang supaya rakyat menyokong Pakatan melalui peti undi nanti.

Datuk Seri, Datuk Berseri-seri dan Datuk Tiada Seri

Datuk Seri, Datuk Berseri-seri dan Datuk Tiada Seri

Berikutan penarikan gelaran Datuk Seri kepada Anwar Ibrahim oleh Sultan Selangor, dunia politik Malaysia bagai nak runtuh seketika. Walaupun pemberian atau penarikan gelaran kepada mana-mana individu adalah hak dan kuasa istana, tetapi oleh kerana ia melibatkan Anwar, ramai musuh politiknya gembira dengan keputusan Istana Selangor itu.

Pada peringkat awal berita itu tersebar, ramai pemimpin dan pengendali media sosial pro-Umno menyambutnya dengan gembira. Masa depan politik Anwar seolah-olah telah musnah dan mati dengan penarikan gelaran itu.

Ada yang berkata Anwar hanya akan dipanggil “Saudara Anwar” atau “Brother Anwar” sahaja selepas ini. Ada pula yang berkata cukup dengan Anwar saja. Yang memperlekeh pula meminta dipanggil “Datin Seri Anwar” berikutan isterinya, Dr Wan Azizah bergelar Datuk Seri.


Hanya setelah didedahkan bahawa Anwar masih mempunyai sekurang-kurangnya tujuh lagi gelaran Datuk termasuk tiga Datuk Seri, barulah mereka yang riuh-rendah pada awalnya tadi mula berdiam diri. Ditarik cuma satu, ada banyak lagi yang berbaki.

Tetapi serangan mereka tidak berakhir setakat itu. Ada pula yang meminta Anwar memulangkan semula semua gelarannya dan ada juga yang terlebih daulat meminta supaya Sultan dan Yang Dipertuan Negeri yang pernah menganugerahkan gelaran kepada Anwar agar menarik balik semua gelaran itu.

Ketua Pembangkang Selangor, Shamsudin Lias pula meminta Anwar meletak jawatan sebagai Penasihat Ekonomi Negeri Selangor berikutan dakwanya, penarikan gelaran itu menyebabkan Anwar telah hilang intergritinya.

Sebenarnya penarikan gelaran Anwar itu adalah kuasa dan pertimbangan Sultan yang tidak perlu kita kaitkan dengan politik atau perkara lain. Baginda berhak memberi dan menarik balik atas apa juga alasan. Dan Anwar sendiri menerima keputusan itu dengan hati yang terbuka serta mengambil maklum mengenainya dan menyatakan tidak pernah meminta atau memohon gelaran itu.

Sebelum ini ramai yang sudah pernah ditarik gelaran termasuk Tengku Razaleigh Hamzah dan Ibrahim Ali. Sebagaimana Ku Li dan Ibrahim Ali tidak terkesan atau mati hayat politiknya dengan penarikan gelaran oleh istana, Anwar juga demikian. Beliau akan meneruskan perjuangan politiknya selagi mampu dan selagi diberi sokongan oleh rakyat.

Tidak perlu diminta menyerahkan gelaran yang lain atau meminta semua gelarannya ditarik balik. Tidak perlu juga diminta melepaskan jawatannya sebagai Penasihat Ekonomi Selangor kerana itu adalah hak Menteri Besar dan tiada kena-mengena sama ada bergelar atau pun tidak. Juga tidak perlu dikaitkan dengan apa-apa yang lain kerana semuanya tidak berkaitan.


Sama ada bergelar atau tidak, tidak mengubah apa-apa kepada Anwar. Kadangkala panggilan tanpa gelaran lebih menyerlahkan kemesraan. Ghafar Baba tetap dihormati dan disanjung walau tidak bergelar apa-apa ketika memegang jawatan dalam kerajaan. Beliau hanya menerima gelaran Tun setelah bersara dan meninggalkan kerajaan.

Memang ada orang yang bangga dan memburu gelaran Datuk atau Datuk Seri ini. Ia bagaikan aksesori paling mahal yang menghiasai kehidupan mereka. Ada pula yang tidak peduli dengannya dan walaupun mempunyai gelaran tertentu tetapi tidak kisah dipanggil apa pun. Yang menolak gelaran pun ramai juga.

Mereka yang ada jasa dan sumbangan kepada bangsa dan negara mungkin berhak berbangga dengan gelaran ini kerana tanda adanya pengiktirafan. Gelaran Datuk atau Datuk Seri tentunya menjadikan mereka lebih dihormati dan berseri-seri. Begitu juga dengan mereka yang dikenali dalam masyarakat, gelaran Datuk atau Datuk Seri seringkali menambah aura dan seri kepada penampilan seharian.

Tetapi ada juga mereka yang kita tidak tahu jasa dan sumbangannya, tiba-tiba diketahui telah menerima gelaran Datuk atau Datuk Seri. Kadang-kadang kawan lama yang berpuluh tahun tidak berjumpa, tiba-tiba sekarang sudah bergelar Datuk atau Datuk Seri juga. Mungkin ia rezeki dan pilihan mereka sendiri yang tidak perlu kita gundah-gulana dengannya.

Tambahan pula, selain ada sembilan Sultan atau Raja, negeri tidak beraja melalui Yang Dipertuan Negeri juga berhak memberikan gelaran Datuk atau Datuk Seri ini. Belum termasuk lagi Sultan Sulu, Mindanao, Naning dan Sultan Melaka yang tidak diiktiraf. Untuk itu, saban tahun mereka yang bergelar ini berganda jumlahnya sehingga kadangkala di keliling kita lebih ramai yang bergelar Datuk atau Datuk Seri daripada yang tidak mempunyai sebarang gelaran apa-apa.

Bahkan, pelakon Hindi, Shah Rukh Khan dan ada individu daripada Bangladesh serta Indonesia juga turut bergelar Datuk dan Datuk Seri sekarang ini.

Kerap kali juga mereka yang bergelar ini bila berbual membahasakan diri mereka sendiri sebagai Datuk atau Datuk Seri. Itu maknanya mereka ingin memberitahu gelaran yang ada padanya dan mahu kita memanggilnya dengan Datuk atau Datuk Seri juga. Kalau ringan mulut, panggillah mereka dengan penghormatan itu.

Kadangkala wajah mereka yang masam dan tak berseri, terus berubah jadi berseri-seri bila kita memanggilnya dengan gelaran Datuk atau Datuk Seri itu. Sekurang-kurangnya dengan memanggil mereka dengan gelaran yang diberi oleh istana itu berjaya menambahkan lagi keceriaan dunia ini. Oleh itu, jika ada tanda-tanda kawan kita yang bergelar mahu dipanggil dengan gelaran yang diterimanya, lakukanlah dengan senang hati kerana ia juga menunjukkan budi bahasa kita.

Namun demikian, ada juga mereka yang bergelar Datuk atau Datuk Seri ini yang tampil tidak berseri atau tanpa berseri langsung. Kita pula kadangkala tidak percaya mereka itu sudah bergelar Datuk atau Datuk Seri jika dinilai daripada penampilannya.

Apa pun, meski ada yang menganggap gelaran Datuk atau Datuk Seri sebagai aksesori paling mahal dalam kehidupan, perhiasan paling bernilai tetaplah budi bahasa sejak dulu, kini dan selamanya. Jika bergelar Datuk atau Datuk Seri tetapi tinggi budi bahasannya, pujian melangit akan selalu diberikan tetapi jika buruk budi bahasa, kelakuan dan perangai, walau ada 17 gelaran Datuk atau Datuk Seri sekalipun, tetap juga dipandang rendah oleh manusia lain.

Sekadar contoh, kiranya bergelar Datuk atau Datuk Seri tetapi sesuka hati memanggil orang lain dengan gelaran “haramjadah” atau “bangang”, lama-kelamaan penghormatan akan hilang dan mungkin dibalas dengan cacian atau makian pula. Gelaran Datuk atau Datuk Seri tidak memberi kelebihan kalau tidak disertai dengan budi bahasa dan peri laku yang baik.

Sebagaimana Anwar lebih dikenali kerana perjuangannya dan bukan kerana gelaran Datuk atau Datuk Seri yang dimilikinya, kita juga seharusnya tidak terlalu risau sama ada bergelar atau pun tidak. Yang perlu kita bimbang ialah jika kita sudah hilang akhlak, budi bahasa dan keceriaan dalam hidup ini. 

PAS dan DAP Berperang Mulut Lagi

PAS dan DAP Berperang Mulut Lagi


PAS dan DAP kembali berperang mulut setelah sebelum ini kedua-dua parti ini berbalah ketika kemelut Menteri Besar Selangor baru-baru ini. 

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang kembali menghangatkan perbalahan antara kedua parti pembangkang ini selepas Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP meluluskan resolusi bagi mendesak Presiden PAS tersebut supaya hadir ke mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Rakyat. 

Hadi dalam satu soalan yang ditujukan oleh wartawan berkata terpulanglah kepada dirinya untuk hadir atau tidak ke mesyuarat akan datang. Mengikut Hadi, ikut kehendaklah samada beliau mahu datang atau tidak. Nampaknya dengan jawapan tersebut sudah pasti PAS kini masih bersendirian dalam Pakatan Rakyat walaupun krisis Menteri Besar Selangor telah selesai. 

Setiausaha agung DAP, Lim Guan Eng pula dalam kenyataannya berkata Hadi telah beberapa bulan tidak hadir ke mesyuarat tersebut. Hadi seharusnya hadir untuk menunjukkan bahawa PAS akan tetap bersama Pakatan Rakyat supaya PR berdaya maju dan dapat mengembalikan kepercayaan rakyat.

Sementara itu, Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata perkara berkenaan sepatutnya tidak timbul kerana Hadi mungkin mempunyai alasan tersendiri tidak dapat hadir dalam mesyuarat tersebut. 

Apakah kemelut antara PAS dan DAP akan berakhir? Mungkin jalan terakhir buat PAS adalah untuk keluar dari Pakatan Rakyat dan berdiri sendiri tanpa bekerjasama dengan pihak lain. Parti PAS dianggap sering ‘dibuli’  dan tidak berpendirian teguh dari pandangan rakyat. Sudah tiba masanya untuk PAS membuat keputusan yang tegas dan keluar dari Pakatan Rakyat. 

Sudahkah Rakyat Kelantan Bersedia dengan Hudud?

Sudahkah Rakyat Kelantan bersedia dengan Hudud?


Langkah kerajaan negeri Kelantan menggubal rang undang-undang persendirian untuk dibentangkan di Parlimen merupakan langkah pertama untuk pelaksanaan undang-undang Jenayah Islam hudud dan qisas di negeri itu. Sudahkah rakyat Kelantan bersedia? 

Keputusan itu telah diumumkan secara rasmi oleh Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob. Langkah ini menunjukkan ketegasan kerajaan Kelantan untuk melaksanakan perundangan syariah itu. 


Beliau menambah lagi kerajaan negeri Kelantan merupakan yang pertama di dunia yang mempunyai kaedah atau undang-undang bertulis mengenai tatacara hukum hudud secara terperinci. 


Hasrat kerajaan Kelantan untuk menjayakan pelaksanaan hudud pada tahun 2015 dibuat berdasarkan enam faktor iaitu: 
  • menjelaskan kepada rakyat hanya undang-undang Allah yand dapat menyelesaikan jenayah
  • menyatakan kesungguhan kerajaan Kelantan yang tidak putus asa dalam melaksanakan hukum Hudud
  • memberi kesedaran minda umat Islam terhadap Kanun Jenayah Syariah sebagai hukum Allah agar dapat dilaksanakan nanti
  • membuka jalan dan penerangan kepada bukan Islam tentang konsep hudud yang benar iaitu bersifat mendidik dan bukannya keganasan
  • memberi isyarat jelas kepada yang kurang yakin dengan hukum tersebut supaya lebih positif
  • memberi semangat kepada pemimpin dan rakyat supaya membuat persediaan bersungguh-sungguh ke arah pelaksanaan itu. 

Meskipun terdapat tentangan dari bukan Islam, kerajaan PAS Kelantan akan tetap melaksanakan hukum tersebut di negeri itu. Kerajaan PAS Kelantan juga mendakwa mereka tidak memerlukan persetujuan sekutu mereka DAP dan tidak akan tunduk sama sekali dengan sebarang desakan. 


Adakah kerjasama PAS-DAP-PKR akan berakhir sekiranya PAS tetap meneruskan keputusan tersebut? Masalah dalaman antara Pakatan Rakyat nampaknya semakin mendalam selepas kemelut MB Selangor baru-baru ini. 


Menurut Lim Kit Siang, PAS mendapat sambutan rakyat sebelum ini bukan kerana perlaksanaan hudud, tetapi lebih kepada matlamat menentang kerajaan. Tumpuan kepada ekonomi perlu lebih difokuskan berbanding hudud kerana faktor itulah yang merupakan penyumbang utama kejayaan Pakatan Rakyat. 

Adakah Rakyat Sudah Bosan Dengan PR?

Adakah Rakyat Sudah Bosan Dengan Pakatan Rakyat dan Anwar Ibrahim? 

Kemelut dalaman Pakatan Rakyat baru-baru ini telah menunjukkan sisi-sisi gelap terhadap Pakatan Rakyat sehingga rakyat di atas pagar agak muak dan jelak dengan permainan politik. Adakah rakyat sudah bosan dengan permainan politik dari kedua-dua belah pihak?

Selepas kegagalan merampas Putrajaya pada Pilihanraya Umum ke 13, Pakatan Rakyat dilihat seperti berundur ke belakang apabila tercetus pelbagai kemelut dalaman yang antara lain merosakkan imej Pakatan Rakyat di mata umum. Bermula dengan kemelut Menteri Besar Selangor dan disusuli dengan Langkah Kajang, permainan politik tersebut jelas memberi impak negatif terhadap PR. 


PR tidak lagi buat masa sekarang menjuarai suara rakyat yang dicanangkan sebelum ini. Walaupun rakyat dihimpit dengan kos sara hidup yang semakin meninggi dan ditambah pula dengan pelbagai kenaikan yang mungkin berlaku pada tahun 2015, namun PR terutama PKR lebih fokus memainkan isu mengenai Kes Liwat II yang akan diketahui keputusannya hujung Oktober ini. 

Koordinat Pusat Lensa, Ekhsan Bukharee dalam satu laporan berkata, cara politik Anwar dan semangat solidariti yang pernah dibawa pemimpin itu sudah pudar dan tidak akan berulang pada masa terdekat. Rakyat juga sudah tidak akan berhimpun untuk membantah keputusan jika didapati bersalah. 


Rakyat melihat perjuangan kedua-dua belah pihak PR atau BN. Namun isu dimainkan oleh ahli politik lebih kepada menjaga kepentingan masing-masing. Akhirnya yang menjadi mangsa adalah rakyat itu sendiri. Rakyat mungkin sudah bosan untuk menyertai himpunan yang isunya hanya memperjuangkan satu individu dan rakyat juga mungkin sudah bosan dengan kerenah mereka yang memegang tampuk kerajaan yang dilihat tidak sensitif dengan permasalahan rakyat walaupun terdapat usaha untuk membantu rakyat. 


Keputusan AMK menganjurkan kempen “Rakyat Hakim Negara” dilihat tidak bersesuaian dengan apa yang diperjuangkan. Memang benar rakyat itu hakim negara kerana rakyatlah yang mengundi siapa yang akan memerintah negara dan rakyat juga boleh menghukum pemerintah sekiranya tidak berlaku adil. Ianya pernah terjadi di serata dunia dimana rakyat berhimpun untuk menggulingkan kerajaan yang tidak adil. 

Menurut ketua AMK Nik Nazmi, tujuan kempen “Rakyat Hakim Negara” bukanlah sekadar solidariti terhadap Anwar tetapi juga untuk memberi kesedaran kepada rakyat terhadap keadilan dan reformasi sosial dalam negara. Namun, dalam konteks Malaysia yang mempunyai pelbagai isu sensitif terutama agama dan bangsa ianya tidak akan berlaku dalam sekelip mata kerana adanya isu-isu sensitif seperti ini. 


Rakyat juga sudah bijak kerana dalam keadaan sekarang berhimpun dijalanraya hanya tidak mendatangkan apa-apa hasil kerana tiadanya isu yang dekat di hati mereka yang boleh membolehkan mereka bersatu menyatakan suara rakyat tanpa mengira agama atau bangsa mereka. Jalan yang terbaik adalah untuk menunggu pilihan raya umum yang akan datang dan menyuarakan pilihan mereka dengan mengundi. 

Antara Melati, Purdah dan DAP

Melati, DAP Dan Purdah


Zaman sekarang, sudah tidak relevan lagi untuk mempunyai anggapan stereotaip terhadap gadis berpurdah. Hakikatnya, mereka semua tidak sama.



Perkenalkan, Jamila Rahim atau lebih dikenali dengan nama samaran ‘Melati Rahim’. Siapakah Melati Rahim? Beliau merupakan seorang graduan dari UNISEL dalam jurusan diploma TEASL berumur 22 tahun dan juga penulis novel “Pelacur Kelas Pertama”.


Biasanya, anggapan stereotaip orang ramai pada gadis berpurdah semestinya penyokong kuat agama Islam. Oleh itu, gadis seperti Melati pasti akan dikaitkan dengan Parti Islam Se-Malaysia (PAS).


Namun begitu, berlainan pula bagi Melati. Beliau sebenarnya telah menyertai Democratic Action Party atau lebih dikenali sebagai DAP. Melati nampaknya mengikut jejak langkah dua gadis melayu sebelum ini yang juga membuat keputusan untuk menyertai DAP iaitu Dyana Sofya dan juga Syefura Othman.

Harus diakui, langkah tersebut jarang-jarang dilakukan bagi seorang gadis berpurdah. tetapi pasti ada sebab disebalik tindakan ini. Apa sebabnya? menurut Melati, parti DAP lebih dekat dengan keadilan serta meletakkan dasar kemanusiaan sebagai tunjang dan teras utama, yang juga merupakan salah satu asas dalam ajaran agama Islam.


Tambah Melati, parti DAP juga bukanlah parti Cina yang menentang Islam, malah memperjuangkan keadilan sosial untuk semua golongan, tidak kira agama, bangsa dan keturunan. Barangkali ada pihak yang tidak boleh menerima kenyataan Melati itu. Seorang penulis online, “KuntaKinte Malaysia” menganggap lebih mulia menjadi pelacur daripada menyertai DAP.

“Hakikatnya, lebih mulia jadi pelacur yang menjual diri untuk sesuap nasi, dari mereka yang bertudung dan berpurdah ‘menjual diri’ kepada DAP untuk kesenangan dunia sehingga melemahkan Islam,” kata penulis itu. Selain itu, penulis online berkenaan turut mempersoalkan integriti PAS yang dahulunya merupakan parti yang bersungguh-sungguh menolak undi bukan Islam.

Sementara itu, Melati juga menegaskan penglibatannya dalam DAP langsung tidak menggadaikan pegangan agamanya selama ini. Tuduhan yang dilemparkan ke atas dirinya turut memberi kesan kepada ahli keluarganya yang lain. Apakah pendapat anda bila gadis melayu menyertai DAP dan adakah itu satu kesalahan yang besar? 

Adakah PAS Akan Tarik Diri Dari Pakatan Rakyat?

Gesaan untuk PAS keluar dari Pakatan Rakyat

Nasib dua Ahli Dewan Undangan (Adun) PAS yang menyokong Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk dilantik sebagai Menteri Besar Selangor bakal ditentukan oleh Jawatankuasa PAS Pusat. 
Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustapa Ali berkata, kedua-dua Adun berkenaan, Saari Sungib (Hulu Kelang) dan Hasnul Baharuddin (Morib) telah dipanggil memberi penjelasan berhubung isu itu dan pimpinan PAS Pusat akan membuat keputusan mengenai status mereka. 

Ekoran dari kemelut dalaman parti tersebut telah menjadi bualan di media sosial. Kemelut yang melanda PAS itu sudah pasti sedikit sebanyak mencalar imej parti itu yang dikatakan tidak bersepakat. Kemuncak kemelut tersebut apabila segelintir ahli PAS menubuhkan PASma yang dilihat lebih cendurung kepada Anwar. PAS juga telah dilihat sebagai berpecah apabila tidak bersepakat untuk membuat keputusan. 

Selain itu terdapat juga segelintir ahli PAS yang dilaporkan membuat cadangan untuk keluar dari Pakatan Rakyat dan bergabung dengan UMNO. Ini dikuatkan lagi dengan tersebarnya screen shot perbualan antara ahli PAS baru baru ini.

Selain kemelut dalaman, percanggahan pendapat antara parti dalam Pakatan Rakyat iaitu DAP dan PKR dilihat sebagai satu pengkhinatan kepada kerjasama antara PAS, DAP dan PKR. Akibat percanggahan tersebut, Menteri Besar Selangor yang baru, Azmin Ali hanya melantik 3 wakil PAS menjadi exco dalam pentadbiran beliau. Pada pilihanraya kecil Pengkalan Kubor PAS tewas kepada BN dengan majoriti yang lebih besar berbanding pada pilihanraya umum ke 13.


Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang terdiri daripada kumpulan anak muda hari ini mendesak PAS keluar daripada Pakatan Rakyat (PR) jika tiada langkah pemulihan diambil parti Islam itu. 


NGO yang menggelarkan diri mereka sebagai Lensa Anak Muda Malaysia (Lensa) berpandangan kenyataan yang dikeluarkan pemimpin PAS hanya menimbulkan ketegangan dalam PR dan jika tidak dibendung ia akan mengakibatkan hilangnya sokongan rakyat.

Apapun, PAS perlu bertindak untuk membersihkan namanya sebelum keyakinan rakyat terhadap parti itu pudar.