Isu Memali : Dr Mahathir Jawab Musa Hitam

Dr. Mahathir Mohamad mengatakan beliau tidak ingat apakah bekas timbalannya, Musa Hitam ada menasihati beliau supaya menangguhkan lawatan kerja ke China susulan insiden berdarah di Memali pada 19 November 1985.

“Saya tidak ingat yang Tun Musa datang berjumpa saya untuk saya tidak pergi ke Beijing tetapi beliau berada di lapangan terbang bersama dengan ramai orang yang ingin ucap selamat pemergian saya ke China.

“Di waktu itu pun saya tidak ingat yang Tun Musa menasihat supaya saya tidak pergi luar negeri,” katanya dalam satu entri di blognya, chedet.cc.

Dr. Mahathir berlepas ke Beijing sehari selepas kejadian Memali. Beliau juga yakin Musa sebagai Timbalan Perdana Menteri dapat menangani keadaan “sehingga saya lantik beliau sebagai Pemangku Perdana Menteri” dan sepanjang berada di luar negara, tidak ada apa-apa yang berlaku yang tidak boleh ditangani oleh Timbalan Perdana Menteri yang memangku jawatan Perdana Menteri.

Dr. Mahathir menulis sebagai menjawab kenyataan Musa baru-baru ini bahawa bekas Perdana Menteri itu berada di tanahair semasa kejadian Memali dan beliau bukan memangku tugas Perdana Menteri.



Isu Memali kembali hangat selepas Musa dalam satu forum di Kota Bharu, Kelantan pada 27 Mac lepas mendedahkan bahawa Dr. Mahathir berada di Kuala Lumpur “dua tiga hari” selepas insiden itu berlaku.

Dalam satu penjelasan lebih kurang seminggu selepas forum itu, Musa berkata beliau memohon Dr Mahathir supaya menangguhkan lawatan ke China selepas kejadian tersebut atas tiga alasan: kejadian itu melibatkan orang Melayu beragama Islam, kejadian berlaku di Kedah, negeri Dr. Mahathir sendiri dan ketiga, dengan menangguhkan lawatan ke China, Dr Mahathir memperlihatkan sifat mengambil berat terhadap peristiwa yang telah berlaku di dalam negeri.

Menurut Dr. Mahathir, semasa beliau jadi Perdana Menteri, masalah keselamatan negara dipikul bersama oleh beliau dengan Timbalan Perdana Menteri dan antara mereka, masing-masing memegang jawatan sebagai Menteri Pertahanan atau Menteri Dalam Negeri.

“Amalan ini disebabkan soal keselamatan negara begitu penting,” katanya.

Dr. Mahathir juga mempertahankan Musa apabila berkata beliau tidak fikir Musa telah meramalkan akan berlaku kehilangan nyawa dalam kejadian di Memali hasil keputusannya sebagai Menteri Dalam Negeri

sumber – awani