Adakah Konflik Dalaman UMNO Makin Serius?

Pemimpin Umno cawangan mahu Muhyiddin ganti Najib, anggap Khairy angkuh


Pemimpin Umno cawangan Syed Rosli Syed Harman Jamalullail berkata, Datuk Seri Najib Razak perlu berundur dari kedudukannya dalam parti serta sebagai perdana menteri agar ruang itu dapat diberikan kepada timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin. 
Cadangan ini dibuat sebagai tambahan kepada surat terbuka Ketua Penerangan Umno cawangan Taman Chempaka, Pandan, sebelum ini yang menuntut supaya Najib berundur. Dalam pada itu, Syed Rosli mengingatkan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin beliau tidak mungkin berada di tahapnya seperti sekarang tanpa sokongan akar umbi.

Malah beliau juga turut mengingatkan menteri belia dan sukan itu suara akar umbi itulah yang menyaksikan bagaimana bekas perdana menteri Tun Abdullah Badawi terpaksa berundur daripada jawatannya.

Menjawab reaksi Khairy dalam surat terbukanya kepada perdana menteri pada Rabu lalu, ketua penerangan Umno cawangan itu berkata, kenyataan Khairy selain bersifat angkuh dan sombong, juga akan memberikan persepsi negatif kepada ahli Umno yang sememangnya menjadi suara akar umbi parti itu.


Khairy dalam reaksinya kepada surat terbuka itu menghina Syed Rosli dengan berkata ia adalah suara yang paling rendah dalam hierarki Umno. Bercakap di sidang media semalam, Khairy berkata beliau hairan mengapa media memilih untuk menyiarkan surat Syed Rosli kerana beliau tidak mempunyai jawatan tinggi dalam Umno.

Apatah lagi kata Khairy, Syed Rosli pernah mencabarnya untuk jawatan ketua pemuda, namun tidak mendapat sebarang undi. Mengulas mengenai surat terbukannya yang mendesak Najib untuk berundur agar Umno dapat dikukuhkan semula, Syed Rosli berkata pandangannya itu dibuat secara ikhlas tanpa ada agenda tertentu.

Penolong Setiausaha Pemuda Cawangan Umno Taman Chempaka, Pandan, itu berkata beliau bebas menyuarakan pendapatnya menggunakan media sosial tanpa sekatan.

“Saya ikhlas apabila menyuarakan hal ini, saya rasa ia salah satu cara menarik perhatian pemimpin Umno. Saya bukan ahli majlis tertinggi juga bukan berada dalam Kabinet. Saya tidak ada akses untuk bercakap terus dan surat terbuka merupakan medium saya.

“Saya juga tidak mendapat apa-apa manfaat, tidak ada projek atau tender yang saya perlu jaga. Saya cuma ahli biasa, apa yang saya cakap adalah luahan dari hati yang bimbang dengan masalah parti,” katanya.


Tambahnya lagi, gesaan mendesak Najib berundur bukan hanya datang daripada suara akar umbi, malah daripada pimpinan tertinggi sekalipun, seperti bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Seperti saya nyatakan dalam surat terbuka, Najib perlu berundur kerana sudah menjadi liabiliti dalam parti, terlalu banyak isu seperti 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) dan beliau sepatutnya sebagai menteri kewangan menjawab isu tersebut, namun hanya bertindak mendiamkan diri,” katanya.

Selain itu, Syed Rosli mengakui tidak gentar sekiranya Umno bertindak memecat atau menggantung keahlian beliau kerana kelantangannya itu.

Beliau berkata sekiranya parti itu bertindak menggantung atau memecatnya, ia membuktikan tiada kebebasan untuk ahlinya bersuara atau bercakap mengenai pemimpin.

“Saya ini lebih sayangkan parti daripada pemimpin dan andai kata saya dipecat, jadi perjuangan saya bersama Umno akan terhenti setakat ini, namun perjuangan saya bersama rakyat akan berterusan,” katanya.

Dalam surat terbukanya, Syed Rosli menuntut Najib berhenti kerana perkhidmatan beliau tidak lagi diperlukan.

Beliau berkata, Umno ketika ini sudah semakin lemah daripada segi sokongan orang Melayu, mahupun pengundi parti komponen Barisan Nasional (BN) terutamanya parti berteraskan bangsa Cina dan India.

Sebelum ini, Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan, Pulau Pinang Datuk Paduka Khairuddin Abu Hassan membuat laporan polis terhadap 1MDB tentang pentadbiran kewangan syarikat hak milik kerajaan itu.

Beliau yang merupakan penerbit buku “50 dalil kenapa Anwar tidak boleh menjadi PM” itu berkata, siasatan terperinci harus dilakukan bagi mengenalpasti punca masalah kepincangan pentadbiran kewangan yang dihadapi syarikat tersebut.

Pada masa sama, Syed Rosli turut mencabar Najib membuat undian secara online, adakah khidmat perdana menteri itu masih diperlukan bagi membuktikan dakwaannya mengenai penolakan akar umbi.

“Selama ini Najib pegang jawatan tersebut tanpa bertanding, jadi saya cabar, adakah beliau berani secara terbuka mengadakan undian online dan saya jamin daripada situ kita tahu beliau diperlukan atau tidak,” katanya.

Barah 1MDB menunggu pecah

Barah 1MDB menunggu pecah


1MDB sebagai satu skandal terbesar era Datuk Seri Najib Razak dan katalis kejatuhan Najib nampaknya kian menjadi kenyataan.

Laporan polis oleh salah seorang pemimpin Umno bahagian sendiri dan kabinet turut membincangkan isu ini semasa ketiadaan Najib, adalah perkembangan baru bakal membawa impak yang besar.

Timbalan Ketua Umno Batu Kawan, Pulau Pinang, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dalam laporan polisnya, antara lain memohon siasatan dijalankan mengenai:

a. Pembelian tanah seluas 234 ekar di Air Itam, Pulau Pinang pada harga RM1.38 bilion, yang dikatakan melebihi harga pasaran semasa (dari dua pemilik)

b. Pelaburan misteri sebesar US$1.2 billion dalam sebuah syarikat dikenali PetroSaudi International

c. Pembelian sebidang tanah dari syarikat Tadman Resources Bhd di Pulau Indah dengan harga RM317 juta

d. Pembayaran bunga pinjaman yang lebih tinggi dari kadar pasaran

e. Pembayaran yuran kepada Goldman Sachs International yang dikira berlebihan

f. Pembelian aset janakuasa IPP seperti Powertek Energy dan Sanyen Power Sdn Bhd pada harga yang lebih mahal dari harga pasaran

g. Pelaburan misteri di Pulau Cayman

Rabu lalu, ketika kabinet bersidang tanpa PM yang berada di luar negara, seorang menteri dilaporkan membangkitkan isu 1MDB. Kabinet dipengerusikan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku timbalan perdana menteri, mengambil kesempatan membincangkan isu ini.


Ia sudah tentu akan diminitkan dan sekembalinya Najib nanti, beliau pasti akan membaca minit tersebut untuk pengesahan mesyuarat kabinet akan datang. Apa reaksi beliau dalam mesyuarat akan datang? Mengapa menteri berkenaan berani membangkitkan atau berani mengambil kesempatan ketika ketiadaan PM?


Bagaimana pula perbincangan sulit kabinet mengenai isu ini boleh sampai kepada media? Tentulah dengan niat yang tertentu. Tidakkah Najib mula terasa panasnya bahang 1MDB dengan tindakan baru ini? Sama juga dengan keberanian tiba-tiba seorang pemimpin Umno bahagian.

Bukankah menjelang PAU baru­-baru ini, presiden parti telah mengadakan perjumpaan dengan semua perwakilan dan memberikan penjelasan mengenai 1MDB? Tidakkah dua perkembangan ini ­ laporan polis oleh pemimpin Umno bahagian dan perbincangan kabinet – terjadi serentak?


Terlepas dari apa jua pertimbangan politik pihak-­pihak yang terlibat, rakyat negara ini secara keseluruhannya mempunyai hak mendapatkan penjelasan yang terang tidak lain dari PM sendiri mengenai isu ini. Samada polis berani menyiasat bos tertinggi negara ini atau tidak, adalah isu lain.

Ini adalah ujian terbesar Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selaku menteri dalam negeri. Beranikah beliau membenarkan polis bertindak profesional dalam isu ini? Namun, dari dua perkembangan terbaharu ini, Najib mestilah berani memberikan penjelasan terbuka.

Siapa pemilik tanah di Pulau Pinang yang dibeli dengan harga (95% lebih mahal?) oleh 1MDB, misalnya. Isu 1MDB melibatkan jumlah kewangan yang sangat besar dan mewajarkan PM bersikap telus. Misalnya, bagi tahun kewangan sehingga Mac tahun ini, 1MDB mencatat kerugian sebesar RM665.3 juta dengan hutang sebesar RM49.1 bilion.

Sekalipun 1MDB dikatakan mempunyai aset sebesar RM51.4 bilion, jumlah aset di atas kertas ini kelihatan lebih besar dengan menggunakan penilaian yang lebih tinggi.

Apa lagi, seperti ditulis oleh Datuk A Kadir Jasin dalam blognya bahawa 1MDB telah pun memohon dan mendapat kelulusan dari Bank Negara memanjangkan tempoh bagi hutang tak berbayar (non-performing loan) dari tiga bulan kepada enam bulan. Jika ini benar, memang 1MDB sudah mengerang kesakitan walaupun usianya sangat muda.

Najib bukan sahaja perlu memberikan penjelasan terbuka terhadap semua isu yang dibangkitkan berkait dengan 1MDB, tetapi juga bersedia memberikan penjelasan dalam siri­siri berikutnya apabila pertanyaan lanjutan dikemukakan nanti. Lazimnya, sebuah Kertas Putih perlu dibentangkan kepada Kabinet dan seterusnya kepada Parlimen.

Sepanjang menuju penjelasan terbuka itu, pengkritik utama Najib seperti Tun Dr Mahathir Mohamad sudah pun mempunyai jerangkap samar untuk meletupkan survival politik Najib sebelum PRU yang akan datang.

Najib: Masalah Atau Jawapan UMNO?

Najib: Masalah Atau Jawapan UMNO?


Keresahan Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin dikesan dalam satu temubualnya bersama Utusan Malaysia, yang disiarkan pada 22 November 2014.

“Katakanlah esok ada pilihan raya umum, saya nak tanya menang ke kalah. Bila isu di Selangor, hal Azmin (Ali) dan Khalid (Ibrahim), ada pihak kata elok dibubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) supaya buat pilihan raya baharu, mudah-mudahan boleh menang. Saya tanya balik kepada orang (UMNO) Selangor, kalau esok dibubarkan DUN, ada pilihan raya, UMNO boleh menang? Seorang pun tak kata ya…”
Demikianlah kata-katanya, dan saya rasa inilah satu-satunya kata sepakat yang tercapai dalam UMNO. UMNO boleh tumbang jikalau terpaksa berdepan dengan pilihan raya umum pada hari esok. Cuma, persoalan yang tidak disepakati adalah apakah yang harus dilakukan seterusnya untuk menyelamatkan UMNO daripada tumbang? Siapa pula yang harus laksanakannya?

Dalam ucapan penggulungan Perhimpunan Agung Umno Sabtu lalu, Tan Sri Muhyiddin Yassin melontarkan cabaran yang kritikal kepada ahli parti itu iaitu hanya dengan penurunan 2% undi saja lagi akan menyebabkan Umno dan Barisan Nasional (BN) kecundang dalam pilihan raya umum akan datang.


Beliau kemudian melontarkan pertanyaan, bolehkah kehilangan 2% itu bukan saja dielakkan, bahkan ditingkatkan dalam tempoh hanya tinggal 39 bulan sebelum PRU14 akan datang? Dalam masa yang sama, bolehkah juga pelbagai persepsi negatif terhadap Umno diperbetulkan?

Apa yang ditimbulkan Muhyiddin ini bukan saja cabaran kepada seluruh ahli, pemimpin dan jentera Umno seluruh negara tetapi juga merupakan hentakan yang barangkali ditujukan secara khusus kepada Najib selaku pemimpin utama parti dan kerajaan.

Ini kerana, mahu tidak mahu, harus disedari masalah dan persepsi negatif kepada Umno dan kerajaan sekarang sebahagian besar berpunca daripada Najib sendiri. Beban yang ditanggung Umno dan kerajaan sekarang sekurang-kurangnya 60% berpunca daripada Najib dan segala kelemahan dalam dirinya.

Selebihnya mungkin berkaitan kelemahan beberapa pemimpin lain termasuk Muhyiddin sendiri, cara bekerja, budaya buruk parti, hal berkaitan kerajaan dan juga persepsi terhadap Umno itu sendiri.

Bukan sahaja tiada kata sepakat, malah wujud percanggahan yang jelas antara dua garis politik – iaitu terus menjuarai isu perkauman dan agama, atau memikat hati seluruh rakyat Malaysia. Dilema UMNO, masalah hilang hala tuju, malah tidak pasti siapa pengemudi seterusnya ini boleh disimpulkan dengan tiga persoalan berikut:

Pertama, Najib semakin keseorangan, tetapi beliau masih mempunyai nilai yang tersendiri;

Kedua, Ada cubaan Mahathir untuk melakukan sesuatu, tetapi kebangkitan sayap kanan UMNO tidak menguntungkan UMNO untuk meraih sokongan seluruh rakyat Malaysia;

Ketiga, Faktor luaran, ancaman Pakatan Rakyat masih mampu menggugat UMNO, dan kemelut ekonomi menunggu masanya untuk meledak.

Maka saya tumpukan perbincangan untuk persoalan pertama dan kedua. Pertama, Najib Razak sebagai masalah atau jawapan UMNO? Najib bersama Muhyiddin Yassin telah mengadakan pertemuan dengan Tun Abdullah Ahmad Badawi pada hari keesokan, selepas pertukaran kerajaan tidak berlaku pada 16 September 2008.

Dengan bantuan tekanan yang diasak Tun Mahathir Mohamad, Pak Lah akhirnya tunduk dengan menyerahkan jawatan Menteri Kewangan kepada Najib.


Gandingan Najib dan Muhyiddin mengasak selangkah lagi pada 25 September 2008, selepas cubaan pertama mereka berjaya. Pak Lah akhirnya akur dengan bersetuju untuk berundur pada tahun 2009. Najib dilihat sebagai jawapan untuk menyelamatkan UMNO pada ketika itu.

Cuma sekarang, Mahathir menganggap prestasi Najib lebih teruk daripada Abdullah. Apakah ia sekadar soal “bila” untuk mengasak agar Najib berundur?

Beza Najib dengan Abdullah adalah sikap mereka ketika mengendalikan pengagihan sumber, dan rangkaian akar umbi mereka dalam parti. Mungkin Abdullah tidak begitu fasih dengan formula membeli sokongan dengan peruntukan sumber, atau, garis dasar moralnya lebih tinggi daripada Najib.

Najib mula berkecimpung dalam politik mulai tahun 1976, menggantikan ayahandanya Almarhum Tun Abdul Razak yang meninggal dunia. Abdullah pula bertanding dalam PRU hanya pada tahun 1978. Najib menguasai sumber sepanjang kerjaya politik beliau dalam UMNO, dan ramai pemimpin segenerasi dengan beliau disuapkan sumber daripadanya. Dengan kata lain, mereka terhutang budi dengan Najib.

Pak Lah enggan mengambil pendekatan yang terlalu keras ketika mengendalikan masalah perkauman. Najib pula berbeza, beliau boleh memberi laluan untuk pemimpin sayap kanan menghangatkan isu perkauman dan agama dengan pendekatan yang agresif, sungguhpun pada masa yang sama beliau mendahagakan undi bukan Melayu.


Masalah merunsingkan strategis UMNO sekarang adalah, apa pun rungutan dilontarkan terhadap Najib, popularitinya tetap lebih tinggi berbanding UMNO. Populariti Muhyiddin mungkin tidak jauh berbeza dengan Najib di kalangan masyarakat Melayu, tetapi ketinggalan jauh jikalau dirangkumkan pandangan masyarakat bukan Melayu.

Ramai menteri UMNO merungut bahawa Najib tidak mempunyai lebih masa untuk perbincangan peribadi dalam isu-isu tertentu. Lantaran daripada itu, mereka tidak dipandu hala tuju yang jelas. Justeru itu, masing-masing mengikut naluri sendiri ketika membahaskan soal dasar. Ramai semakin hilang kesabaran ketika berdepan situasi sedemikian. Cuma, apakah wujud pengganti yang lebih baik daripada Najib seandainya beliau digulingkan?

Keduanya, sayap kanan dalam UMNO semakin bermaharajalela selepas PRU12 pada tahun 2008. Puak ini sebenarnya memainkan peranan untuk mengukuhkan kubu UMNO. Serangan propaganda bahawa “PAS tunduk kepada DAP”, ada kesannya untuk menyelamatkan UMNO.

Cuma persoalannya, garis politik sayap kanan ini mungkin memberi kesan sebaliknya untuk Barisan Nasional dalam pilihan raya negeri Sarawak seterusnya. Dalam tempoh sedekad lalu, UMNO kehilangan keabsahan politiknya di kalangan pengundi Cina dan India, disusuli Melayu bandar. Apakah UMNO mampu bertahan jikalau penganut kristian di Sabah dan Sarawak juga hilang percaya terhadap BN?

UMNO mungkin menganggap mereka masih boleh terus memerintah tanpa sokongan “lain-lain”, barangkali dengan persempadanan semula kawasan yang memihak kepadanya.

Cuma, seandainya UMNO juga hilang sokongan di kalangan Melayu, maka ia bakal mengulangi nasib MIC. Proses urbanisasi dan kemunculan pengundi muda antara perubahan yang sedang berlaku dalam masyarakat Melayu.

Apakah UMNO mampu tidur lena dengan perubahan sedemikian?

Hala Tuju, Strategi dan Harapan UMNO Kepada Rakyat

Perhimpunan Agung UMNO 2014: Hala Tuju, Strategi dan Harapan UMNO Kepada Rakyat


Perhimpunan Agung UMNO 2014 menutup tirai pada hari Sabtu, 29 November 2014 selepas lima hari diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Apakah kesimpulan dari Perhimpunan Agung UMNO 2014 kali ini? 
Perhimpunan Agung UMNO 2014, berakhir dengan mesej tegas dan lantang dari Presiden UMNO bahawa hak keistimewaan orang melayu, Raja dan agama Islam yang termaktub dalam perlembagaan negara, tidak boleh dipertikaikan lagi.
Perdana Menteri turut menyelar amalan nepotisme pihak pembangkang yang ‘mengorbankan’ anggotanya yang tidak bersalah semata-mata untuk memberi laluan kepada orang lain untuk memegang jawatan.
Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi amaran bahawa UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan kehilangan kedudukan jika tiada inisiatif baru dilaksanakan untuk menjadikan parti itu kekal relevan.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mencadangkan strategi ‘Retain’ dan ‘Regain’ bagi memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum Ke-14 (PRU14)
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjangka rangkaan Modul Latihan KERIS 2314 bakal menjadi senjata BN untuk mendapatkan kembali majoriti dua pertiga dalam pilihan raya umum Ke-14 (PRU14) nanti.
Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menjelaskan konsep peremajaan parti bukan sekadar menggantikan orang lama dengan orang muda, sebaliknya diterjemahkan dalam konteks menyeluruh.
Pergerakan Wanita UMNO memohon kerajaan memberi kuasa kepada peguam negara sebagai ‘penjaga kepentingan awam’ bagi mempertahankan tanah rizab Melayu di seluruh negara.
Puteri UMNO mencadangkan kerajaan supaya melaksanakan potongan gaji 10 peratus ke atas semua pekerja lelaki di sektor awam dan swasta yang sudah berkahwin untuk dikreditkan terus ke dalam akaun isteri mereka. Wakil kelab UMNO luar negara Moscow, Nur Farhana Mohd Anuar mencuri tumpuan apabila menyatakan program anjuran UMNO kebanyakannya ‘syok sendiri’. Farhana juga membidas segelintir ‘blogger’ pro-UMNO yang lambat mempertahankan Rosmah. 
Exco pergerakan wanita UMNO Malaysia, Datuk Maznah Hamid menggesa kerajaan mewujudkan semula Kementerian Pembangunan Usahawan Dan Koperasi (MeCD) bagi memperkasakan agenda ekonomi bumiputera.
Ketua UMNO bahagian Tenggara, Johor, Dr Adham Baba meminta kerajaan menggubal dasar baru yang dikenali sebagai dasar Pembangunan Usahawan Nasional (DPUN) bagi memberi nafas baru kepada perdagangan bumiputera.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO bahagian Setiu, Terengganu, Mohd Iskandar Jaafar menegaskan kerajaan perlu meneliti realiti kehidupan rakyat berpendapatan rendah dan tidak hanya berbangga dengan statistik berhubung peningkatan pendapatan isi rumah.
Ketua Pergerakan Wanita UMNO bahagian Machang, Kelantan, Rahimah Mahamad berasa sedih dengan isu kebiadaban dan perbuatan menghina para pemimpin yang nyata tidak lagi mencerminkan budaya masyarakat negara.
Datuk Seri Najib Tun Razak menutup tirai dengan menyampaikan mesej penting sebagai pedoman kepada anggota parti itu bagi menghadapi cabaran untuk terus menjadikan UMNO kekal relevan.

Datuk Seri Najib Dan Blogger Pro-Umno ‘Bangang’

Datuk Seri Najib Dan Blogger Pro-Umno ‘Bangang’.

Antara yang menarik dalam ucapan penggulungan Datuk Seri Najib Razak ketika Perhimpunan Agung Umno 2014 adalah apabila beliau mengatakan blogger pro-Umno yang menyerang kembali parti itu sebagai “bangang”. 
Menurut beliau lagi, blogger pro-Umno ini seharusnya memfokuskan serangan kepada parti-parti pembangkang kerana blogger-blogger ini dibiayai oleh parti tersebut. 

Memetik ucapan Datuk Seri Najib tersebut, “Bloggers kita ini cari makan dengan siapa? Pergilah tembak pembangkang. “Itu cara kita hendak menang dalam peperangan. Jangan perang sesama sendiri. Tidak masuk akal. Bangang.”
Selain menyerang kembali blogger-blogger yang mengkritik Umno ini, Najib sebenarnya secara tidak langsung memberikan pendedahan terbuka bahawa memang benar partinya membiayai kumpulan ini. Sekian lama blogger-blogger pro-Umno ini menafikan mereka dibiayai (walaupun sudah menjadi rahsia terbuka) untuk mempertahankan kerajaan daripada serangan di media sosial, ucapan Najib semalam umpama mengesahkan perkara tersebut dan secara tidak langsung memberi “peluru” untuk golongan ini diserang di media sosial.

Sementara itu, isu blogger umno bangang ini turut mendapat perhatian di media sosial terutama Facebook dan Twitter. “Pecah tembelang….“Bloggers kita ini cari makan dengan siapa? Pergilah tembak pembangkang. Itu cara kita hendak menang dalam peperangan. Jangan perang sesama sendiri. Tidak masuk akal. Bangang,” BANGANG… BANGANG… BANGANG… BANGANG… HA HA HA,” tulis pengguna Facebook bernama Kassim Baba.

Seorang pengguna Facebook Mat Indra pula menulis: “Hahaha blogger Umno cari makan rupanya… upah tak cukuplah tu Datuk Najib. Up lah sikit.”

“MasyaAllah londeh aib sendiri akhirnya! Ingatkan cerdik… kalau ye pun, PM jangan londeh dalam perhimpunan agong yang semua orang tengok! Mak aii… ingat lepas ni lagi ganas pula blogger serang balas! Hehehe,” tulis pengguna Facebook yang menggunakan nama Biaq Betoi.

Di Twitter @AbdMalekHusin menulis: “Bukan kita yang kata, Presiden Umno yang kata, “Blogger Umno bangang!” ♫ Beginilah nasib diriku yang malang… oh Tuhan ♫.”

“Sebelum tidur nak peringat sekali lagi ye ‘Blogger pro-Umno ni BANGANG!!’ – kata #NajibRazak . Selamat malam,” tulis @RoslanKz di Twitter.

Dari segi sejarahnya, Umno dan Barisan Nasional (BN) mula memfokuskan untuk mempunyai pasukan bloggers selepas Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) pada 2008 kerana merasakan mereka hilang majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat apabila meninggalkan dunia siber.

Selepas itu, selain mempunyai pasukan bloggers, pimpinan-pimpinan Umno dan BN juga mula membuka blog kerana kepercayaan mereka akan mendapat sedikit “saham” sokongan daripada pengguna Internet yang sebelum ini hanya dimanfaatkan pemimpin pembangkang.

Namun keputusan PRU13 menunjukkan sebaliknya, BN hilang majoriti lebih besar apabila hanya berjaya memenangi 133 kerusi Dewan Rakyat berbanding 140 kerusi pada PRU12.

Lebih parah lagi, buat pertama kalinya BN kehilangan undi popular kepada Pakatan Rakyat (PR). Mempunyai pasukan bloggers yang besar tidak memberi kelebihan kepada BN. Apa lagi ketika PRU13, blog sudah tidak lagi relevan berbanding Facebook, Twitter dan YouTube.

Dan blogger upahan tidak mempunyai semangat juang tinggi berbanding yang berjuang kerana kepercayaan mereka. Blogger upahan tidak akan bekerja jika upah tidak turun.

Mungkin sudah sampai masanya Umno berhenti membuat pembaziran membayar bloggers yang tidak banyak membantu mereka memenangi pilihan raya. Lebih baik Umno berubah mengikut peredaran zaman.

Umno mula ditinggalkan hari ini kerana golongan tua sudah mula pupus dan golongan muda semakin maju pemikiran mereka.

Mana-mana parti sekalipun jika tidak mengikut peredaran zaman sudah pasti akan ditinggalkan kerana dianggap “bangang” oleh masyarakat.

Menjawab Soalan Presiden Umno: Dimana Silapnya Umno?

Dimana Silapnya Umno?

Apakah hasil Perhimpunan Agung UMNO 2014 perolehi? Jawapannya semua tahu. UMNO tetap sama…sama keadaannya seperti sebelum Perhimpunan Agung itu. Kalau ada pun hasilnya ia tidak begitu diminati oleh rakyat yang tidak suka dan gemar dengan Akta Hasutan 1948 di kekalkan. Ya, itu sahaja perbezaan di antara sebelum dan selepas Perhimpunan Agung itu. 

Selain dari itu UMNO tetap UMNO sebelum Perhimpunan Agung dahulu. Ia masih memainkan isu yang boleh menyatukan ahli-ahli UMNO walaupun buat seketika walau seburuk mana pun isunya. Selepas Perhimpunan perwakilan yang tidak tahu isu sebenar yang dihadapi oleh UMNO akan balik kampung dan seperti yang saya sebut beberapa hari lepas, ‘business as usual’. 


Tidak ramai di antara perwakilan itu balik ke kawasan masing-masing dengan memahami kenapa mereka mewakili UMNO kawasan mereka ke Perhimpunan Agung itu dan apakah yang mereka perolehi yang baik dari perhimpunan tahunan itu. Cuba kita tanya mereka apa yang mereka sumbangkan dalam perhimpunan itu selain dari membaham karipap yang disediakan oleh urusetia pusat UMNO itu selain bersorak SO-LI-DA-RI-TI. 

Perhimpunan seperti itu pada asasnya ialah bermatlamatkan untuk melihat apakah perbezaan yang menambah kebaikan kepada parti itu, dengan perwakilan dan pemimpin yang berbaris duduk di atas ‘high table’ di Dewan Merdeka itu lakukan. UMNO yang sepatutnya menumpukan untuk menambah keyakinan terhadap kepimpinan yang sedang menghadapi krisis keyakinan yang amat kritis itu. 

Isu ekonomi tidak langsung disentuh oleh Presiden parti dalam ucapan dasar Presiden dan itu amat pelik sedangkan itulah masalah dan isu terbesar yang dihadapi oleh UMNO dan kepimpinan kita. Isu ekonomi dimana 90% penduduk isi rumah luar bandar tidak memiliki simpanan sementara 86% penduduk bandar juga tidak memiliki simpanan tidak disentuh. 

Isu rasuah tidak dapat dibangkitkan dengan baik dan tidak ada perwakilan yang mengupas itu dengan teliti sedangkan imej rasuah yang sedang melekat dan bergayut kepada kepimpinan negara yang kebanyakannya adalah dari UMNO tidak hilang-hilang lagi, malahan bertambah kuat lagi.

Jadi, dalam blog A Kadir Jasin, memetik kata perdana menteri merangkap presiden Umno, presiden Umno bertanya, di mana silapnya Umno sampai jatuh teruk begini?

Keyakinan rakyat, keyakinan para pelabur, prestasi pendidikan sama ada peringkat rendah, menengah atau tinggi, semuanya secara jujurnya, teruk.

Tapi, apa silapnya Umno ini sebenarnya?

Saya bukan ahli Umno dan juga bukan blogger Umno yang cari makan dengan parti Umno bak kata presiden Umno, jauh sekali nak menyokong parti “so-called” keramat orang Melayu. Tapi sebagai seorang rakyat yang memerhati, biarlah saya beritahu terus terang.

Umno ni teruk sebab ia sebuah parti yang tak sedar diri. Parti ini balik-balik salahkan Cina, salahkan Anwar Ibrahim, salahkan Yahudi, salahkan DAP. Maklumlah, semuanya salah Anwar Ibrahim. (nanti mesti ada orang kata saya penyokong Anwar pula)

Tapi tak pernah akui kesalahan sendiri. Tak pernah nak cermin diri, dan mencari kelemahan dan cuba menyelesaikan masalah.

Sebaliknya, “sapu sampah bawah karpet”, “tak perlu cermin diri” dan yang paling penting, siapa yang mengutuk akan dikenakan Akta Hasutan 1948 yang dibentangkan di Parlimen British, bukan di Malaysia.


Akta penjajah ni juga yang dia nak pertahankan. Kata inilah parti keramat orang Melayu yang membawa kemerdekaan pada negara, tapi kenapa pertahan akta penjajah?
Saya ambil kenyataan Naib Presiden Umno Datuk Seri Zahid Hamidi yang berkata, “Umno bukannya parti untuk satu keturunan”.

Dan saya juga ingin menambah, Malaysia ini bukan milik satu parti sahaja. Milik parti lain, sama ada bersama Barisan Nasional atau bersama Pakatan Rakyat, atau yang tidak berparti politik – majoriti seperti saya.

Itulah silapnya, wahai tuan presiden parti Umno. Negara ini bukan milik parti kamu.

Dan tolonglah cakap dengan anggota delegasi parti kamu, janganlah jadi “microphone warrior.
Cuma orang Umno saja suka dengar berita syok sendiri.

TKL Perli PERKASA, PERKASA Terasa

PERKASA Terasa Dengan Kenyataan Liang Liang

Presiden PERKASA Selangor yakin kenyataan Ketua Pemuda Gerakan Tan Keng Liang berkaitan parasit dalam BN merujuk kepada PERKASA. 


PERKASA Selangor menyifatkan kenyataan tersebut oleh Tan Keng Liang adalah tidak bijak dan tidak matang jika benar NGO dimaksudkang oleh TKL itu adalah PERKASA. TKL mengeluarkan kenyataan tersebut menerusi portal MalaysiaKini berkata BN seharusnya menjauhkan diri dari terlibat dengan NGO yang bersifat perkauman dan keagamaan yang dianggap sebagai parasit yang boleh menjejaskan imej parti. 


Namun, presiden PERKASA Selangor itu mengingatkan mana-mana parti komponen BN agar berhati-hati mengeluarkan kenyataan kerana ianya hanya merugikan Barisan Nasional (BN) dan boleh menguris perasaan pengundi Melayu. 

Tambahnya lagi, jika TKL menuduh PERKASA banyak membantu UMNO itu terpulang kepada mereka. “PERKASA boleh menyokong mana-mana parti dan kami tiada masalah, sepatutnya BN kena mendekati dan mendampingi NGO agar boleh menyokong mereka” ujar presiden PERKASA Selangor itu. 

Najib Seru Kaum Cina Sokong Barisan Nasional

Najib Seru Masyarakat Cina Sokong Barisan Nasional

Perdana Menteri membuat kenyataan menggalakkan masyarakt Cina untuk menyokong Barisan Nasional dan jangan menyokong parti pembangkang telah mendapat perhatian dalam media sosial.

Berucap pada Perhimpunan Agung ke 61 MCA pagi tadi, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata Barisan Nasional (BN) boleh membantu masyarakat Cina dengan lebih lagi jika kaum Cina menyokong BN. Najib menggesa kaum Cina untuk “melaksanakan tanggungjawab” dan menyatakan BN tidak boleh memenuhi permintaan kaum tersebut jika mereka terus menyokong parti pembangkang sepert DAP dan Pakatan Rakyat (PR).

Kenyataan beliau mendapat reaksi yang negatif di media sosial termasuk Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim.

Ahli Parlimen DAP Anthony Loke juga memberi kenyataan balas keatas dengan berkata bahawa masyarakat mempunyai hak demokrasi untuk mengundi sesiapa sahaja yang mereka suka. Bagi Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata ucapan Najib telah diputar belit oleh media online dan beliau berkata bahawa Najib hanya menaruh harapan terhadap komuniti Cina untuk terus menyokong Barisan Nasional.

Pada Pilihanraya Umum yang lepas, MCA mengalami kekalahan teruk dalam sejarah parti itu, dimana parti itu hanya memenangi 7 kerus dari 37 kerusi parlimen yang ditandinginya manakala untuk kerusi DUN MCA hanya memenangi 11 dari 90 kerusi yang mereka bertanding. 

UMNO Selangor Kesal Papan Iklan Pesta Arak ‘Oktoberfest”

UMNO Selangor Kesal Papan Iklan Pesta Arak



Umno Selangor melahirkan rasa kesal dan terkilan terhadap Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang meluluskan permohonan pemasangan papan iklan pesta arak ‘Oktoberfest’.

Pengerusinya Datuk Seri Noh Omar berkata tindakan memasang iklan pesta arak itu di beberapa lokasi sekitar daerah Shah Alam itu dilihat tidak bersesuaian dengan persekitaran setempat.

“Waktu kerajaan Barisan Nasional (BN) memerintah dulu, iklan-iklan seperti ini tidak dibenarkan, sekarang ini iklan-iklan ini dilihat berdiri megah di sekitar Shah Alam.

“Bagaimana perkara ini boleh dibenarkan…Menteri Besar Selangor yang baharu Mohamed Azmin (Ali) sepatutnya peka dengan apa yag berlaku depan mata, jangan asyik nak cari kesalahan menteri besar (Selangor) sebelum ini sahaja,” katanya.

Beliau berlkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis Korban Perdana 2014 peringkat Parlimen Tanjong Karang di sini, Isnin.

Beliau berkata Azmin perlu mengambil langkah segera bagi membendung perkara itu supaya bandaraya Shah Alam tidak lagi dicemari dengan pelbagai iklan arak.

‘Oktoberfest’ atau festival arak yang dianjurkan syarikat Carlsberg Malaysia itu telah bermula sejak 24 Sept lepas, di beberapa lokasi termasuk di Saujana Hotel Subang dan Berjaya Time Square Hotel.

Kemuncak pesta tersebut pula akan diadakan pada 10 hingga 12 Okt ini di pusat membeli-belah One Utama, Petaling Jaya.

Terdahulu, Noh yang juga anggota Parlimen Tanjong Karang menyertai penduduk kawasan parlimen itu melaksanakan ibadah korban membabitkan 23 ekor lembu sempena Aidiladha semalam. – BERNAMA