GST Siri 3 Exempted Supplies

Pada siri artikel yang lepas kita belajar tentang GST zero rated supplies. Beza GST zero-rated supplies dengan exempted supplies hanya satu iaitu peniaga tidak boleh menuntut input tax daripada kastam sekiranya ada GST yang perlu dibayar oleh peniaga.
Baca
Apa Itu GST – Siri 1
Apa Itu GST – Siri 2

Seperti juga GST zero-rated supplies, senarai akhir barangan dan perkhidmatan yang dikecualikan (exempted) daripada GST juga masih belum dikeluarkan oleh kerajaan.

Walaubagaimanapun, di dalam pembentangan Bajet 2014 yang lepas, kerajaan ada menyenaraikan cadangan barangan dan perkhidmatan yang akan dikecualikan dariapda GST seperti tanah untuk tujuan am, bangunan untuk tujuan kediaman, perkhidmatan pendidikan, kewangan, penjagaan kanak-kanak, kesihatan dan sebagainya.

Senarai cadangan barangan dan perkhidmatan yang dikecualikan daripada GST boleh dirujuk di sini.

Dibawah GST bekalan yang dikecualikan, peniaga juga tidak boleh mengutip GST daripada pengguna.

Ini bermakna sekiranya peniaga ada menanggung apa-apa kos GST sebelum menjual barangan atua perkhidmatan kepada pengguna, peniaga akan terpaksa menyerap kos GST itu dan peniaga juga boleh melepas kos GST kepada pengguna dengan menaikkan harga barangan perkhidmatan tersebut.

Contohnya: Perkhidmatan Kesihatan di hospital. Ubat-ubatan dikenakan GST pada kadar standard 6%. Hospital yang membeli ubat-ubatan akan dikenakan GST 6%.

Tetapi hospital tidak boleh menuntut input tax daripada Kastam atas belian ubat-ubatan tersebut kerana perkhidmatan kesihatan tertakluk dibawah exempted supplies dan bukannya zero-rated supplies.

Jadi hospital akan memasukkan kos GST yang ditanggung untuk membeli ubat-ubatan tadi kedalam harga perkhidmatan kepada pelanggan.

Akhirnya pelanggan akan terpaksa menanggung kos kesihatan yang lebih tinggi walaupun secara teknikalnya GST tidak perlu dibayar kepada hospital,

Sama juga seperti rumah. Walaupun jualan rumah kediaman dikecualikan daripada GST, kebanyakan barangan membina rumah seperti simen, pasir, zink dan sebagainya dikenakan GST pada kadar standard.

Pembina rumah pula tidak dapat menuntut input tax atas belian bahan-bahan binaan yang dikenakan GST. Maka pembina/pemaju akan menaikkan harga rumah untuk menanggung kos GST bahan binaan.

Kesimpulannya sebolehnya kita mahu melihat lebih banyak barangan dan perkhidmatan berkadar sifar daripada dikecualikan.

Ini kerana barangan dan perkhidmatan yang dikenakan pada kadar sifar, kos input nya boleh dituntut oleh peniaga daripada Kastam seterusnya peniaga tidak perlu melepaskan kos input tax kepada pengguna.

Barangan dan perkhidmatan yang dikecualikan pula walaupun tidak membenarkan GST dikutip daripada pengguna, peniaga terpaksa menanggung kos input tax untuk menghasilkan produk akhir barangan. Akhirnya peniaga akan terpaksa melepaskan kos input tax kepada pengguna.

Saya harap siri artikel berkenaan GST standard-rated, zero-rated dan exempted memberi manfaat kepada kawan-kawan.

Sekurang-kurangnya selepas ini kalau orang tanya apa yang anda faham tentang GST standard-rated (kadar standard), zero-rated (berkadar sifar) dan exempted (dikecualikan) bolehlah anda jawab dengan mudah dan ringkas.

Ia GST ini ‘nature’ nya regresif. Tapi ianya bakal menjadi realiti juga tahun depan. Lebih baik kita faham apa yang bakal menimpa kita daripada kita tak faham dan terpinga-tepinga kemudian hari.

GST Siri 2 Zero Rated

Di bawah GST yang diperkenalkan kerajaan terdapat barangan dan perkhidmatan yang dikenakan GST pada kadar sifar (zero-rated). Setakat hari ini senarai akhir barangan dan perkhidmatan yang dikenakan GST berkadar sifar masih belum dikeluarkan oleh Kastam.
Baca Apa Itu GST – Siri 1

Dikatakan bahawa kerajaan masih lagi mengkaji senarai barangan dan perkhidmatan yang bakal dikenakan kadar sifar. Di dalam pembentangan Bajet 2014 tahun lepas, kerajaan ada menyenaraikan cadangan barangan yang akan dikenakan GST pada kadar sifar.

Senarai barangan tersebut boleh didapati di Lampiran Teks Ucapan Bajet 2014 di sini. Barangan asas seperti makanan dikenakan pada kadar sifar.

Apakah maksud GST zero-rated ini? Ia bermaksud pengguna tidak perlu membayar apa-apa GST atas setiap barangan dan perkhidmatan yang dibeli.

Peniaga (pengilang, pemborong dan peruncit) pula boleh menuntut input tax daripada kerajaan sekiranya ada barangan yang diperlukan untuk menghasilkan produk akhir dikenakan GST.

Beras pasti akan dikenakan GST pada kadar sifar. Bermakna pengguna tidak akan membayar GST untuk belian beras di kedai runcit atau supermarket.

Walaubagaimanapun untuk membungkus beras pengilang terpaksa membeli bekalan plastik daripada penjual plastik. Plastik pulak dikenakan GST pada kadar standard 6%.

Jadi adakah harga beras akan naik kerana pengilang terpaksa menanggung kos GST 6% plastik untuk membungkus beras? Lihat pengiraannya dibawah:

GST Zero Rated (0%)

Jualan Beras:

1. Pengilang
•Kos belian plastik untuk membungkus 10kg beras = RM1 termasuk GST 6% bersamaan 6 sen.
•Jumlah kos membeli plastik RM1.06
•Pengilang boleh menuntut input tax 6 sen GST daripada kastam.
•Kastam akan membayar 6 sen kepada pengilang.
•Jumlah kos akhir membeli plastik RM1.

2. Pengilang – pemborong
•Pengilang menjual beras 10kg kepada pemborong dengan harga RM10 sepaket.
•Disebabkan beras adalah tertakluk dibawah bekalan berkadar sifar maka pengilang tidak mengutip apa-apa cukai daripada pemborong dan begitu sebaliknya pemborong tidak membayar apa-apa cukai kepada pengilang.
•Kastam tidak menerima apa-apa bayaran GST.

3. Pemborong – peruncit
•Pemborong menjual beras 10kg kepada peruncit pada harga RM15 sepaket (mengambil untung sebanyak RM5).
•Sama seperti peringkat jualan sebelum ini GST tidak dikutip dan tidak dibayar kerana beras adalah barangan bekalan berkadar sifar.
•Kastam tidak menerima apa-apa bayaran GST.

4. Peruncit – pengguna
•Peruncit menjual beras 10kg kepada pengguna pada harga RM20 sepaket (mengambil untung RM5).
•Sama seperti peringkat jualan sebelum ini GST tidak dikutip dan tidak dibayar kerana beras adalah barangan bekalan berkadar sifar.
•Kastam tidak menerima apa-apa bayaran GST.

5. Pengguna
•Pengguna membayar RM20 untuk sepaket beras 10kg.
•Pengguna tidak perlu membayar GST kerana beras adalah barangan bekalan berkadar sifar.
•Walaupun pengilang membayar GST untuk plastik yang digunakan untuk membungkus beras, pengguna tidak perlu menanggung kos GST ke atas plastik kerana pengilang sudah pun menuntut input tax daripada Kastam.

5. Kastam
•Kastam tidak menerima apa-apa bayaran GST kerana beras adalan bekalan berkadar sifar.
•Kastam membayar tuntutan input tax 6 sen untuk belian plastik daripada pengilang.

Kesimpulannya barangan yang bekalan berkadar sifar tidak akan naik harga selepas GST dilaksanakan. Jika ianya naik, ia adalah disebabkan pekedai mengambil keuntungan.

Point penting di sini, barangan dan perkhidmatan yang bekalan berkadar sifar, membolehkan peniaga menuntut input tax daripada Kastam dan peniaga tidak akan/boleh mengutip GST daripada pengguna.

Saya harap kawan-kawan faham perbezaan standard rate dan zero-rated setakat ini. Siri seterusnya saya akan menerangkan barangan dan perkhidmatan yang dikecualikan daripada GST

Apa Itu GST – Siri 3

GST Siri 1 Standard Rated

Lebih kurang 10 bulan sahaja lagi GST bakal dilaksanakan di negara kita. Seperti yang kita semua sudah sedia maklum GST sudah pun dibentang dan diluluskan di dalam parlimen pada sesi yang lepas.

Usaha ahli parlimen Pakatan Rakyat untung menghalang GST daripada diluluskan boleh dikatakan tidak berjaya. Himpunan untuk membantah GST yang diadakan pada Hari Buruh yang lalu juga gagal mengubah fikiran kerajaan untuk menangguh atau membatalkan pelaksanaannya

 Saya kira kini tiba masa kita menerima kenyataan bahawa mahu atau tidak kita terpaksa membayar GST bermula 1 April tahun depan.

 Dalam pemerhatian saya masih ramai yang kurang jelas tentang bagaimana GST berfungsi. Bukan sahaja mereka yang menolak GST malah yang menyokong GST pun nampak kurang jelas bagaimana GST dikutip, dibayar dan sebagainya.

 Rata-rata di kalangan kita nampaknya masih tidak faham fungsi GST zero-rated (berkadar sifar) dan exempted (dikecualikan). Di dalam artikel bersiri ini saya akan menerangkan bagaimana pengiraan GST bagi barangan dan perkhidmatan yang dikategorikan sebagai zero-rated dan yang dikecualikan (exempted).

 Sebelum itu sebagai ‘refresher’ saya juga akan menunjukkan pengiraan GST berkadar standard iaitu 6%, bagaimana ianya dikutip, berapa ia dikutip, berapa jumlah GST yang dibayar kepada kerajaan (melalui kastam) dan berapa yang pengguna perlu bayar:
 GST Standard Rated (6%)

 Jualan Televisyen:
 1. Pengilang kepada pemborong
•Kilang TV menghasilkan TV LCD secara pukal dan dijual kepada pengedar secara borong.
•TV LCD dijual seunit RM1,000
•GST yang dikutip oleh pengilang: RM1,000 x 6% = RM60
•Jumlah jualan seunit TV LCD kepada pemborong RM1,000 + RM60 = RM1,060
•RM60 yang dikutip pengilang diserahkan kepada Kastam.

2. Pemborong kepada Kedai Elektronik
•Pemborong menjual seunit TV LCD kepada kedai dengan harga RM2,000 seunit.
•GST yang perlu dikutip pemborong: RM2,000 x 6% = RM120
•Jumlah jualan seunit TV LCD kepada kedai: RM2,000 + RM120 = RM2,120
•RM120 yang dikutip pemborong diserahkan kepada Kastam.
•Pemborong yang berdaftar dengan kastam dibenarkan menuntut input tax (RM60 yang dibayar kepada pengilang).
•Di peringkat ini Kastam menerima RM60 sahaja setelah ditolak tuntutan input tax RM60 oleh pemborong yang telah dibayar kepada pengilang.

3. Kedai Elektronik kepada Pengguna
•Kedai menjual seunit TV LCD kepada pengguna dengan harga RM4,000
•GST yang perlu dikutip kedai: RM4,000 x 6% = RM240
•Jumlah jualan seunit TV LCD kepada pengguna: RM4,000 + RM240 = RM4,240
•RM240 yang dikutip kedai diserahkan kepada Kastam.
•Kedai yang berdaftar dengan kastam menuntut input tax (RM120 yang dibayar kepada pemborong)
•Di peringkat ini Kastam menerima RM120 sahaja setelah ditolak tuntutan input tax RM120 yang dibayar oleh kedai kepada pemborong.

4. Pengguna
•Pengguna secara keseluruhan membayar RM4,240 untuk sebuah TV.
•Jumlah GST yang dibayar adalah RM240
5. Kastam
•Kastam menerima RM60 daripada pengilang.
•Kastam menerima RM120 daripada pemborong yang kemudiannya ditolak RM60 sebagai tuntutan input tax daripada pemborong. Jumlah bersih yang diterima RM60.
•Kastam menerima RM240 daripada kedai elektronik yang kemudian ditolak RM120 sebagai tuntutan input tax daripada pekedai. Jumlah bersih yang diterima RM120
•Jumlah besar GST yang diterima Kastam untuk jualan seunit TV LCD adalah RM240.
Secara teknikalnya hanya pengguna akhir yang membayar GST. Pengilang, pemborong dan kedai hanya bertindak sebagai pengutip GST dan mereka tidak membayar sesen pun kepada kerajaan kerana mereka dibenarkan menuntut input tax daripada Kastam.

Apa bezanya dengan SST atau cukai jualan 10% sekarang? Di bawah sistem cukai jualan sekarang pemborong dan pekedai tidak boleh menuntut input tax sepertimana yang diperuntukkan di dalam GST.

Walaupun kebiasaannya cukai jualan 10% hanya dikenakan pada satu peringkat, jualan di bawah sales tax masih terdedah kepada kutipan cukai berganda. Pengilang boleh mengutip cukai sebanyak 10%, pemborong juga boleh mengutip 10% dan kedai juga boleh mengutip 10%.

Cukai jualan 10% yang dikutip tidak boleh dituntut sebagai input tax jadi pemborong dan kedai terpaksa memasukkan kos cukai ini ke dalam harga akhir yang akan ditanggung pengguna. Situasi cukai ke atas cukai ini dipanggil sebagai “cascading tax”.

Harus kita ingat bahawa peniaga tidak membayar cukai kerana mereka boleh menuntut input tax daripada kastam. Kos jualan peniaga secara teorinya akan turun kerana mereka tidak perlu menanggung apa-apa cukai.

Realitinya pula susah untuk saya katakan samada peniaga akan turunkan harga barang atau tidak selepas GST dilaksanakan.

Banyak faktor lain seperti kos perakaunan yang terpaksa ditanggung seperti accounting software oleh peniaga. Kos seperti ini terpaksa diserap ke dalam harga dan pastinya akan ditanggung pengguna.

Namun yang demikian artikel ini bukan bertujuan untuk membincangkan soal harga naik atau tidak tetapi lebih kepada penerangan tentang bagaimana GST yang dikenakan pada kadar standard 6% dikutip dan dibayar kepada kerajaan melalu kastam.

Ikuti siri seterusnya untuk GST berkadar sifar (zero-rated) dan dikecualikan (exempted).

Apa Itu GST – Siri 2
Apa Itu GST – Siri 3