Maaf Zahid, Isu 1MDB Masih Belum Selesai

Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi meminta semua pihak menerima penjelasan Menteri Luar Arab Saudi, Adel Al Jubeir mengenai derma RM2.6 bilion serta menjadikannya satu titik noktah.


“Saya fikir, mesti berjiwa besar menerima penjelasan dan hakikat ini…siapa pun, mantan Perdana Menteri sekali pun terimalah hakikat bahawa penjelasan ini adalah suatu titik noktah,” katanya. Beliau berkata selain menerima penjelasan Menteri Luar Arab Saudi Adel Al-Jubeir bahawa derma itu datang daripada negaranya, pihak yang telah memutarbelitkan isu berkenaan juga perlu menterjemahkannya dalam bentuk tindakan.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata isu derma tersebut telah dipolemikkan oleh pihak tertentu dengan pelbagai tujuan sehingga menyebabkan rasa menyampah rakyat mengatasi realiti sebenar.

Bagi Tun Mahathir, bercakap saja tidak memadai dan ia mestilah disertakan dengan bukti-buktinya sekali. Sedangkan kalau kita pindahkan wang RM10 pun ada resit, inikan pula wang sebanyak ribu juta jumlahnya. 
Kata-kata Menteri Luar Arab Saudi pula menjadi bahan ketawa Beliau dijadikan bahan persendaan bukan saja kerana sebelum ini pernah mengatakan wang itu adalah pelaburan, tetapi juga kerana logik kata-katanya hampir tidak ada sama sekali untuk dipercayai.
Secara umumnya boleh dikatakan, dalam sepuluh orang, barangkali tujuh atau lapan masih tidak mempercayai, sama ada Najib mahu pun Adel Al Jubeir, berhubung isu wang yang menjadi bahan sensasi di seluruh dunia itu.
Maaflah Zahid, segala-galanya belum ada titik noktahnya lagi…

Rafizi Lapor Polis Terhadap Jho Low

Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli membuat laporan polis terhadap ahli perniagaan kontroversi, Low Taek Jho atau lebih popular Jho Low di Balai Polis Dang Wangi, hari ini.


Bercakap kepada media sebelum membuat laporan polis, Rafizi berkata, laporan itu kerana pengurusan 1MDB atau pada waktu itu Terengganu Investment Authority (TIA) melanggar arahan lembaga pengarah dan pemegang saham.

Katanya, lembaga pengarah dan pemegang saham telah mengarahkan supaya pengurusan tidak meneruskan pengeluaran bon berjumlah RM5 juta.

Namun, Ahli Parlimen Pandan itu mendakwa, Ketua Pegawai Eksekutif (pada waktu itu) Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi tetap meneruskan pengeluarkan bon itu.

Katanya, ketika memberi keterangan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dan ditanya mengapa mereka mengeluarkan bon itu walaupun dilarang lembaga pengarah, mereka berkata ia dibuat atas permintaan syarikat dan juga juga Penasihat Khas, Jho Low.

“Kita dapati di sini telah berlaku perbuatan jenayah,” kata Rafizi yang merujuk kepada tindakan pengurusan 1MDB mengeluarkan bon tanpa mendapat kebenaran Lembaga Pengarah.
Katanya, arahan dikeluarkan Jho Low itu telah memberi kerugian RM5 juta kepada syarikat dan rakyat kerana bon itu dijamin kerajaan.

“Saya meminta polis menyiasat Jho Low kerana memberi arahan kepada pengurusan 1MDB dan siasat mengapa Jho Low sangat berpengaruh dalam syarikat dan adakah ia ada kaitan hubungan rapatnya dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak,” katanya.

Rafizi berkata, dia akan memuat naik laporan polis di internet supaya orang ramai sebagai rakyat juga boleh mengambil tindakan yang sama.

Katanya, laporan PAC mempunyai cukup bukti untuk polis menyiasat antara 10-12 individu yang dinamakan dalam laporan itu.

Dia juga berharap Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar tidak menunggu lama untuk memanggil individu yang terlibat bagi membantu siasatan.

Naib Presiden PKR itu akan membuat laporan polis terhadap Shahrol pada Isnin depan.

Rafizi mahu memburu individu-individu yang bertanggungjawab terhadap 1MDB menerusi kempen #1MDBWanted, di mana jutawan, Jho Low antara individu pertama disenarai berdasarkan laporan yang dikeluarkan PAC.

Selain Jho Low dan Shahrol Azral, Rafizi menamakan Pengarah Eksekutif Kumpulan dan Presiden 1MDB, Arul Kanda Kandasamy dan Pengarah Eksekutif Pembangunan Perniagaan, Casey Tang sebagai orang yang diburunya.

Menurut Rafizi, senarai itu akan disiarkan, jika mereka yang melindungi individu bertanggungjawab terhadap hutang 1MDB tidak tampil dan mendedahkan maklumat yang boleh membuktikan salah laku “orang-orang atasan”.