Bank Dunia: Membantu atau membinasa?

0
130
Pada 27 Januari 2015, media melaporkan Bank Dunia bakal membuka cawangannya di Kuala Lumpur yang akan berfungsi sebagai hab pengetahuan dan penyelidikan di rantau ini selain manfaat lain yang dapat diperoleh daripada Kumpulan Bank Dunia itu.

Ini rentetan perjanjian kesefahaman (MoU) antara Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dengan wakil Bank Dunia di Spring Meetings of the World Bank Group and the International Monetary Fund (IMF) di Washington pada April 2014.


Matlamat jangka panjang penubuhan pejabat itu adalah untuk membantu perkongsian pengalaman Malaysia yang berjaya dalam bidang seperti pembasmian kemiskinan dan pembangunan sektor kewangan yang baik dengan negara membangun lain di seluruh dunia.

Hanadzlah dalam satu kenyataan berkata, sebagai negara yang mengambil langkah besar untuk membasmi kemiskinan dan meningkatkan kebajikan penduduk miskin, Malaysia berada pada kedudukan sesuai untuk bekerjasama dengan Bank Dunia bagi mencapai matlamat bank itu membasmi kemiskinan tegar dan menggalakkan perkongsian kemakmuran di seluruh dunia.
Sejarah Bank Dunia

Bank Dunia ditubuhkan pada 27 Disember 1945 berdasarkan ratifikasi Internasional atau proses terima pakai (adoption) daripada perjanjian Internasional melalui sebuah persidangan pada 1-22 Julai 1944 di bandar Bretton Woods.

Daripada persidangan tersebut dihasilkan keputusan yang akhirnya mendasari sejarah berdirinya Bank Dunia yang beribu pejabat di Washington DC, Amerika Syarikat. Secara teknik dan strukturnya, Bank Dunia sebahagian daripada PBB, namun daripada segi operasinya, ia sangat berbeza dari badan-badan rasmi PBB yang lain.

Secara fakta, Bank Dunia institusi yang sering menggunakan istilah seperti ‘bantuan’, ‘pelarasan struktur’, ‘pengurangan kemiskinan’ dan istilah indah lainnya dalam menzahirkan peranan dan “kebaikan” mereka.

Namun hakikatnya, Bank Dunia sebuah institusi yang dikendalikan negara kapitalis kaya yang membenarkan negara membangun dieksploit badan-badan korporat dan juga kapitalis lain. Kepentingan penduduk dalam negara-negara membangun bukannya untuk dijaga, tetapi dieksploit.
Namun bagi mereka yang mengenali wajah buruk Bank Dunia, sudah pasti tidak akan termakan dengan wayang kulit atau propaganda media. Mereka yang celik sejarah akan mampu melihat kesinambungan hegemoni Bank Dunia sejak penubuhannya lebih 60 tahun lalu.

Dalam tempoh tersebut, Bank Dunia (bersama IMF) memberi pinjaman melebihi trillion US Dollar kepada negara-negara miskin yang zahirnya kelihatan membantu tetapi hakikatnya hanya memperhamba negara-negara miskin. Daripada semua peminjam, hanya sebahagian kecil sahaja negara yang berjaya membangunkan semula ekonomi mereka, manakala yang lainnya ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, sudahlah miskin lalu dibelenggu hutang yang diberikan secara licik sehingga negara terjerat dan terpaksa tunduk kepada mereka.

John Perkins di dalam bukunya Confessions of an Economic Hitman menyatakan pinjaman itu bukanlah untuk membantu orang miskin, malah sebahagian besar pinjaman tersebut bukan diserahkan kepada kerajaan negara yang meminjam, sebaliknya diberikan kepada syarikat mereka sendiri seperti Bechtel dan Halliburton dan syarikat jurutera lain yang berebut-rebut untuk mendapatkan projek pembangunan di pelbagai negara miskin, tetapi hutang tersebut perlu dibayar oleh negara yang meminjam.


Perkins turut menyatakan negara yang gagal membayar hutang dipaksa membayarnya dalam bentuk kekayaan alam atau mengundi mengikut kemahuan Amerika di dalam persidangan PBB atau menghantar tentera bagi membantu tentera Amerika untuk menempati Iraq.

Bank Dunia turut mendakwa dirinya sebagai juara dalam melawan para pemimpin korup di seluruh dunia tetapi sebaliknya, merekalah yang membantu para diktator seperti Mobutu Sese Seko (Zaire / Democratic Republic of the Congo) yang menerima USD 650 million dari Bank Dunia walaupun mengetahui bantuan tersebut dijadikan milik peribadinya; Suharto (Indonesia) pula menerima pinjaman bernilai USD 25 billion ketika Indonesia diheret ke dalam krisis pembunuhan di Timor Timur; rejim apartheid di Afrika Selatan juga menerima bantuan dari Bank Dunia.

Malah, tatkala Amerika mengumumkan melancarkan sekatan terhadap rejim apartheid tersebut, Bank Dunia masih memberikan bantuan ke Lesotho Highlands Water Project yang penuh dengan korupsi.

Sungguh tragis dan malang apabila masih ada pemimpin umat Islam yang sanggup menyambut Bank Dunia (mahupun IMF) seolah-olah penjenayah ekonomi itu hero atau penyelamat. Sesungguhnya Bank Dunia/IMF tidak layak disambut hatta dengan senyuman sekalipun kerana kerosakan yang mereka lakukan selama ini.

Jika Amerika sanggup membunuh ribuan nyawa rakyat Iraq dan Afghanistan, membantu Israel membunuh rakyat Palestin, maka merompak kekayaan sesebuah negara hanyalah mainan bagi mereka. Apa pun, sebagai Muslim, kita wajib melihat hal ini daripada perspektif Islam dari segi hukum menandatangani perjanjian dan membenarkan Bank Dunia berada di sini.

Walaupun kita tidak mengetahui terperinci isi perjanjian, namun secara umumnya kita mengetahui bahawa Bank Dunia berada di bawah PBB dan kawalan langsung Amerika Syarikat. PBB merupakan sebuah organisasi kufur yang membawa banyak malapetaka ke atas umat Islam manakala AS pula negara kafir harbi fi’lan yang sedang memerangi umat Islam.

Sudah berapa banyak musibah yang menimpa Malaysia kebelakangan ini dari pelbagai sudut, apakah mahu ditambah lagi dengan musibah yang baru? Wallahualam. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here