Antara Kuasa Rakyat VS Kuasa Kaki Songlap

0
237
Kebelakangan ini, suara bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kedengaran amat lantang. Diberi liputan meluas, dan mendapat respon yang melata. Sampai artis tersohor pun tumpang sekaki.


Saya setuju dengan sebuah pepatah lama, “Kalau Mahathir bising, tentu ada benda yang tak kena. Takpun, nanti tentu ada yang kena.”

Banyak sekali isu yang dikritik Mahathir. Kritikan bertahan beliau dan kritikan balas terhadap beliau nampak hampir sama banyak, walau dengan sebab dan motivasi yang berbeza. Ketua Pemuda melompat, Samy Vellu pun turut menyampuk. Tentu ada sebab dan kepentingan diri masing-masing.

Mahathir dan 1MDB
Di kala barisan pembangkang sibuk bertelagah antara parti komponen angkara hudud, dan lebai PAS asyik bertelagah dengan kumpulan Erdogan, Mahathir bertindak bijak sebagai seorang negarawan dan ahli politik sejati.

Beliau lebih risau tentang masa depan negara dan salah laku penggunaan duit rakyat. Beliau lantang mengkritik hebat perdana menteri dalam isu 1MDB. Hatta, ada cadangan songsang, kalau pembangkang tak reti sangat nak jadi pembangkang, elok lantik saja Mahathir jadi ketua pembangkang. Itu lain pula ceritanya.

Saya tertarik untuk memetik komen dari Mahathir dalam bab 1MDB, lebih kurang begini “Tapi yang saya takut sekali, apabila parti lawan menang, kita kalah. …. Kalau Barisan Nasional kalah, banyak orang akan berdepan dengan kesan yang lebih besar”

Tepat sekali kata-kata Mahathir dan banyak mesej politik yang Mahathir ingin ajar kepada semua rakyat Malaysia.

Mahathir, Malaysia dan demokrasi

Mahathir adalah bekas PM Malaysia yang mengamalkan sistem demokrasi. Mahathir dilantik jadi perdana menteri kerana beliau menjadi presiden partinya. Beliau menjadi presiden parti beliau kerana proses demokrasi. Umno dan BN diberi mandate untuk memerintah negara melalui proses demokrasi.

Demokrasi, ringkasnya adalah “kuasa rakyat”, sempena istilah asal bahasa Yunani, demos (rakyat) dan kratos (kuasa). Maksudnya rakyat berkuasa memilih pucuk pimpinan mereka. Dan rakyat berhak menjatuhkan siapa yang mereka tak suka. Kuasa memilih dan menjatuhkan pucuk pimpinan berada di tangan rakyat.

Inilah cantiknya negara kita yang mengamalkan demokrasi. Berbeza dengan negara lain, yang tidak ada demokrasi. Kebanyakan negara Arab umpamanya, sebelum kejadian Arab Spring, hampir tidak wujud demokrasi. Rakyat tidak ada hak langsung untuk menentukan siapa pemimpin mereka dan rakyat tidak ada hak untuk membuang pemimpin yang mereka tidak mahu.

Demokrasi ini jugalah yang amat ditakuti Mahathir. Apa yang cuba disebut Mahathir adalah, “Malaysia adalah sebuah negara demokrasi. Rakyat ada hak. Kalau rakyat tidak suka BN, rakyat boleh menolak BN dan ganti dengan Pakatan Rakyat”. Inilah demokrasi. Inilah hak rakyat. Inilah yang ditakuti BN dan Mahathir sudah membaca semua ini.

Malah kalau ditakdirkan kita dijajah Belanda, bukan Inggeris, dan sistem demokrasi negara kita sama dengan sistem Indonesia, hakikatnya suara demokrasi sudah menolak BN, dan BN sudah hilang hak untuk memerintah. Pada PRU13 yang lalu.

Jumlah undi BN sekitar 5.2juta, berbanding undi PR sebanyak 5.6juta. PR lebih diterima rakyat berbanding BN. Tetapi kerana kita mengamalkan system demokrasi ala Westminster, cara siapa cepat dia dapat, cara berebut kerusi, bukan berebut undi, BN dikira pemenang kerana mereka dapat kerusi lebih, walaupun undinya sikit.

Demokrasi dan kleptokrasi

Berkait dengan 1MDB, satu lagi ilmu mantik yang cuba diperkenalkan Mahathir ialah kleptokrasi.

Kleptokrasi asalnya dari perkataan Yunani, kleptes (penyamun) dan kratos (kuasa). Maksudnya sebuah negara yang dikuasai pencuri, penyamun dan penyonglap harta rakyat.

Antara istilah-istilah penggunaan kleptokrasi antara lain adalah;

“a government where officials are politically corrupt and financially self-interested”. (British Dictionary)

“a government characterized by rampant greed and corruption”. (American Heritage® Dictionary)

“a government where officials are politically corrupt and financially self-interested” (Collins English Dictionary)

“a government or state in which those in power exploit national resources and steal; rule by a thief or thieves”. (Webster’s College Dictionary)

Demokrasi, bukan kleptokrasi. Kuasa di tangan rakyat, bukan kaki songlap.


Sebagai rakyat yang cintakan keamanan, dan “menyanjungi” Mahathir sebagai negarawan sejati yang diiktiraf dunia dan lantang bersuara membela nasib umat Islam sejagat, ayuhlah kita mengambil pengajaran dari apa yang ingin disarankan beliau.

Ayuh tunaikan hak demokrasi kita semua dengan terbaik, demi masa depan negara. Ayuh pastikan negara kita ditegakkan atas dasar demokrasi.

Kuasa dan nasib negara di tangan demo. Di tangan rakyat. Amat malang sekali sekiranya negara kita yang tercinta ini jatuh dalam kategori kleptokrasi. Kuasa dan nasib masa depan negara yang bakal ditentukan penyamun, pencuri, dan kaki songlap.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here