Adakah UMNO Berani Buat Usul “Anti Najib”?

0
71
Mereka barangkali tiada kemampuan untuk mencetuskan apa-apa, tetapi Pemuda Umno bahagian Tampin sekurang-kurangnya berani untuk secara rasmi mengisytiharkan bahawa Najib Razak perlu meletakkan jawatan sebagai perdana menteri dan juga presiden Umno, berikutan skandal 1MDB dan dana RM2.6 bilion. 


Pemuda Umno Tampin pada 16 Ogos lalu telah membentang dan meluluskan usul tergempar yang menyatakan: “Demi Melayu, Islam dan Malaysia, meminta Datuk Seri Najib Tun Razak meletak jawatan sebagai perdana menteri dan presiden Umno agar keyakinan, cinta dan kasih sayang, khasnya orang Melayu dan Bumiputera, terhadap Umno dapat dipulihkan untuk memastikan kita orang Melayu sebagai pemilik negara tercinta ini terus menjadi pemerintah sampai bila-bila.” 

Menurut laporan Sinar Harian, usul itu dibentangkan oleh perwakilan pemuda Umno Kampung Ulu Ladang Azman Abdullah dalam mesyuarat Perwakilan Pemuda Umno Tampin, dan disokong lebih 200 perwakilan yang hadir. Tindakan Najib memecat timbalan presiden Umno Muhyiddin Yassin sebagai timbalan perdana menteri, serta naib presiden Shafie Apdal sebagai menteri pembangunan luar bandar dan wilayah, mencetuskan rasa tidak puas hati yang semakin meningkat di kalangan ahli umbi serta kerisauan terhadap perbalahan yang semakin parah dalam parti. 

Dan sepanjang tempoh itu, Najib telah mengatakan yang beliau terbuka dengan sebarang kritikan, selagi ia dilakukan melalui “saluran yang betul” dan cara yang “sepatutnya”. Muhyiddin pula mengatakan yang beliau hanya bersuara dalam acara Umno. Itu termasuklah dalam satu acara Umno Cheras, beberapa hari sebelum Najib mengumumkan rombakan Kabinetnya. 

Malah pemimpin Wanita Umno Langkawi Anina Saadudin – yang mendakwa Najib berbohong tentang sokongan tiga juta ahli Umno terhadapnya – berkata bahawa pendekatan yang lebih lembut tidak akan membawa apa-apa. Setakat ini, pemimpin yang bersuara mengkritiknya (atau mempertahankan mereka yang mengkritik) telah diabaikan – kalaupun tidak dibisukan – apabila jemputan untuk mereka berucap di peringkat bahagian ditarik balik. 

Bagi seorang ahli Umno, platform utama mereka untuk bersuara adalah di mesyuarat cawangan dan bahagian, walaupun ada usaha untuk menutup rasa tidak puas hati ahli akar umbi yang kian memuncak. Dalam respon segera berhubung usul Pemuda Umno Tampin itu, naib presiden Ahmad Zahid Hamidi meluahkan rasa kecewanya terhadap usul tersebut, dan menyifatkannya sebagai tidak perlu dibuat. 

“Tidak perlu untuk buat usul…Saya tidak marah, Cuma kecewa,” kata timbalan perdana menteri itu dalam ucapan perasmian mesyuarat Umno Tampin. Namun pada masa sama, Zahid memuji keberanian pemimpin-pemimpin peringkat bahagian yang berani bersuara, dan menyamakan mereka dengan dirinya di waktu muda. 

“Tak mengapa, saya juga ketua Pemuda Umno bahagian sebelas tahun dan ketua Pemuda Umno tujuh tahun…” “Tetapi saya sangat berani…saya sanggup goncangkan gunung…inilah semangat Pemuda…inilah yang kita mahu,” katanya seperti dipetik. Dalam situasi semasa, keberanian nampaknya bukanlah ciri-ciri yang difahami atau dihargai oleh Najib. Beliau sebelum ini berkata bahawa lebih menghargai kesetiaan berbanding ciri-ciri kepimpinan yang lain. 

Sementara itu di Johor, timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industi Ahmad Maslan pula dimalukan ketika ahli Umno Pontian menyatakan rasa tidak gembira mereka terhadap tindakannya yang kuat membela Najib. Menurut laman The Malaysian Insider, timbalan ketua Umno Pontian itu diejek dan di’boo’ tiga kali ketika Muhyiddin menyampaikan ucapan pembukaannya. 

Malah ketua Umno Potian Hasni Mohammad kemudian mengingatkannya bahawa Umno bukanlah parti “pak angguk”. Dengan suasana sebegini, hasil terbaik yang boleh diharapkan daripada usul Pemuda Umno Tampin adalah agar ia mencetuskan usul serupa daripada bahagian lain yang mungkin turut tidak gembira dengan kepimpinan Najib. Maka tiada sesiapa yang dapat menyalahkan mereka kerana membuat tindakan dan kenyataan yang kononnya “tidak sepatutnya”. 

Jika semua jalan ini gagal, mungkin kita boleh belajar cara menyampaikan kritikan daripada lagak budiman ketua pegawai eksekutif Yayasan Pergerakan Kesederhanaan Global Saifuddin Abdullah. Melalui akaun Facebooknya, Saifuddin menulis: “You dah tebas hutan balak sampai pupus. Lepas kenyang, you cadang tubuh jawatankuasa bincang alam sekitar dan program menanam pokok?” Ringkas dan tajam.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here