Adakah Rakyat Sudah Bosan Dengan PR?

0
94

Adakah Rakyat Sudah Bosan Dengan Pakatan Rakyat dan Anwar Ibrahim? 

Kemelut dalaman Pakatan Rakyat baru-baru ini telah menunjukkan sisi-sisi gelap terhadap Pakatan Rakyat sehingga rakyat di atas pagar agak muak dan jelak dengan permainan politik. Adakah rakyat sudah bosan dengan permainan politik dari kedua-dua belah pihak?

Selepas kegagalan merampas Putrajaya pada Pilihanraya Umum ke 13, Pakatan Rakyat dilihat seperti berundur ke belakang apabila tercetus pelbagai kemelut dalaman yang antara lain merosakkan imej Pakatan Rakyat di mata umum. Bermula dengan kemelut Menteri Besar Selangor dan disusuli dengan Langkah Kajang, permainan politik tersebut jelas memberi impak negatif terhadap PR. 


PR tidak lagi buat masa sekarang menjuarai suara rakyat yang dicanangkan sebelum ini. Walaupun rakyat dihimpit dengan kos sara hidup yang semakin meninggi dan ditambah pula dengan pelbagai kenaikan yang mungkin berlaku pada tahun 2015, namun PR terutama PKR lebih fokus memainkan isu mengenai Kes Liwat II yang akan diketahui keputusannya hujung Oktober ini. 

Koordinat Pusat Lensa, Ekhsan Bukharee dalam satu laporan berkata, cara politik Anwar dan semangat solidariti yang pernah dibawa pemimpin itu sudah pudar dan tidak akan berulang pada masa terdekat. Rakyat juga sudah tidak akan berhimpun untuk membantah keputusan jika didapati bersalah. 


Rakyat melihat perjuangan kedua-dua belah pihak PR atau BN. Namun isu dimainkan oleh ahli politik lebih kepada menjaga kepentingan masing-masing. Akhirnya yang menjadi mangsa adalah rakyat itu sendiri. Rakyat mungkin sudah bosan untuk menyertai himpunan yang isunya hanya memperjuangkan satu individu dan rakyat juga mungkin sudah bosan dengan kerenah mereka yang memegang tampuk kerajaan yang dilihat tidak sensitif dengan permasalahan rakyat walaupun terdapat usaha untuk membantu rakyat. 


Keputusan AMK menganjurkan kempen “Rakyat Hakim Negara” dilihat tidak bersesuaian dengan apa yang diperjuangkan. Memang benar rakyat itu hakim negara kerana rakyatlah yang mengundi siapa yang akan memerintah negara dan rakyat juga boleh menghukum pemerintah sekiranya tidak berlaku adil. Ianya pernah terjadi di serata dunia dimana rakyat berhimpun untuk menggulingkan kerajaan yang tidak adil. 

Menurut ketua AMK Nik Nazmi, tujuan kempen “Rakyat Hakim Negara” bukanlah sekadar solidariti terhadap Anwar tetapi juga untuk memberi kesedaran kepada rakyat terhadap keadilan dan reformasi sosial dalam negara. Namun, dalam konteks Malaysia yang mempunyai pelbagai isu sensitif terutama agama dan bangsa ianya tidak akan berlaku dalam sekelip mata kerana adanya isu-isu sensitif seperti ini. 


Rakyat juga sudah bijak kerana dalam keadaan sekarang berhimpun dijalanraya hanya tidak mendatangkan apa-apa hasil kerana tiadanya isu yang dekat di hati mereka yang boleh membolehkan mereka bersatu menyatakan suara rakyat tanpa mengira agama atau bangsa mereka. Jalan yang terbaik adalah untuk menunggu pilihan raya umum yang akan datang dan menyuarakan pilihan mereka dengan mengundi. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here