Isu #2Kerja, Ahmad Maslan Pertahan Kenyataannya

Dalam mempertahankan cadangan beliau bahawa rakyat Malaysia harus melakukan tiga kerja bagi menampung kos sara hidup yang semakin meningkat, Datuk Ahmad Maslan berkata apa yang dimaksudkannya itu adalah dari segi konteks perniagaan dalam talian selain kerja sedia ada.


Beliau berkata dirinya turut mempunyai tiga tugas dalam satu masa iaitu sebagai Ahli Parlimen, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa & Industri dan Ketua Penerangan Umno.

“Saya ada 3 kerja: Ahli Parlimen, Timbalan Menteri, Ketua Penerangan Umno. Ramai dah di Malaysia buat #2kerja. Berusaha gigih cari rezeki yang halal.

“Jika kerja sedia ada waktu siang, boleh business online waktu malam dan hujung minggu asal tak jejas prestasi, boleh tambah pendapatan,” tulisnya di Twitter pada Selasa menggunakan hashtag #2kerja.

Terdahulu, Ahmad dalam satu majlis usahawan Johor pada Sabtu lalu berkata bukan sesuatu yang luar biasa bagi mereka yang tinggal di kawasan luar bandar mempunyai lebih satu pekerjaan.


Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian turut menegaskan “ada diantara mereka yang menoreh getah di waktu pagi dan bercucuk tanam di sebelah petang, manakala memotong rumput pada waktu pagi dan membina rumah di petang hari.

Beliau bagaimanapun menjelaskan mengenai satu laporan dalam Astro Awani dengan tajuk yang mencadangkan kerajaan menggalakkan orang ramai melakukan dua pekerjaan.

“Saya menyebut bahawa kementerian menggalakkan perniagaan dalam talian untuk meningkatkan pendapatan dan ia trend semasa dalam perdagangan. Tajuk berita Astro Awani tidak tepat.

“#2kerja ada peraturan yang perlu diikuti untuk mereka yang kerja tetap, maka patuhilah. Untuk yang kerja sendiri, tak ada isu.

“#2kerja YB Lim Guan Eng Adun/MP/CM. YB DS Wan Azizah Adun/MP/Ketua Pembangkang. 3 kerja. Saya cadang kerja yang ada + business online. Marah?,” tulisnya.

“Wahai Najib Razak” : Luahan Terbuka Seorang Rakyat Malaysia kepada Perdana Menteri Jadi Viral

Satu luahan terbuka seorang pengguna Facebook yang menggunakan nama Mohd Ruzaimi Hussain menjadi viral di media sosial Facebook setelah dia berkongsi luahan tersebut di Facebook miliknya.


Menurut Ruzaimi, apa yang ditulis olehnya adalah dari pengalamannya sendiri yang beliau sifatkan mungkin tidak pernah dirasai oleh pemimpin-pemimpin atasan negara.

“Saya bukanlah wakil rakyat mahupun berpendidikan amat tinggi cuma apa yang saya taipkan hanyala pengalaman hidup sendiri yang mungkin x pernah dirasai oleh pemimpin atasan kita”, tulis beliau di Facebooknya di dalam posting berasingan.

Luahan hati pengguna Facebook itu telah dikongsi 1,743 kali.

Luahan terbuka oleh Mohd Ruzaimi Hussain

Wahai Najib Razak.. kau x pernah rasa mcm mane tengok beg duit ade cuma rm5 .. ko x pernah rasa pergi ATM tgk dlm akaun ade rm20 dan hanya dapat kluarkan rm10. 


Ko x pernah rasa hanya makan ikan bilis masak kicap dan telur mata lembu selama sminggu.. kau x pernah rasa nak tuang minyak tgk dlm poket cme ade rm5 tp hanya tuang rm3. 


Kau x pernah rasa makan nasi kat tepi jalan masa tgh rehat kerje sambil kenderaan lalu lalang dan bnyak debu jalanan..
kau x pernah rasa bila xde duit nak beli baju baru hanya dapat beli baju bundle 3helai rm10. 


Kau x pernah rasa bila ada modal skit mniaga tepi jalan lalu diberi saman oleh majlis daerah atau perbandaran.. 


kau x pernah rasa bila malam terpaksa tutup smua suis lampu dan kipas hanya untuk jimat elektrik.. lau x pernah rasa satu hari hanya bole guna 2 baldi air tuk kegunaan satu hari demi menjimatkan bil air.. 


kau x pernah rasa bila tengok orang yang mampu pakai mahal2 tapi teringat dalam beg duit ade rm30.. 


kau x pernah rasa walaupun demam tp x beli panadol kat 7eleven sbb duit x cukup.. 


kau x pernah rasa walaupun hujan terpaksa start motor pergi kerje walaupun baju hujan xde demi x dipotong gaji bulanan.. 


kau x pernah rasa bila dapat gaji rm900 senyuman tinggi menggunung pada hari pertama tapi bila hari ke2 dah bermasam muka sbb banyak benda nak dibayar.. 


kau x pernah rasa bila tapak kasut tercabut kau akan pergi kedai rm2 tuk beli gam dan tampal balik kasut tu yang mana hnya bole tahan slama 3 hari.. 


kau x pernah rasa bila ibu bapak kita nak kan sesuatu terpaksa kita sebagai anak simpan dlm hati saja dan mengambil masa yang agak lama tuk tunaikan impian ibu bapa kita tu.. 


kau x pernah rasa ini semua… sebab bila kau bangun dari tido semuanya dah tersedia.. -inilah apa yang aku rasa sebagai rakyat malaysia pada hari ini.

Luahan Hati TMJ Kepada Almarhum Tunku Jalil

Anakanda keempat Sultan Johor, Tunku Abdul Jalil Iskandar Ibni Sultan Ibrahim Ismail mangkat pada jam 7.11 malam Sabtu di Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru.

Tunku Abdul Jalil mangkat pada usia 25 tahun akibat kanser hati. Kami kongsikan luahan hati TMJ yang ditulis di FB Johor Southern Tiger.



Kepada adikku yang dikasihi… Dalam banyak malam yang berlalu, inilah malam yang paling sukar untuk saya. Kita semua amat sayang dan rindukan kamu. Kamu yang sentiasa membuatkan kita tersenyum. Kamu juga kekuatan dan inspirasiku. Kamu punyai satu sifat yang kita tiada; jiwa yang penyayang dan rendah diri. Saya sayangkan kamu sepenuh hati dan sangat rindukan kamu. Kamu takkan dilupakan. Namamu akan dibawa oleh warisku. Senyumanmu adalah kekuatanku. Semoga Allah merahmatimu, adikku. Saya sentiasa sayangkan kamu. DYAM Brigadier Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor

Tunku Laksamana Johor Tunku Abdul Jalil Mangkat

Tunku Laksamana Johor, Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim, 25, mangkat pada pukul 7.11 malam Sabtu di Hospital Sultanah Aminah di sini akibat kanser. 


Almarhum merupakan anakanda keempat dari enam adik beradik putera Sultan Ibrahim dan Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris. 

Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli yang mengumumkan mengenai berita kemangkatan itu berkata jenazah Almarhum akan diiring ke Istana Besar malam ini dan ditempatkan di Bilik Khas Istana Besar. 

“Istiadat siram jenazah dan kafan akan dilakukan kira-kira 7 pagi esok (Ahad) dan seterusnya jenazah Almarhum akan disemayam di Bilik Singgahsana Istana Besar,” kata beliau dalam sidang akhbar di Bukit Timbalan di sini, Sabtu.

Abdul Rahim berkata penghormatan untuk orang kenamaan pula akan bermula pada pukul 11.30 pagi hingga 12.30 tengah hari, sebelum jenazah disembahyangkan dan dimakamkan di Makam DiRaja Mahmoodiah di sini selepas waktu Zohor esok (Ahad).



Beliau berkata jenazah Almarhum akan dibawa menggunakan pedati yang akan ditarik oleh Askar Timbalan Setia Johor melalui Jalan Istana Besar terus ke makam tersebut sepanjang tiga kilometer.

Turut mengiringi jenazah ialah Sultan Ibrahim serta anakanda-anakandanya yang lain, kata beliau.

Abdul Rahim berkata Almarhum akan disemadikan di sebelah kanan makam nendanya Almarhum Sultan Iskandar Almarhum Sultan Ismail yang mangkat pada 22 Januari 2010, atas permintaan Tunku Abdul Jalil sebelum ini.

Diputerakan pada 5 Julai 1990, Almarhum disahkan menghidapi kanser hati tahap empat sejak Disember tahun lepas dan pernah menjalani pemindahan hati di sebuah hospital pakar di Guangzhou, China sebelum ini.

Zaid Ibrahim Akan Didakwa Sebab Gesa Najib Letak Jawatan

Bekas menteri, Datuk Zaid Ibrahim akan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berhubung bahan yang dimuatnaik pada laman blognya bertarikh 2 September lalu.


Zaid dipercayai dengan niat menggunakan aplikasi Internet untuk mengeluarkan kenyataan menggunakan bahasa kesat terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengikut Seksyen 233 (1) (a) akta berkenaan.

Keterangannya dirakamkan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada 2.15 petang, Khamis. Zaid diiringi dua peguam meninggalkan balai berkenaan sejam kemudian.
“Saya dipanggil ke ibu pejabat ini untuk merakamkan keterangan dan menyerahkan paparan skrin blog termasuk teks menyokong bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang meminta supaya Najib meletak jawatan,” kata Zaid.

Zaid berkata, beliau sedia berhadapan dengan sebarang kemungkinan.

“Di negara demokratik, kita sepatutnya diberi kebebasan untuk menyuarakan pandangan untuk manfaat negara,” katanya di luar balai berkenaan.

Kenyataan Zaid pada blognya, www.zaid.my bertajuk “Rally Behind Tun Mahathir Mohamad”.

Beliau juga dipanggil untuk memberi keterangan berhubung perkara sama dan disiasat mengikut Akta Hasutan pada November lalu.