Rahim Thamby Chik Akui Tidak Semak Fakta

Bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Thamby Chik membuat permohonan maaf secara terbuka – yang ketiga dalam tempoh empat hari berhubung dakwaannya bahawa Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah telah murtad.


Permohonan maaf terbaharu Rahim yang kini bersara daripada politik dimuat naik di status Facebook miliknya kira-kira pukul 6 petang Selasa.

Ia merupakan pernyataan maaf versi Bahasa Malaysia selepas beliau sebelum ini mengemukakan permohonan maaf terbuka dalam bahasa Inggeris pada petang Isnin.

“Mengenai penulisan saya dalam Twitter dan FB mengenai DYTM Raja Muda Selangor menukar agama kepada Katholikisme, saya mengaku ini adalah daripada sumber yang tak dapat ditentukan kesahihannya.

“Saya dengan ikhlas memohon maaf diatas ketidakselesaan dan kesulitan yang munkin dirasai oleh DYMM Sultan Selangor, DYTM Raja Muda Selangor dan Istana Selangor,” katanya.

Rahim yang juga Pengerusi Gabungan Badan Ekonomi Selangor (Gabem), sebelum ini turut mendakwa Sultan Selangor, Sultan Sharaduddin Idris Shah akan mengadakan pertemuan dengan Pope Vatican City.

Sehingga kini belum dapat dipastikan sama ada Istana Selangor akan menerima permohonan maaf Rahim atau tidak.

Majlis Dewan Diraja Selangor dijadual mengadakan pertemuan hari ini (Rabu) dan isu berkenaan dijangka akan turut dibincangkan.

Sumber istana berkata jika Rahim seorang yang tidak begitu mudah tertipu dan bertanggungjawab untuk menyemak maklumat, beliau akan mengetahui bahawa cerita penukaran agama itu datang dari sebuah laman web satira yang dikenali ‘World Daily News Report’.

Laman web itu terkenal dengan laporan seperti ‘wanita Brazil diculik oleh makhluk asing dan kembali dalam keadaan hamil’.

Dua laporan polis dibuat mengenai perkara itu iaitu oleh Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani dan setiausaha sulit putera Sultan Selangor, Hanafisah Jais pada pukul 4 petang Isnin.

Media ini pada mulanya tidak pasti sama ada akaun Facebook yang berkenaan adalah milik Rahim kerana nama pemilik ditulis sebagai ‘Rahim Tamby Chik’.

Bagaimanapun seorang ahli keluarganya kemudian mengesahkan bahawa ia adalah akaun tulen milik Rahim.

“Main Golf Dengan Obama Demi Rakyat”

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan main golf dengan Barack Obama hanya bertujuan membina hubungan peribadi yang positif dengan presiden Amerika Syarikat itu.


Menurut Najib, tidak ada sebarang manfaat atau kelebihan politik diperoleh daripada perlawanan golf ituMemetik laporan sebuah portal Malaysiakini, beliau berkata demikian ketika bertemu dengan pelajar Malaysia di New York, semalam.

“Saya lakukannya kerana saya fikir ia adalah satu langkah yang positif. Saya lakukannya demi Malaysia, saya lakukannya demi rakyat.

“Malangnya masanya salah, saya tidak mendapat sebarang keuntungan politik,” katanya berseloroh ketika menceritakan pengalaman tersebut.

Dalam pada itu, beliau turut berseloroh mengenai perlawanan golf bersama Obama yang pada Disember lalu.

“Saya kini, untuk rekod, sebagai perdana menteri tunggal yang boleh bermain golf dengan Obama,” demikian ujarnya.

Najib mengadakan perlawanan golf antara beliau dengan Obama di Hawaii, Amerika Syarikat pada Disember lalu.

Tindakan beliau mengundang kecaman teruk daripada masyarakat yang pada ketika itu menghadapi kesulitan akibat banjir yang dialami di beberapa negeri di sekitar Semenanjung tanah air.

Beranikah Perdana Menteri Sumpah Laknat?

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak didesak supaya mengangkat sumpah laknat bagi mengakui RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya adalah derma daripada seorang jutawan Timur Tengah.


Selain itu, bekas ahli UMNO, Ummi Hafilda Ali turut meminta Najib membuat sumpah laknat bagi membuktikan duit RM2.6 bilion itu digunakan demi kepentingan rakyat dan negara.

Katanya, sumpah laknat itu perlu dilakukan selepas solat Jumaat di Masjid Putrajaya sebelum akhir bulan Oktober.

“Sebagaimana Perdana Menteri begitu berani bersumpah laknat dengan menafikan sekeras kerasnya kaitan beliau dengan model Mongolia, Altantuya Shaariibuu, kami juga yakin dan percaya Perdana Menteri kami Najib Razak berani bersumpah laknat dalam Masjid Putrajaya selepas solat Jumaat.

“Ini bagi menghilangkan semua keraguan rakyat dan pihak musuh politiknya,” katanya dalam sidang media di Jalan Ipoh pada Ahad.

Dalam perkembangan lain, Umi Hafilda turut meluahkan tidak puas hati dengan penahanan rakannya, bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan yang ditangkap mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah khas) 2012 (SOSMA).

Dia yang kini dilantik sebagai Pengasas Kuasa Suara Rakyat (KSR) mempersoalkan adakah wajar kerajaan mengenakan tindakan undang-undang terhadap Khairuddin yang hanya membuat laporan mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di luar negara.

“Khairuddin sudah membuat laporan polis sejak Disember lagi. Namun mereka ada kuasa dan boleh buat apa sahaja.

“Saya tidak dapat membayangkan nasib yang akan dilalui Khairuddin selepas ini.

“Sebagai sahabat saya sedih… Tak sepatutnya berlaku,” katanya.

Sudahlah Jamal Ikan Bakar. Apa Lagi Yang Kamu Mahu?

Penunjuk perasaan baju merah telah diberitahu supaya menghentikan ancaman mereka untuk mengadakan satu lagi perhimpunan di Petaling Street, Sabtu. Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Muhamad berkata, kumpulan baju merah sudah pun melontarkan apa yang ingin disuarakan mereka semasa perhimpunan pada 16 September.


“Ketua Umno Sungai Besar, Datuk Jamal Md Yunos perlu berhenti. Meneruskan dengan satu lagi perhimpunan sebenarnya mungkin tidak produktif kepada usaha-usahanya sebelum ini.

“Peluang telah diberikan kepadanya dan kumpulannya untuk menyatakan kebimbangan mereka, tetapi sekarang, cukuplah, berhenti,” kata Nur Jazlan. Beliau berkata rakyat Malaysia diberi kelonggaran untuk melaksanakan kebebasan bersuara tetapi tanggungjawab itu perlu dihentikan apabila sensitiviti kaum disentuh.

“Sebab itu pihak polis mengambil tindakan. Malah sebagai orang Melayu, mengetepikan kedudukan saya sebagai timbalan menteri dan ahli Umno, saya pun rasa dia perlu berhenti,” kata Nur Jazlan.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa bertanya mengapa Jamal dan penunjuk perasaan baju merah mahu mengadakan satu lagi perhimpunan jika mereka telah menyampaikan mesej mereka dengan jelas pada 16 September.

“Adakah anda menyatakan perhimpunan pertama anda tidak berjaya jadi anda perlukan satu lagi perhimpunan? Orang ramai tak turun ke perhimpunan besar setiap minggu.

“Bersih mengadakan perhimpunan hanya sekali setahun, malah mereka mempunyai mesej besar untuk disampaikan dan mereka tidak mengancam rakyat.”

Beliau berkata, perhimpunan 16 September telah mencemarkan negara disebabkan oleh ‘mesej yang bersifat perkauman dan penghinaan’, yang tidak membantu negara bergerak ke hadapan.

Mujahid juga mempersoalkan mengapa kumpulan baju merah mensasarkan Petaling Street, sambil menambah bahawa aduan mengenai barangan tiruan hendaklah dibuat kepada pihak berkuasa.

Ahli kumpulan G25, Tan Sri Mohd Sheriff Mohd Kassim, berkata tidak perlu untuk melakukan demonstrasi jalanan bagi menakut-nakutkan orang lain.

“Jika mereka mempunyai idea yang baik tentang bagaimana untuk membantu pihak berkuasa menangani barang-barang tiruan, mereka perlu mengadakan pertemuan dan berbincang.”

Naib Presiden Gerakan Datuk A. Kohilan Pillay berkata Jamal dan penunjuk perasaan baju merah telah menyimpang jauh. Beliau berkata, hak untuk komuniti di Petaling Street mencari makan dan menjalankan perniagaan mesti dihormati.

Aktivis sosial Anas Zubedy berkata pemimpin dan ahli Umno perlu membuat keputusan jika mereka mahu Jamal menjadi jurucakap mewakili mereka.

“Jika Umno mahu terus melakukan demonstrasi jalanan, maka Pemuda Umno harus mengatur dan memimpin, bukan seseorang seperti Jamal,” kata Anas.

Bilqis Hijjas Didakwa Cetuskan Tingkah Laku Menghina

Bilqis Hijjas yang didakwa menjatuhkan belon berwarna kuning pada majlis yang dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di sebuah pusat beli belah di ibu negara pada bulan lalu menganggap tuduhan terhadapnya ‘tidak masuk akal’.


“Perkataan yang ditulis (atas belon) seperti demokrasi, bebas media dan keadilan tidak bersifat menghina,” katanya kepada pemberita selepas membayar wang jaminan RM500 di Mahkamah Kuala Lumpur.

Dia berkata, belon juga bukan senjata berbahaya.

“Ini amat membimbangkan kerana ia seolah-olah kuasa boleh diancam oleh belon,” katanya.

Bilqis didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 kerana mencetuskan tingkah laku yang menghina dan mengganggu keamanan.

Bagaimanapun, dia mengaku tidak bersalah dan berjanji akan berjuang’ sehingga akhir.

Peguamnya, Michelle Yesudas memberitahu, Bilqis adalah orang pertama di negara ini yang akan dikenakan tindakan atas kesalahan jenayah yang dikaitkan dengan belon.

Jamal Ikan Bakar Beri Amaran Rusuhan di Petaling Street!

Datuk Jamal Yunos memberi amaran rusuhan oleh kumpulan Melayu mungkin berlaku di Jalan Petaling pada Sabtu ini jika Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepengunaan (KPDNKK) tidak mengambil sebarang tindakan terhadap aduan yang telah dibuat.


Pengerusi Gabungan NGO Melayu Malaysia itu berkata, setakat hari ini pihak berkuasa tidak menjalankan apa-apa tindakan penguatkuasaan terhadap peniaga yang didakwa menjual barangan tiruan.

“Kalau pihak berkuasa tak mengambil tindakan, saya yakin, 99 peratus akan ada perhimpunan dan mungkin juga akan berlaku satu rusuhan di sana. Hari sabtu ni.

“Saya sendiri sudah berjumpa pihak KPDNKK untuk sampaikan hasrat mereka supaya tuntutan kita ini dilaksanakan,” katanya kepada pemberita di IPD Ampang Jaya pada Rabu.

Katanya, jangkaan 5,000 orang akan menyertai perhimpunan tersebut.

Sehubungan itu, beliau menggesa supaya pihak-pihak yang terlibat mengadakan rundingan dengan perniaga di sana bagi mengelak berlakunya perkara yang tidak diingini.

“Saya berharaplah persatuan peniaga dan peniaga-peniaga di Petaling Street itu, memberi kerja sama yang sepenuhnya supaya kita tidak mahu insiden seperti 16 September yang lepas berulang lagi.

“Kalau KPDNKK tidak ambil tindakan sehingga Jumaat ini, kalau berlaku apa-apa kekecohan di sana, saya tidak bertanggungjawab,” katanya yang enggan mendedahkan individu yang akan mengetuai perhimpunan Sabtu ini.

Tahniah!! Skandal 1MDB Popularkan Najib dan Malaysia Di Mata Dunia

Skandal syarikat pelaburan negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah ‘mempopularkan’ Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Malaysia di seluruh dunia. 


Ini kerana, laporan yang menyatakan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) telah mula menjalankan siasatan rasuah melibatkan 1MDB telah mendapat liputan meluas media di beberapa buah negara. 

Laporan itu telah mendapat perhatian media sekurang-kurangnya 10 negara seperti di Bulgaria, Thailand, Vietnam, Sepanyol, China, Korea, Rusia, Jepun dan India. Siasatan FBI ke atas 1MDB tercetus apabila Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dihalang ke luar negara dan kemudiannya di tahan oleh polis.

 Bekas Naib Ketua UMNO Batu Kawan itu dikatakan merancang untuk ke New York dan London pada Jumaat lalu. Bagaimanapun, tujuan beliau ke luar negara tidak diketahui. 1MDB diselubungi kontroversi apabila ia dikaitkan memiliki hutang sebanyak RM42 bilion dan turut didakwa salah urus kewangan. 

Berikutan itu siasatan terhadap 1MDB dilakukan secara menyeluruh. Bulan lalu pihak berkuasa Switzerland membekukan akaun dana itu untuk siasatan lanjut. Pihak berkuasa Hong Kong juga mengesahkan siasatan terhadap 1MDB sedang dijalankan.

Apa Sebab Tiada Lagi Tajaan Mara Untuk Pelajar Universiti Taylor?

Majlis Amanah Rakyat (Mara) tidak akan menaja pelajar Universiti Taylor untuk pengambilan seterusnya, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Bagaimanapun, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah tidak menyatakan sebab-sebab penamatan itu.


“Terdapat banyak sebab,” katanya ketika ditanya sama ada ia ekoran kolej swasta itu menamatkan perkhidmatan operator yang membawa penumpang ke perhimpunan baju merah di Kuala Lumpur minggu lalu.

Di media sosial tersebar paparan skrin kenyataan yang didakwa dibuat oleh beliau, mengarahkan Ketua Pengarah Mara untuk menamatkan tajaan pelajar-pelajarnya berkuatkuasa serta merta.
Antara komen-komen netizen di Facebook

Univ Taylor ada hak utk batalkan kontrak dgn pengusaha Bas..Ia urusan antara Univ & tokey bas jika ada pelanggaran syarat kontrak.. Apa hal pulak Mara campur tangan & babitkan nasib pelajar tajaannya di Univ Taylor..Itu yg saya tak faham! 

Kesian student2 yg fokus nak belajar. Meraka masih belajar bukan nak bwa rusuhan. mereka study pun tak tenang asyik2 menteri2 tak ada otak tu mbwa mereka ke dunia politik.


Walau bagaimanapun, Ismail menjelaskan bahawa beliau tidak membuat sebarang kenyataan seperti itu. “Saya tidak membuat pernyataan itu, ia telah dibincangkan dalam aplikasi mesej kumpulan Telegram dengan Ketua Umno bahagian,” katanya.

Ismail berkata, beliau akan memaklumkan Ketua Pengarah Mara untuk mengkaji semula mengenai tajaan dengan Universiti Taylor. “Tetapi saya ingin menjelaskan bahawa kita tidak akan menamatkan tajaan untuk pelajar sedia ada, mereka boleh meneruskan pengajian mereka.

“Hanya pengambilan seterusnya akan terjejas,” kata Ismail. Pada 18 September, Universiti Taylor telah menamatkan perkhidmatan seorang pengusaha bas yang menggunakan kenderaan yang mempunyai logo universiti itu untuk membawa penumpang ke Himpunan Rakyat Bersatu baru-baru ini.

Universiti itu berkata notis penamatan dua bulan, yang berkuat kuasa serta-merta telah dilakukan selaras dengan kontrak perkhidmatan dengan pihak ketiga syarikat bas.

“Perkhidmatan bas Wawasan Sutera akan terus berjalan mengikut jadual yang dipersetujui tanpa gangguan perkhidmatan sehingga 16 November 2015.”

Universiti Taylor berkata ia masih belum menerima kenyataan rasmi penamatan itu dari Mara atau Kementerian. “Kami akan tidak akan memberikan komen buat masa ini kerana kita masih belum mendengar daripada Mara mengenai perkara ini,” kata seorang jurucakap universiti itu ketika dihubungi.

BAZIR!! Ini Sebab Kenapa Perlu Bayar $600K Kepada China

Malaysia perlu membayar US$600,000 kepada China bagi setiap anak panda yang dilahirkan disini selepas 12 bulan dan memulangkan anak panda itu kepada China apabila usianya mencecah 2 tahun, kata Menteri Sumber Asli & Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Perkara ini termaktub dalam perjanjian antara Malaysia dan China yang mana turut menyebut dua ekor panda, Fu Wa (Xing Xing) dan Feng Yi (Liang Liang), dipinjamkan kepada Malaysia selama 10 tahun, kata beliau dalam satu sidang media selepas membuat lawatan rasmi ke Zoo Negara hari ini.

“Tidak, panda-panda itu bukan milik Malaysia, walaupun mereka lahir di Malaysia “Kita perlu memulangkan anak panda itu ke Chengdu, China, selepas dua tahun. Kita juga perlu memberikan hadiah di atas kelahiran panda, iaitu US$600,000 bagi setiap panda yang dilahirkan di sini”, tambahya.
“Untuk memberi nama kepada panda (yang baru dilahirkan), kita perlu persetujuan dari China seperti dalam perjanjian”, kata Wan Junaida sambil menambah kementerian akan menganjurkan satu pertandingan menamakan anak panda itu.
China bersetuju meminjamkan dua ekor panda bagi menanda 40 tahun hubungan diplomatik antara Malaysia dan China pada tahun ini.
Wan Junaidi berkata Malaysia adalah negara kelapan yang menghasilkan panda daripada 18 negara yang mempunyai panda di dunia ini.
HIDUP PANDA !! HIDUP PANDA !! HIDUP PANDA !!

Kenyataan Annuar Musa Hina Islam

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) mengesa Tan Sri Annuar Musa menarik balik kenyataannya yang memberi implikasi dan gambaran yang salah mengenai Islam. Pengerusinya, Mohd Azmin Abdul Hamid berkata, kenyataan Ahli Parlimen Ketereh itu seolah-olah menggambarkan wujud rasisme dalam Islam.


“Dari mana Annuar mendapat fahaman ini. Dengan menyatakan pendirian tersebut seolah-olah beliau mendakwa dalam Islam ada fahaman rasisme. Apakah asas beliau untuk mengatakan wujud rasisme dalam Islam?

“Lebih berat lagi ialah beliau telah menghina kesucian Islam sebagai agama yang mengajar sikap saling menghormati antara kaum,” katanya, lapor Harakah.

Annuar, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) ketika mempertahankan Himpunan Baju Merah pada 16 September lalu dilaporkan berkata, sikap perkauman dituntut dalam Islam untuk mempertahankan hak asalkan tidak menzalimi kaum lain.

Mohd Azmi menjelaskan, perasaan marah kepada satu pihak yang kebetulan adalah satu kaum, tidak boleh dijadikan alasan untuk Annuar mengisytiharkan adanya rasisme dalam Islam.

“Kami amat kesal keghairahan beliau untuk mempertahankan perhimpunan yang berbau rasis tersebut dengan alasan kononnya ada rasisme Islam,” tegasnya.

Mohd Azmi berkata, untuk mengelakkan kekeliruan, MAPIM menyeru agar pihak berkuasa agama dan golongan alim ulama mengeluarkan kenyataan supaya sikap ini perlu dibetulkan dan pernyataan Annuar itu ditolak.