12 Tragedi Yang Menggemparkan Dunia

12 Tragedi Yang Menggemparkan Dunia

Tahun 2014 hampir tiba ke penghujung dan tahun ini juga pelbagai tragedi berlaku yang menggemparkan dunia. Namun seluruh dunia bersatu menunjukkan solidariti terhadap mangsa tragedi berkenaan. Berikut adalah 12 tragedi yang menggemparkan dunia. 

Februari, #PrayForKiev: Tunjuk perasaan anti kerajaan yang menyaksikan kematian seramai 75 orang.

Mac, #PrayForMH370: Misteri yang masih lagi belum terjawab. 

April, #PrayForSabah: Penculikan untuk mendapatkan wang tebusan bermula pada April dimana kes penculikan susulan berlaku.

April, #PrayForSouthKorea: Rombongan sekolah bertukar menjadi tragedi apabila feri yang dinaiki tenggelam menyebabkan kematian lebih 300 orang kebanyakkannya pelajar. 

Julai, #PrayForGaza: Bedilan bom oleh rejim Israel menyebabkan bandar Gaza musnah. 


Julai, #PrayForMH17: Persoalan “Siapa yang menembak jatuh pesawat MH17” masih belum ada jawapan. 

Ogos. #PrayForSyria: Perang saudara yang semakin meruncing apabila serangan gas maut keatas orang awam yang tidak bersalah. 

Ogos, #PrayForFerguson: Seorang remaja kulit hitam warga Amerika-Afrika yang ditembak mati mencetuskan rusuhan teruk di bandar Ferguson, Amerika Syarikat. 

Disember, #PrayForSydney: 40 orang dijadikan tebusan dalam sebuah kafe yang berterusan selama 16 jam. 

Disember, #PrayForPeshawar: Sebuah sekolah diceroboh oleh puak Taliban dan membunuh lebih 100 orang awam. 

Disember, #PrayForPantaiTimur: Banjir paling teruk dalam sejarah negara sejak tahun 1971. 

Disember. #PrayForQZ8501: Seperti deja vu apabila sebuah kapal terbang milik Air Asia Indonesia dilaporkan hilang. 

Selepas Diarah Pulang Baru Muncul Bak Cendawan

Selepas Diarah Pulang Baru Muncul Bak Cendawan


Tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengarahkah semua menteri yang sedang bercuti agar segera pulang bagi membantu operasi menyelamat mangsa banjir adalah suatu episod malang bagi negara kita.

Sebagaimana kita ditimpa malang kerana musibah banjir, kehilangan pesawat MH370 dan MH17, memiliki menteri yang terpaksa diarahkan pulang bak “itik lupa pulang ke sarang” adalah juga musibah malang.

Ia malang kerana realitinya kita mempunyai ramai pemimpin yang tidak sensitif terhadap rakyat dan lebih malang lagi mereka ini sebenarnya tidaklah sangat mengutamakan rakyat sebagaimana yang sering dilaung-laungkan di depan mikrofon, di depan kamera televisyen atau ketika bersama penyokong.
Ia secara langsung juga menggambarkan menteri yang sedang bercuti ini tidak memahami kedudukan mereka sebagai anggota pentadbiran adalah untuk berkhidmat kepada rakyat.
Seharusnya apabila mengetahui Najib sendiri sudah mengambil keputusan memendekkan percutiannya di Hawaii, semua menteri yang sedang bercuti ini lebih dulu kembali ke tanah air dan memendekkan cuti masing-masing.


Malangnya, sama ada setelah mengetahui Najib sudah membuat keputusan memendekkan cutinya dan sesudah sekian lama perdana menteri berada di dalam negara melawat mangsa banjir, masih tidak terlihat kelibat barisan menteri ini yang dilaporkan sedang bercuti di London, Australia, New Zealand, Dubai dan China, turut mahu pulang.

Agaknya ketika rakyat sedang sengsara dan Najib sedang bersiap-siap untuk pulang atau ketika melawat mangsa banjir, menteri-menteri ini masih riang ketawa bersama keluarga dan rakan sama ada sambil membeli-belah atau menikmati hidangan yang mewah-mewah.


Setelah dua hari berada di dalam negara, mungkin setelah menyedari hanya segelintir daripada mereka ada dalam negara, Najib akhirnya terpaksa mengeluarkan arahan agar mereka segera kembali dan memendekkan cuti masing-masing.

Tindakan mengarahkan mereka ini pulang pastinya memberi imej buruk kepada nilai kepimpinan yang ada dalam diri menteri-menteri terbabit. Seolah-olah mereka tidak boleh berfikir dan menilai sendiri keutamaan sebagai pemimpin.

Di kalangan yang sedang bercuti ini, di mana sebahagian gambarnya sudah bersepah di media sosial, sama ada menteri terbabit, anak-anak atau rakan mereka memuat naiknya dalam FB, Twitter atau Instagram, adalah merupakan menteri-menteri kanan serta yang “perasan” mereka adalah bakal perdana menteri di masa depan.

Di kalangan tiga menteri kanan yang berjawatan naib presiden Umno iaitu Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Shafie Apdal dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang kini sedang berebut untuk saling mendahului menghuni Seri Perdana atau Seri Satria, semuanya hilang, senyap dan sunyi tanpa sebarang berita.


Begitu juga dengan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang dianggap sesetengah pihak sebagai pelapis kedua calon bakal perdana menteri, turut hilang tanpa khabar berita sehingga poster kehilangannya turut bertaburan di media sosial.


Sebahagian menteri lain juga begitu, yang tinggal dalam negara ketika ini hanya beberapa kerat saja. Asyik-asyik muka menteri yang sama saja sedang bertungkus-lumus dengan mangsa banjir di pelbagai negeri ketika ini.

Pada masa yang sama, Najib sendiri sedang merudum prestasinya dan dipertikai di mana-mana. Dengan pelbagai masalah dalam negara yang tidak berkesudahan, Najib kini berdepan cabaran getir untuk mempertahankan kuasa Umno dan Barisan Nasional (BN) berbekalkan hanya 47% undi popular.

Dengan musibah banjir melanda yang sekali gus memperlihatkan ramai menteri sedia ada seperti “tak reti bahasa” dalam sama-sama membantu menaikkan imej kerajaan dan BN, Najib kini tiada pilihan lain selain mengeluarkan sekurang-kurangnya separuh daripada menteri yang ada daripada Kabinetnya jika ingin terus berkuasa.

Dalam keadaan sekarang, sudahlah Najib sendiri dalam kedudukan “parah”dan hampir “kehilangan nyawa”, sebahagian menteri ini pula tidak membantu di saat kehadiran mereka benar-benar diperlukan.

Mereka tidak sanggup atau masih keberatan untuk berkorban, walaupun sebagai pemimpin dan sepatutnya lebih “berakal” berbanding rakyat kebanyakan, membuat sesuatu keputusan bukanlah sukar bagi mereka.

Bersama dengan ramai menteri yang sudah menjadi kecaman ramai sebelum ini dan dianggap tidak layak mengemudi negara, musibah banjir besar ini menyerlahkan lagi sebahagian daripada mereka.

Hanya dengan membuang sekurang-kurangnya separuh daripada menteri yang ada dan menggantikannya dengan muka baru yang lebih diyakini, barulah mungkin terserlah sedikit sinar untuk Najib, Umno dan BN terus mengekalkan kuasanya.

Jika tidak dan masih enggan membuang mereka, bersedialah untuk “gulung tikar” bersama menteri-menteri yang tak berguna itu.

Perisytiharan Darurat dan Insurans

Perisytiharan Darurat dan Insurans

Darurat bawah Perlembagaan Persekutuan
Darurat bawah Perlembagaan Persekutuan hanya boleh diiisytiharkan oleh Yang di-Pertuan Agong. Rujuk Perkara 150. Contohnya ialah Darurat Mei 1969, Darurat komunis 1948, Darurat Sarawak 1966 (pergelutan kuasa kerajaan negeri dengan persekutuan) dan Darurat Kelantan 1977 (pergelutan kuasa pentadbir negeri dengan persekutuan).
Kesannya?
1. Pucuk pimpinan negara akan diambil alih tentera.
2. Apa-apa saja undang-undang boleh diluluskan, meskipun melanggar Perlembagaan Persekutuan.
3. Pilihan raya boleh ditangguh.
Antara contoh undang-undang yang diluluskan semasa darurat adalah Emergency Ordinance 1969, yang membolehkan kerajaan membuat penahanan tanpa bicara.
Tempoh darurat tidak terhad. Darurat Sarawak 1966, darurat Mei 1969 dan darurat Kelantan 1977 hanya diangkat pada 2011. Dalam erti kata lain, perintah-perintah tersebut bertahan selama berpuluh tahun!
Darurat Sarawak 1966 (45 tahun), darurat Mei 1969 (42 tahun), darurat Kelantan 1977 (34 tahun).
Susulan pengumuman pembatalan darurat tersebut oleh perdana menteri, Emergency Ordinance secara automatik dimansuhkan.
Darurat bencana
Darurat bencana berbeza daripada darurat yang dijelaskan di atas. Darurat bencana dibuat secara pentadbiran dan eksekutif bawah Perkara 25 Arahan No. 20 Dasar & Mekanisme Pengurusan Bencana Negara Majlis Keselamatan Negara (MKN). Selain itu, perdana menteri sebagai ketua kerajaan, boleh membuat pengumuman darurat bencana (selepas menerima nasihat).
Contoh, jerebu Sarawak 1997, jerebu Pelabuhan Klang 2005 (API lebih 500) dan jerebu Muar dan Ledang 2013 (API lebih 750).
Kesannya?
1. Penggelembengan dan kerahan bantuan akan diambil alih oleh kerajaan persekutuan dan agensi-agensi atau kementeriannya.
2. Pembiayaan pengurusan, pemulihan dan sebagainya akan ditanggung oleh kerajaan persekutuan.
3. Kesemua aset dan jentera kerajaan seperti tentera, Rela, dana, bot, kenderaan dan sebagainya akan dikerahkan.
Mengapa kerajaan persekutuan enggan mengisytiharkan darurat?
Pada hikmah saya, terdapat beberapa alasan pokok iaitu persepsi umum dan kos.
Dalam politik, persepsi umum penting untuk membolehkan rakyat terus menaruh keyakinan dan kepercayaan pada kerajaan. Ayat-ayat seperti “semua dalam kawalan” atau “it is under control” merupakan jawapan dan respons yang lazim diberi oleh kerajaan.
Contohnya, hutang 1MDB, hutang negara, kebocoran soalan UPSR, dan kini banjir pantai timur, bukankah semua ini dikatakan ‘dalam kawalan’? Tetapi adakah ia benar-benar ‘under control’, terpulang kepada anda untuk menilai.
Perisytiharan darurat bukan saja menjejaskan kepercayaan orang awam, malah keyakinan pelabur asing juga akan terjejas. Sebagai contoh, saham AirAsia menjunam hampir 8% gara-gara misteri QZ8501.
Selain itu, kos pembiayaan pengendalian musibah ini akan menambahkan beban kerajaan persekutuan. Semasa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berada di luar negara, RM50 juta peruntukkan diluluskan dengan segera. Setibanya di tanah air pula, tambahan RM500 juta diluluskan. Jumlah sekarang sekurang-kurangnya RM550 juta.
Tidakkah ini RM550 juta ini cukup untuk mangsa? Tidakkah ia menambah beban kerajaan pusat?
Apa yang kalian perlu tahu adalah ini: Penambahan mempperuntukkan RM500 juta tersebut bukan kesemuanya secara langsung diagihkan untuk mangsa banjir pantai timur membeli makanan dan minuman. Dalam kenyataan MKN, RM500 juta ini diagihkan kepada MKN untuk ‘the aftermath’. Dalam erti kata lain, ia untuk membaiki jalanraya, jambatan, dan sebagainya. Sebahagian lagi peruntukkan ini juga disalurkan untuk persiapan musim banjir kelak.
Insurans?
Pada pendapat saya, kenyataan Twitter perdana menteri bersifat separuh masak dan mengelirukan.
Tuntutan insurans sebenarnya terpulang kepada polisi-polisi yang ditandatangani pembeli insurans. Ada banyak orang kampung yang tidak mempunyai insurans yang melindungi rumah dan kedai mereka. Jika ada pun, kebanyakkan insurans tidak melindungi kerosakan-kerosakan akibat bencana alam seperti gempa bumi, tanah runtuh dan banjir.
Akibatnya, kebesaran mungkin kerugian ini akan dikategorikan sebagai ‘total loss’. Justeru, tanpa perisytiharan sekalipun, mereka tidak akan dapat tuntut sebarang insurans.
Namun, ada pelanggan insurans yang membayar lebih untuk melindungi kerugian bencana alam. Untuk pelanggan-pelanggan ini, perisytiharan darurat tidak sama sekali akan menggugat kedudukan mereka. Hal ini sedemikian kerana banjir ini berlaku sebelum perisytiharan dan kerugian yang dialami dikira kerugian akibat bencana alam. Justeru, kerugian kelompok ini tetap dilindungi.

Akhirnya Najib Pulang Ke Malaysia

Akhirnya Najib Pulang Ke Malaysia, Lawat Mangsa Banjir Esok


Dikritik kerana bermain golf di Hawaii ketika puluhan ribu rakyat Malaysia berada di pusat pemindahan, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan pulang ke tanah air dan melawat mangsa banjir di Kelantan esok.

Menurut kenyataan pejabatnya petang ini, beliau dijangka mempengerusikan mesyuarat dan menerima taklimat daripada Majlis Keselamatan Negara, Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana, kerajaan negeri dan pihak yang terlibat dengan bantuan kecemasan semasa berada di Kelantan.

Beliau juga akan menemui mereka yang terjejas akibat banjir dan membincangkan langkah baru dalam memberi sokongan kepada mereka yang terpaksa dipindahkan.
Menurut jurucakap pejabatnya, perdana menteri yang sebelum ini dilaporkan bercuti bersama Presiden Barack Obama, membuat keputusan pulang dari Amerika Syarikat (AS) bagi menyelia sendiri tindakan kecemasan terhadap keadaan banjir di negara ini.
“Saya sangat bimbang dengan kejadian banjir ini. Saya turut merasai kesusahan rakyat yang kehilangan tempat tinggal dan keluarga kehilangan orang tersayang.

“Semasa di luar negara, saya sentiasa berhubung dengan Jawatankuasa Pengurusan Bencana dan Bantuan Kebangsaan yang memberi jaminan mereka sedang melakukan segala yang mungkin bagi membantu mereka yang terjejas.

“Tetapi, saya mahu melihat sendiri keadaan tersebut dan berada bersama rakyat,” Najib dipetik berkata dalam kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, ketika berada di luar negara, Najib menerima perkembangan terkini setiap hari berkenaan situasi semasa dan bercakap dengan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi mengarahkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana dan Bantuan Kebangsaan meningkatkan usaha membantu rakyat yang terjejas banjir.

“Berikutan laporan baru-baru ini yang keadaan kini bertambah buruk, perdana menteri berpendapat perlu bagi beliau untuk kembali ke Malaysia dan mengawasi sendiri tindakan terhadap banjir,” kata kenyataan itu.

Setakat jam 3 petang ini, seramai 118,896 mangsa banjir berada di pusat pemindahan di Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak, Johor, Kedah dan Perlis.

Wajah Bandar Aceh Selepas 10 Tahun Dilanda Tsunami

Wajah Bandar Aceh Selepas 10 Tahun Dilanda Tsunami? Ini Gambar Sebelum Dan Selepas


Satu dekat yang lalu, 26 Disember 2004, Tsunami telah melanda Aceh yang menyebabkan bandar itu lumpuh dalam sekelip mata dan mengakibatkan ribuan nyawa hilang. Kini, bumi yang dikenali sebagai serambi mekkah ini perlahan lahan bangkit. Mari kita lihat rupa kawasan Aceh yang dilanda tsunami dulu dan sekarang.

Masjid ini terselamat daripada bencana tsunami walaupun bangunan di sekeliling musnah


Pandangan atas sebuah perkampungan di Lampuuk, Aceh 10 tahun dulu dan sekarang


Serpihan besar di sekitar Masjid Baiturrahman

Sebuah bot terdampar di atas sebuah rumah yang musnah


Salah satu daerah yang musnah di Aceh


Ridhuan Tee dihalang masuki Sarawak

Ridhuan Tee dihalang masuki Sarawak

Dipercayai atas sebab mengelakkan ketegangan melibatkan kaum, agama dan juga puak-puak pelampau, penceramah bebas terkenal, Mohd Riddhuan Tee Abdullah telah disekat daripada memasuki negeri Sarawak awal pagi ini.

Ridhuan telah ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching dan perkara itu disahkan oleh Timbalan Pengarah Jabatan Imigresen Sarawak, Hamfatullah Syawal Hamdan.


“Jabatan Imigresen (Sarawak) telah menerima arahan daripada Ketua Menteri untuk menghalang Ridhuan masuk ke Sarawak. Untuk maklumat yang lebih lanjut (mengapa beliau dihalang masuk), boleh hubungi pejabat Ketua Menteri,” katanya kepada Bernama.

Ridhuan dijadualkan akan memberi ceramah agama di sebuah masjid di Lundu, pada jam 8 malam ini.

Beberapa pihak telah menyatakan pandangan mereka di laman sosial media untuk menghalang ahli akademik itu untuk memasuki Sarawak.


Menurut sumber, Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem enggan memberikan kebenaran untuk Ridhuan berada di Lundu pada malam ini, dan difahamkan program tersebut telah dibatalkan atas arahan beliau.

Untuk rekod, Sarawak sebelum ini telah menyekat kemasukan beberapa pemimpin pembangkang memasuki Sarawak daripada Kuching dan juga Sibu.

Adenan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Datu pada Mac lalu pernah berkata akan menghalang mana-mana pihak pentaksub agama, rasis dan pembuat kacau daripada memasuki Sarawak, manakala mereka yang sudah berada di negeri ini akan dihantar pulang sekiranya mereka mencetuskan ketegangan kaum dan agama.

Malah menurut kenyataan yang dikeluarkan itu, Adenan juga berkata bahawa kerajaan negeri mempunyai senarai nama mereka yang dihalang memasuki Sarawak.

Selangor Batal Sambutan Tahun Baru 2015

Selangor Batal Sambutan Tahun Baru 2015


Selangor memutuskan membatalkan sambutan Tahun Baru 2015 serta Te‎masya Selangor 15 sebagai tanda simpati kepada rakyat di negeri-negeri pantai timur yang menderita bencana banjir, kata Mohamed Azmin Ali.


Menteri besar Selangor itu berkata, keputusan dibuat bagi menjimatkan perbelanjaan kerajaan negeri Selangor.

“Kerajaan negeri Selangor mengarahkan Majlis Bandaraya Shah ‎Alam (MBSA) untuk membatalkan program Jom Heboh anjuran TV3 yang dijadualkan pada 27 dan 28 Disember di I-City, Shah Alam atas prinsip sama,” katanya pada sidang media di Bangunan Setiausaha Kerajaan (SUK), di Shah Alam hari ini.

Menurut Azmin, sebagai tanda simpati Selangor juga meluluskan RM1 juta untuk kerajaan Kelantan; RM100 ribu ‎masing-masing untuk negeri Terengganu, Pahang, dan Perak.


Sejumlah RM200,000 juga ‎bagi Misi Bantuan Kemanusiaan yang dikendalikan Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga melalui Pertubuhan Misi Bantuan Kemanusiaan Selangor (Pantas).

Beliau bersama delegasi juga akan turun ke Kelantan hari ini untuk menyampaikan bantuan

Dimana Najib Ketika Rakyat Sedang Sengsara Ketika Banjir?

Dimana Najib Ketika Rakyat Sedang Sengsara Ketika Banjir? 


Ketika rakyat di Kelantan, Terengganu dan Pahang didakap sengsara akibat banjir yang dianggap paling buruk kali ini dan ramai pula yang tertanya-tanya di mana Perdana Menteri, Najib Razak dalam detik sengsara ini? The Washington Post akhirnya tampil memberikan jawapan yang kita tunggu-tunggu.

Dalam laporannya, ia melaporkan Najib kini sedang bercuti di Hawaii dan turut bermain golf dengan santai dan riang bersama Presiden Amerika, Barack Obama.

Sebagaimana tahun lalu, terbukti sekali lagi Najib bercuti ke luar negara ketika musim sambutan Krismas sedang berlangsung. Sebagaimana tahun lalu, percutiannya kali ini mungkin juga sehingga sambutan tahun baru 2015 nanti.

Kesanggupan Najib bercuti di Hawaii, bergembira dan bermain golf dengan Obama ketika rakyat di pantai timur sedang menderita kesejukan, kelaparan dan mengalami kemusnahan harta-benda, tidak lain membuktikan beliaulah perdana menteri “terbaik” untuk negara ini.



Lupakanlah untuk menukar perdana menteri dengan Muhyiddin Yassin, Zahid Hamidi, Hishammuddin Hussein, Anwar Ibrahim atau sesiapa saja dan lupakanlah juga kehebatan Mahathir Mohamad membangunkan negara ini selama 22 tahun pemerintahannya kerana semuanya tidak terlawan dengan kehebatan Najib yang baru enam tahun dengan kuasanya.

Najib bukan saja hebat dengan kejayaan meningkatkan hutang negara, menghapuskan subsidi minyak dan gula, memansuhkan pelbagai akta, bangga dengan ungkapan “haram jadah” dan “bangang”, bermewah serta membazir harta negara dan banyak lagi yang jumlahnya tak terkira, tetapi juga hebat dari segi kekentalan jiwa kerana tidak peduli dengan rakyat yang derita.
Tiada mana-mana perdana menteri sebelum ini yang ketika negara ditimpa bencana besar seperti banjir yang sedang melanda ketika ini, namun masih sanggup bercuti di Hawaii dan bermain golf dengan Obama yang menjadi idolanya.


Bagi manusia bernama Najib ini, kepentingan dirinyalah yang lebih utama daripada segala-galanya. Ketika beliau mula bercuti, banjir baru saja bermula dan tidak terdetik pun di hati kecilnya mahu menangguhkan percutiannya. Semasa di Hawaii pula, sudah tentu beliau diberi khabar oleh para pegawai dan macainyan tentang banjir yang semakin buruk, tetapi tetap tidak bersedia memendekkan pemergiannya.

Cuti dan agenda peribadi tetap lebih penting biar apa pun yang sedang berlaku dalam negara. Maka, inilah perdana menteri terbaik untuk kita semua.

Umno dan 47% pengundi yang memilih Barisan Nasional (BN) seharusnya amat berbangga mempunyai pemimpin seperti Najib ini. Mereka bolehlah terus mempertahan dan mengagungkannya walaupun ramai yang sudah kehilangan kata-kata apabila melihatnya bergembira dan bertepuk bahu sambil bermain golf dengan Obama.

Walaupun banjir terus menggila, Najib tidak perlu pulang segera. Teruslah bercuti di Hawaii dan Amerika. Sehari dua selepas ini postinglah gambar dalam Facebook atau Twitter ketika syok membeli-belah bersama Rosmah pula.


Yesss…inilah perdana menteri “terbaik” untuk Malaysia.

Letupan Tong Gas, Dua Maut

Dua maut, seorang parah letupan tong gas


Dua maut manakala seorang lagi cedera parah dalam satu kejadian letupan yang berlaku di sebuah rumah di Taman Ria Mesra di Gurun petang ini.

Kejadian yang berpunca daripada letupan sebuah tong gas di bahagian dapur rumah itu menyebabkan seorang lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan maut manakala seorang wanita cedera parah.

Jurucakap Bomba Kedah berkata pihaknya menerima panggilan itu pada pukul 4.57 petang.

Katanya sebanyak tiga jentera serta 14 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Guar Chempedak, Yan dan Sungai Petani dikerahkan ke tempat kejadian, dengan jentera pertama tiba pada 5.13 petang.


“Setiba jentera di lokasi kejadian didapati berlaku kebakaran di sebuah rumah teres akibat daripada letupan tong gas di bahagian dapur.
“Letupan menyebabkan struktur rumah runtuh dan turut melibatkan lapan buah rumah yang berhampiran. Api kebakaran akibat letupan itu dapat dikawal pada 5.20 petang,” katanya.