Menjawab Soalan Presiden Umno: Dimana Silapnya Umno?

Dimana Silapnya Umno?

Apakah hasil Perhimpunan Agung UMNO 2014 perolehi? Jawapannya semua tahu. UMNO tetap sama…sama keadaannya seperti sebelum Perhimpunan Agung itu. Kalau ada pun hasilnya ia tidak begitu diminati oleh rakyat yang tidak suka dan gemar dengan Akta Hasutan 1948 di kekalkan. Ya, itu sahaja perbezaan di antara sebelum dan selepas Perhimpunan Agung itu. 

Selain dari itu UMNO tetap UMNO sebelum Perhimpunan Agung dahulu. Ia masih memainkan isu yang boleh menyatukan ahli-ahli UMNO walaupun buat seketika walau seburuk mana pun isunya. Selepas Perhimpunan perwakilan yang tidak tahu isu sebenar yang dihadapi oleh UMNO akan balik kampung dan seperti yang saya sebut beberapa hari lepas, ‘business as usual’. 


Tidak ramai di antara perwakilan itu balik ke kawasan masing-masing dengan memahami kenapa mereka mewakili UMNO kawasan mereka ke Perhimpunan Agung itu dan apakah yang mereka perolehi yang baik dari perhimpunan tahunan itu. Cuba kita tanya mereka apa yang mereka sumbangkan dalam perhimpunan itu selain dari membaham karipap yang disediakan oleh urusetia pusat UMNO itu selain bersorak SO-LI-DA-RI-TI. 

Perhimpunan seperti itu pada asasnya ialah bermatlamatkan untuk melihat apakah perbezaan yang menambah kebaikan kepada parti itu, dengan perwakilan dan pemimpin yang berbaris duduk di atas ‘high table’ di Dewan Merdeka itu lakukan. UMNO yang sepatutnya menumpukan untuk menambah keyakinan terhadap kepimpinan yang sedang menghadapi krisis keyakinan yang amat kritis itu. 

Isu ekonomi tidak langsung disentuh oleh Presiden parti dalam ucapan dasar Presiden dan itu amat pelik sedangkan itulah masalah dan isu terbesar yang dihadapi oleh UMNO dan kepimpinan kita. Isu ekonomi dimana 90% penduduk isi rumah luar bandar tidak memiliki simpanan sementara 86% penduduk bandar juga tidak memiliki simpanan tidak disentuh. 

Isu rasuah tidak dapat dibangkitkan dengan baik dan tidak ada perwakilan yang mengupas itu dengan teliti sedangkan imej rasuah yang sedang melekat dan bergayut kepada kepimpinan negara yang kebanyakannya adalah dari UMNO tidak hilang-hilang lagi, malahan bertambah kuat lagi.

Jadi, dalam blog A Kadir Jasin, memetik kata perdana menteri merangkap presiden Umno, presiden Umno bertanya, di mana silapnya Umno sampai jatuh teruk begini?

Keyakinan rakyat, keyakinan para pelabur, prestasi pendidikan sama ada peringkat rendah, menengah atau tinggi, semuanya secara jujurnya, teruk.

Tapi, apa silapnya Umno ini sebenarnya?

Saya bukan ahli Umno dan juga bukan blogger Umno yang cari makan dengan parti Umno bak kata presiden Umno, jauh sekali nak menyokong parti “so-called” keramat orang Melayu. Tapi sebagai seorang rakyat yang memerhati, biarlah saya beritahu terus terang.

Umno ni teruk sebab ia sebuah parti yang tak sedar diri. Parti ini balik-balik salahkan Cina, salahkan Anwar Ibrahim, salahkan Yahudi, salahkan DAP. Maklumlah, semuanya salah Anwar Ibrahim. (nanti mesti ada orang kata saya penyokong Anwar pula)

Tapi tak pernah akui kesalahan sendiri. Tak pernah nak cermin diri, dan mencari kelemahan dan cuba menyelesaikan masalah.

Sebaliknya, “sapu sampah bawah karpet”, “tak perlu cermin diri” dan yang paling penting, siapa yang mengutuk akan dikenakan Akta Hasutan 1948 yang dibentangkan di Parlimen British, bukan di Malaysia.


Akta penjajah ni juga yang dia nak pertahankan. Kata inilah parti keramat orang Melayu yang membawa kemerdekaan pada negara, tapi kenapa pertahan akta penjajah?
Saya ambil kenyataan Naib Presiden Umno Datuk Seri Zahid Hamidi yang berkata, “Umno bukannya parti untuk satu keturunan”.

Dan saya juga ingin menambah, Malaysia ini bukan milik satu parti sahaja. Milik parti lain, sama ada bersama Barisan Nasional atau bersama Pakatan Rakyat, atau yang tidak berparti politik – majoriti seperti saya.

Itulah silapnya, wahai tuan presiden parti Umno. Negara ini bukan milik parti kamu.

Dan tolonglah cakap dengan anggota delegasi parti kamu, janganlah jadi “microphone warrior.
Cuma orang Umno saja suka dengar berita syok sendiri.

Siapakah Pencipta Tugu Negara?

Siapakah Pencipta Tugu Negara? 

pencipta tugu negara

Lima patung-patung gangsa itu setiap satunya tingginya 15 meter. Setiap satu berdiri di atas tubuh musuh-mush yang mati digambarkan sebagai askar-askar Jepun dan pengganas komunis ( 1941-1945), dan di zaman daurat (1948-1961), di mana pengganas komunis (Bintang Tiga) mengganas secara gerila dengan menyerang dan memusnahkan kepentingan-kepentingan British di Tanah Melayu. Namun, tahukah anda siapakah pencipta Tugu Negara? 
Mengikut Sejarah, Tunku Abd.Rahman telah mendapat ilham untuk membina Tugu Negara ini semasa mengadakan Lawatan Rasmi Ke Amerika Syarikat pada tahun 1961. Dalam lawatan tersebut, Tunku Abd.Rahman telah berpeluang dan diberi penghormatan oleh pihak pentadbiran Amerika Syarikat, untuk meletakkan kalungan bunga di Tugu Kebanggaan Negara Amerika Syarikat, iaitu Tugu Pahlawan Iwojima.

Apabila Tunku Abd.Rahman, pulang ke tanah air, beliau telah mengarahkan pelan untuk membina Tugu Negara yang serupa dengan menyesuaikan bentuk pasukan bercirikan Pasukan Askar Melayu.

Sebuah kawasan di Jalan Parlimen, yang tidak jauh dari kediaman rasmi Tunku telah dipilih untuk membina tugu gangsa ini.

Menjelang tahun 1963, peruntukan sebanyak RM 1.3 juta ringgit telah berjaya dikumpulkan hasil sumbangan orang ramai dalam bentuk derma dan selebihnya ditanggung oleh Kerajaan Persekutuan.

Seorang pengukir bangsa Itali telah dihubungi, yang bernama Filex De Weldon, telah dipilih untuk menjalankan kerja-kerja mengukir patung-patung gangsa ini. Filex De Weldon, mengambil masa 3 tahun untuk menyiapkan empat patung manusia berdiri, dan beberapa patung yang menyerupai patung yang terlentang dan tertirap. Tugu Negara disiapkan 8 Februari 1966 sebagai penghormatan kepada lebih 11,000 perajurit yang gugur dalam Perang Dunia I (1914-1918), Perang Dunia II (1935-1942) dan Darurat (1948-1960).

Tugu Negara ini telah dibom pada 26hb Ogos 1975, pada jam 5.00 pagi memusnahkan satu patung besar serta dua kepala patung yang jatuh dari kedudukan asal. Pihak berkuasa percaya letupan itu dilakukan Barisan Pembebasan Kebangsaan Malaya (MNLF).

Antara penduduk yang mendengar letupan itu adalah Tunku Abdul Rahman yang tinggal berhampiran. Unit Pemusnah Bom Polis menemui dua butir bom yang belum meletup di tempat kejadian serta kesan darah dipercayai milik pengganas yang cedera, tetapi masih sempat melarikan diri. Sebaik sahaja letupan itu berlaku, polis terserempak dengan dua orang dipercayai komunis menaiki motosikal tanpa memakai topi keledar dalam keadaan mencurigakan di simpang Jalan Traves dan Jalan Bangsar, Kuala Lumpur.Ia kini telah dipulihkan pada keadaan asal.

Polis melancarkan gerakan besar-besaran mengesan empat pengganas berkenaan dan tumpuan operasi ialah di semua kebanyakan penempatan yang disyaki terutama di sekitar Bangsar. Polis percaya, kumpulan pengganas itu mungkin menyamar sebagai pekerja buruh binaan.

Sehari selepas kejadian letupan itu, polis menemui sebuah motosikal jenis Yamaha 100 cc tersadai di tempat letak kereta berhampiran pasar Jalan Pudu kira-kira jam 1 tengah hari. Berdasarkan rekod, motosikal itu dipercayai dicuri di Flet Jalan Loke Yew pada 18 Ogos.

90% Isi Rumah Malaysia Tiada Simpanan

90% Isi Rumah Malaysia Tiada Simpanan 


Mengejutkan!! Namun itulah realiti yang dihadapi oleh kebanyakkan rakyat di negara ini. 90% isi rumah di negara ini tidak mempunyai apa-apa bentuk simpanan. Ikuti laporan ini. 

Laporan pembangunan manusia Malaysia 2013 mendedahkan majoriti rakyat negara ini tidak mempunyai aset kewangan yang mencukupi untuk membantu mereka dalam kecemasan.

Menurut laporan itu, satu daripada dua rakyat Malaysia tidak mempunyai aset kewangan yang boleh dicairkan segera. Kaum melayu pula mencatat angka tertinggi sebagai mereka yang tidak mempunyai aset tersebut. Walaupun Malaysia mencatatkan kadar tabungan negara yang agak tinggi, satu daripada tiga rakyat Malaysia dilaporkan masih tidak mempunyai akaun kewangan.

Selain itu, laporan itu menyatakan 88% isi rumah tidak mempunyai sebarang pendapatan daripada simpanan manakala 57% pula merekodkan pendapatan sifar daripada pelaburan. Data daripada simpanan KWSP pula mendedahkan hampir 70% rakyat Malaysia berumur 54 tahun mempunyai simpanan kurang daripada RM50,000 yang dijangka hanya mampu menampung kehidupan untuk tempoh kurang lima tahun. Dengan kenaikan kos sara hidup yang tinggi sudah pasti simpanan KWSP ini tidak cukup untuk menanggung kehidupan selepas itu dan sudah pasti terpaksa bekerja semula untuk menampung kehidupan. 


Ia juga menjelaskan simpanan KWSP yang rendah adalah disebabkan hakikat majoriti rakyat Malaysia memperoleh pendapatan yang rendah. 

Infografik Di Bawah Ini Menyimpulkan Segalanya:


Kucing Dibunuh Kejam di Pulau Pinang

Tergamak Manusia Mengikat dan Membunuh Kucing Terbiar


Seekor kucing jalanan ditemui mati dan badan kucing itu terburai. Kejadian itu berlaku di Seberang Perai, Pulau Pinang. Pihak berkuasa juga mendakwa tidak ada apa yang boleh mereka lakukan. Kenapa manusia tergamak melakukan perkara sedemikian? Mentalkah pelaku tersebut yang menganiayai binatang? 

Seorang warga Pulau Pinang, Azra Azreen selalu memberi makanan kepada seekor kucing jalanan dibelakang rumah beliau di Taman Cenderawasih. Beliau juga menamakan kucing tersebut sebagai Socky. 


Sudah menjadi lumrah kucing yang terbiar akan berasa takut dan akan melarikan diri apabila didekati oleh manusia. Pada 24 November, Azra terkejut apabila baru pulang dari rumah selepas bekerja apabila menjumpai Socky yang telah mati di tengah sebuah padang. Leher dan dua kaki depannya diikat dengan tali rafia. 

Tidak cukup dengan itu, Socky juga dibunuh dengan kejam. Perutnya terburai dan najis kucing tersebut terkeluar dari perut binatang tersebut. Bagi pencinta haiwan sudah pasti berang bagaimana seseorang boleh melakukan perkara yang sekejam ini. Azra juga telah membuat satu laporan tentang kejadian tersebut namun hampa. Pihak berkuasa mendakwa tidak boleh berbuat apa-apa walaupun jika terdapat saksi kejadian. Azra kemudian memuat naik satu status di halaman Facebook mengenai kejadian tersebut dan meminta pengguna Facebook untuk berkongsi status beliau dengan harapan dapat meningkatkan kesedaran orang ramai tentang hak haiwan di negara ini yang diketahui masih lemah. 

8 Nama Jalan Ditukar kepada Nama Sultan. Siapakah 8 Sultan Tersebut

8 Nama Jalan Ditukar kepada Nama Sultan. Siapakah 8 Sultan Tersebut? 



DBKL telah menukar 8 nama jalan di Kuala Lumpur dan diganti dengan nama 8 Sultan yang pernah ditabalkan menjadi Agong. Untuk memahami rasional pertukaran nama jalan ini, mari lihat lebih dekat 8 Sultan tersebut. 

1. Jalan Tunku Abdul Halim (Jalan Duta)


Tunku Abdul Halim merupakan Yang Di-Pertuan Agong pada masa ini. Tahukah anda Tunku Abdul Halim cuma seminggu lebih tua daripada raja paling lama memerintah dalam dunia iaitu Raja Bhumibol Adulyadej, Thailand. Jambatan Kedua Pulau Pinang juga dinamakan sempena nama Tunku Abdul Halim. 

2. Jalan Sultan Haji Ahmad Shah (Jalan Khidmat Usaha)


Yang Di-Pertuan Agong ketujuh ini merupakan seorang peminat bola dan juga sebuah pertandingan bola dinamakan sempena Sultan Haji Ahmad Shah. Di Pahang, sebuah kolej juga diberi nama sempena nama Sultan Pahang ini. 

3. Jalan Sultan Azlan Shah (Jalan Ipoh)


Almarhum Tuanku juga dikenali sebagai “Bapa Hoki Malaysia” diatas sumbangan almarhum kepada sukan hoki di negara ini. Baginda juga merupakan Ketua Hakim Negara paling muda pernah dilantik dalam sejarah. 

4. Persiaran Tuanku Syed Sirajuddin (Persiaran Duta)

Sultan Perlis ketika ini juga merupakan seorang peminat kelab bolasepak Inggeris, Tottenham Hotspurs. Baginda mempunyai dedikasi serta mengambil berat akan perihal rakyat Perlis. Baginda amat mementingkan pelajaran dan mempunyai sebuah yayasan untuk membantu pelajar yang berkelayakan. 

5. Jalan Sultan Mizan Zainal Abidin (Jalan Khidmat Setia and Jalan Ibadah)


Sultan Mizan merupakan Yang Di-Perutan Agong paling muda dilantik apabila beliau menjadi Sultan Terengganu pada tahun 1998. Selain itu, sebuah masjid di Putrajaya juga diberi nama sempena nama baginda. 

6. Lebuhraya Sultan Iskandar (Lebuhraya Mahameru)


Almarhum Sultan Iskandar tidak lari dengan pelbagai drama dan kontroversi. Antara kontroversi yang paling hangat ialah “Insiden Gomez“. Almarhum juga terkenal dengan minatnya terhadap motorsikal berkuasa tinggi. Baginda juga mempunyai seekor merak sebagai binatang peliharaan. 

7. Persiaran Tuanku Ja’afar (Persiaran Mahameru)


Tuanku Ja’afar dan keluarga dikenali sebagai “Keluarga DiRaja Sukan” kerana meminati pelbagai jenis sukan seperti skuash, kriket dan badminton. Sebuah sekolah antarabangsa juga dinamakan sempena nama baginda iaitu Kolej Tuanku Ja’afar (KTJ). 

8. Jalan Sultan Yahya Petra (Jalan Semarak)


Sultan Yahya Petra merupakan Yang Di-Pertuan Agong ke enam. Sebuah bandar di Sarawak turut dinamakan sempena nama baginda iaitu Petra Jaya. Di Kelantan, Jambatan Raja Yahya Petra turut dinamakan sempena nama baginda. 

Cara Selamatkan Handphone Masuk Air

Cara Selamatkan Handphone Masuk Air


Kadang kala ada diantara kita yang cuai dan kadang kala juga benda akan tetap terjadi. Mungkin ada yang pernah mengalami handphone terjatuh di dalam air. Berikut adalah cara-cara untuk menyelamatkan handphone anda. 

Langkah 1: Kelajuan adalah kunci utama. Lagi cepat anda menyelamatkan handphone anda dari dalam air lagi tinggi peluang untuk mengelakkan handphone anda dari rosak. 


Langkah 2: Tutup telefon dan tanggalkan simkad serta bateri jika boleh dengan sepantas yang mungkin. Tidak guna jika anda mencuba untuk menekan butang-butang untuk melihat handphone anda berfungsi atau tidak. 


Langkah 3: Untuk langkah ini, anda haruslah berhati-hati. Buka dan aturkan bahagian dalaman handphone anda untuk mempercepatkan proses pengeringan. Jika anda tidak konfiden dengan langkah ini, sila abaikan. 


Langkah 4: Keringkan handphone anda dengan menggunakan tuala atau apa saja fabrik yang serap air. Tujuan utama ialah untuk menyerap sebanyak mungkin air yang telah masuk ke dalam handphone anda. 


Langkah 5: JANGAN ambil pengering rambut! Haba dari alat tersebut akan merosakkan handphone anda dan mungkin akan menyebabkan sistem elektronik didalam handphone anda rosak. 


Langkah 6: Gunakan vakum ataupun compressed air untuk mengeluarkan lebihan air yang mungkin masih berada dalam handphone anda. 


Langkah 7: Kemudian, letakkan handphone anda dalam bekas beras yang belum dimasak atau gel silika yang mempunyai kebolehan untuk menyerap air. 


Langkah 8: Langkah yang paling penting ialah sabar. Biarkan handphone anda selama 24 jam bagi atau lebih baik selama 72 jam. 
Setelah anda yakin bahawa handphone anda benar-benar telah kering, anda boleh cuba untuk hidupkan semula handphone anda. Dan jika semua langkah ini gagal, anda kini mempunyai alasan untuk membeli sebuah handphone yang baru!

7 Transgender Berpengaruh di Malaysia

7 Transgender Berpengaruh di Malaysia

Di Malaysia, golongan transgender sering dipandang rendah, dihina, diskriminasi hanya kerana golongan tersebut masih lagi tidak boleh diterima oleh masyarakat umum kerana timbul pelbagai persoalan tentang agama dan moral. Namun, berikut adalah 8 transgender yang menempuh halangan tersebut dan aktif dalam usaha merubah pandangan masyarakat terhadap golongan tersebut. 

1. Khartini Slamah


Pengurus Program bagi ISEAN Hivos Program di Pink Triangle (PT) Foundation. Khartini memulakan kerjaya sebagai pekerja sukarela apabila pihak berkuasa Malaysia mendakwa kerana berpakaian tidak senonoh. Walaupun tewas dalam kes tersebut, Khartini membuat keputusan untuk terus memperjuang hak golongan terbabit. Khartini mempunyai pengalaman 27 tahun bekerja bersama golongan transgender di peringkat tempatan serta global

2. Nisha Ayub


Seorang pengurus program di PT Foundation dan juga ahli Justice for Sisters. Ketika dipenjara selama 3 bulan kerana ditahan oleh jabatan agama, Nisha telah diserang secara seksual oleh banduan yang memaksa Nisha melakukan aksi lucah hanya kerana Nisha seorang transgender. Setelah berpindah ke Kuala Lumpur, Nisha membuat keputusan untuk menjadi pembela golongan tersebut.

3. Hazreen Shaik Daud


Hazreen adalah setiausaha politik bagi ADUN Tanjung Bungah Teh Yee Cheu. Seorang pemegang diploma adalah bekas pekerja NGO dan berupaya berkomunikasi dalam Mandarin, Bahasa Melayu dan Inggeris. Antara tugas Hazreen ialah mengawal selia komuniti transgender serta menganjurkan kempen dan forum untuk mengubah persepsi umum terhadap komuniti tersebut. 

4. Sulastri Ariffin 


Sulastri Ariffin pernah bekerja sebagai pekerja seks sebelum ditahan oleh pihak berkuasa selepas meninggalkan keluarga di Sarawak. Sulastri kini adalah salah seorang pengurus program bagi PT Foundation dan membantu golongan transgender lain yang mempunyai masalah keluarga atau diskriminasi kerja. 

5. Yuki Vivienne Choe


Pengasas TransMalaysia, Viki aktif menulis dalam blog serta webzines mengenai golongan transgender dan LGBT. Viki merupakan seorang aktivis yang dikenali diperingkat global kerana tulisan-tulisan di Tilted World serta Ex-Gay Watch yang berpengkalan di Amerika Syarikat. Viki mengganggap dirinya adalah sebagai khunsa sejak dilahirkan. 

6. Sharan Shuresh


Seorang aktivis dan juga pegawai ISEAN untuk PT Foundation. Walaupun ditentang keluarga dengan keputusan Sharan untuk menjadi seorang wanita, Sharan tetap bertekad dengan keputusan tersebut. Seperti golongan transgender yang lain, Sharan turut diserang secara seksual kerana bersikap seperti perempuan. 

7. Dr. Jessie Chung


Pengasas Natural Health Farm serta naib presiden Malaysia Anti Cancer Association (MACA). Dilahirkan sebagai Jeffrey Chung dan berasal dari satu keluarga yang berpengaruh di Sarawak. Jessie juga pernah menulis beberapa buku dan diterjemah ke bahasa Inggeris serta Melayu. Mempunyai PhD dalam bidang perubatan dan pengkhususan dalam onkologi selain diiktiraf sebagai pengamal perubatan tradisional Cina (TCM). 

Cebisan Al-Quran Dibakar di Tokong Cina

GEMPAR!! Cebisan Al-Quran dibakar di tokong cina


Apakah tujuan cebisan Al-Quran ini dibakar di sebuah tokong cina? 

Beberapa cebisan Al-Quran dipercayai dibakar dan ditemui di kawasan pasar raya Billion di Jalan Tungku Abdul Rahman, Alor Setar. 


Kejadian disedari pada awal pagi 20 November apabila seorang lelaki bersama anaknya ternampak beberapa cebisan Al-Quran terbakar disebuah tokong berdekatan. 


Pihak polis yang menerima aduan mengesyaki individu yang melakukan perbuatan ini barangkali mempunyai masalah mental atau bertujuan memuja nombor ekor. 


Dalam perkembangan terbaru, pihak polis berjaya menahan seorang lelaki yang masih belum diketahui identitinya. Lelaki tersebut di tahan pada hari yang sama kira-kira jam 3 petang hasil bantuan orang awam. 



Apungkan Harga Minyak RON95

Isu Harga Minyak: Apungkan Harga Minyak


Harga minyak mentah di pasaran antarabangsa sejak harga RON95 dan Diesel di Malaysia dinaikkan kerajaan pada 2 Oktober bulan lepas sudah turun sekurang-kurangnya US$15 setong dari $92 setong hingga $77 setong semalam. 


Ramai yang tertanya-tanya mengapa kerajaan tidak menurunkan harga runcit RON95 dan diesel di stesen-stesen minyak di kala harga minyak mentah menjunam di pasaran antarabangsa.

Disebabkan petrol dan diesel di Malaysia telah disubsidi sejak tahun 1999, maka harga bahan api ini tidak terpengaruh dengan naik turun harga minyak mentah di pasaran antarabangsa.

Sumber: Statistik Petroleum KPDNKK
Mekanisme pengiraan subsidi petrol dan diesel sudah pun saya terangkan di dalam tulisan sebelum ini yang ditetapkan melalui Automatic Pricing Mechanism (APM) di mana pengiraan subsidi untuk setiap liter petrol dan diesel ditentukan oleh beberapa faktor seperti harga penanda aras produk RON95 dan diesel iaitu Mean of Platts Singapore (MOPS95) dan Gasoil Singapore, kos operasi yang terdiri daripada kos pemasaran dan pengangkutan produk, margin keuntungan kepada syarikat minyak dan pengusaha stesen minyak dan cukai jualan (yang dikecualikan) seperti yang tertera di bawah:
Sumber: Laman Web KPDNKK

Kos tetap APM (termasuk Alpha) untuk RON95 adalah RM0.32 (dibundarkan) manakala untuk diesel adalah RM0.27.


Harga RON95 dan Diesel terpengaruh dengan harga penanda aras produk iaitu MOPS95 dan Gasoil yang berubah setiap hari manakala kos APM tidak berubah kerana ia ditetapkan oleh kerajaan.

Sejak pertengahan bulan Oktober harga MOPS95 (atau Singapore MOGAS 95 Unleaded) dan Gasoil Singapore juga menurun secara mendadak mengikut harga minyak mentah pasaran antarabangsa. 

Untuk RON95 harga sebenar atau harga APM berlegar sekitar RM2.20 hingga RM2.30 seliter seperti pengiraannya dibawah:

Sumber: McGraw Hill Platts – CME
  1. Harga setong produk MOPS95 adalah US$92.17 bermakna harga seliter adalah $0.58. 
  2. Harga seliter MOPS95 dalam ringgit adalah RM1.93 (tukaran US Dollar kepada Ringgit Malaysia mengikut kadar pasaran digunapakai Bank Negara Malaysia).
  3. Harga MOPS95 setiap liter RM1.93 ditambah dengan kos tetap APM RM0.32 menjadikan harga pasaran RON95 yang sebenarnya adalah RM2.25/liter.
  4. Ini bermakna hari ini RON95 tidak lagi disubsidi oleh kerajaan malah kerajaan sebenarnya mengutip 5 sen (RM2.30 tolak RM2.25) bagi setiap liter yang dibeli oleh pengguna.
Sejak pertengahan Oktober kerajaan sebenarnya tidak lagi mensubsidi RON95, di mana harga MOPS95 kekal rendah walaupun berubah-ubah.

Walaubagaimanapun diesel masih lagi disubsidi lebih kurang 10 sen ke 15 sen seperti pengiraanya dibawah:

  1. Harga Gasoil (Diesel) setong adalah $96.40 bermakna harga seliter Gasoil adalah $0.606.
  2. Harga seliter Gasoil dalam Ringgit Malaysia adalah RM2.02.
  3. Harga Diesel seliter ditambah dengan kos APM sejumlah RM0.27 menjadikan harga pasaran diesel yang sebenarnya adalam RM2.29/liter.
  4. Ini bermakna hari ini kerajaan masih mensubsidi diesel sebanyak 9 sen (RM2.20 harga di stesen minyak kurang daripada harga pasaran) bagi setiap liter yang dibeli oleh pengguna.
Oleh sebab RON95 tidak lagi disubsidi malah kerajaan mengutip hasil daripada lebihan harga di stesen minyak tolak harga sebenar, saya berpendapat ini adalah masanya yang paling sesuai untuk kerajaan menghapuskan subsidi petrol RON95 dan mengapungkan harga mengikut harga pasaran. 

Faedahnya kepada pengguna adalah mereka boleh menikmati harga pasaran yang lebih rendah daripada harga RM2.30 yang ditetapkan kerajaan. 

Manakala faedahnya kepada kerajaan adalah kerajaan tidak lagi perlu menanggung subsidi petrol RON95 selagi harga minyak mentah dan MOPS95 kekal rendah di mana ia dijangka akan kekal rendah untuk tempoh 2 tahun yang akan datang. 

Kerajaan boleh mengekalkan penetapan kos APM untuk sementara waktu dalam tempoh percubaan sebelum betul-betul membiarkan kuasa pasaran menetapkan harga petrol di mana syarikat minyak akan menentukan kos operasi, margin keuntungan syarikat dan stesen minyak tanpa perlu ditetapkan kerajaan. 

Harga petrol RON95 akan berubah-ubah setiap hari mengikut harga MOPS95 dan ya ada risiko harga RON95 akan meningkat pada masa akan datang sekiranya harga minyak mentah di pasaran antarabangsa meningkat walaubagaimanapun kerajaan boleh membantu mengurangkan beban pengguna sekiranya harga di pasaran naik terlampau tinggi dengan memberi rebat tunai kepada mereka yang layak.

Bagi diesel pula, secara idealnya memang sepatutnya ia juga diapungkan mengikut harga pasaran dan dihapuskan subsidi, akan tetapi mungkin kerajaan boleh mempertimbang memberi subsidi diesel yang lebih kurang 10 sen seliter buat sementara waktu sehingga harga penanda aras Gasoil turun pada paras di mana kerajaan tidak perlu lagi menanggung subsidi diesel.

Ini kerana harga diesel mempengaruhi kos-kos seperti harga makanan dan barangan asas yang lain.

Selain daripada itu kerajaan juga boleh memperkenalkan produk diesel yang lebih mesra alam dimana kandungan sulfurnya rendah seperti Diesel Euro 5 yang diperkenalkan di beberapa buah stesen minyak di sekitar Johor.

Harga diesel yang lebih bersih daripada diesel sekarang lebih tinggi tetapi faedahnya adalah kepada pengurangan pencemaran alam sekitar dan prestasi dan ketahanan enjin yang lebih baik.

Peluang menghapuskan subsidi petrol dan diesel perlu diambil oleh kerajaan jika kerajaan serius untuk mengamalkan pengurusan kewangan atau disiplin fiskal yang mampan. 

Selain daripada mengurangkan bebanan kewangan kerajaan, rakyat Malaysia yang menjadi pengguna bahan api boleh disediakan untuk membiasakan diri dengan harga pasaran sebenar dan bukan lagi harga artifisial ditetapkan kerajaan.

Jika harga minyak diapungkan mengikut harga pasaran kerajaan juga tidak perlu memperkenalkan skim subsidi bersasar yang baru mengikut kuota, mykad dan pendapatan seperti yang diwar-warkan sebelum ini kerana ia akan melibatkan kos yang baru malah boleh menyebabkan penyalahgunaan kuota, penipuan pendapatan bagi mereka yang bekerja sendiri dan lain-lain.

Jika kerajaan tetap berkeras mahu melaksanakan skim subsidi bersasar ini maka janganlah hairan jika rakyat menyalah anggap bahawa skim subsidi ini adalah satu lagi projek untuk mengkayakan kroni:

Pembida Skim Subsidi Bersasar
Harga minyak mentah dijangka akan terus menerima tekanan ke bawah atas beberapa faktor seperti lebihan produksi atau penghasilan minyak, permintaan yang menurun secara relatif dan US Dollar yang semakin mengukuh kesan daripada ekonomi US yang semakin pulih.

Di samping itu ahli OPEC seperti Arab Saudi dan Kuwait tetap berkeras tidak mahu mengurangkan produksi minyak mentah untuk melonjakkan harga atas sebab-sebab tertentu jadi secara fundamentalnya tiada faktor yang kukuh harga minyak akan naik dalam waktu yang terdekat walaupun ia tidak mustahil tetapi kebarangkaliannya rendah.

Selaku pedagang komoditi seperti minyak, saya mengjangkakan harga minyak mentah akan terus menurun dan mungkin akan stabil pada harga $65 setong bagi Brent Crude.

Saya menyeru kepada kerajaan marilah mengamalkan pengurusan ekonomi yang baik, hentikan polisi-polisi mengarut seperti skim subsidi bersasar, apungkan harga petrol dan diesel mengikut harga pasaran dan jika betul-betul ingin membantu mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana berilah rebat tunai kerana pemberian tunai atau cash transfer adalah lebih berkesan dan lebih menjimatkan daripada skim subsidi bersasar.


*BONUS HARGA RON97

Sejak RON95 diperkenalkan pada tahun 2009, mulai 2010 RON97 tidak lagi disubsidi oleh kerajaan. 

Walaubagaimanapun harga RON97 tidaklah diapungkan mengikut harga pasaran secara terus tetapi harganya dikawal secara managed-float mengikut harga pasaran yang kebiasaannya harga RON97 akan berubah pada awal bulan. 

Akan tetapi kali terakhir harga RON97 diturunkan adalah pada awal september yang lalu iaitu turun sebanyak 10 sen daripada RM2.85/liter kepada RM2.75/liter walaupun harga pasaran minyak mentah antarabangsa turun mendadak dalam tempoh tersebut.

Jika dilihat harga RON97 sebenarnya dengan mengambilkira lebih kurang kos APM tetap seperti RON95 iaitu RM0.32:


  1. Harga setong MOPS97 adalah $93.68 bermakna harga seliter MOPS97 adalah $0.59.
  2. Harga MOPS97 seliter dalam ringgit adalah RM1.97 ditambah dengan kos APM RM0.32 menjadikan harga sebenar RON97 iaitu RM2.29/liter.
Adakah anda terkejut? Ya harga RON97 dan harga RON95 sebenarnya tidak banyak berbeza, perbezaannya (spread) hanya beberapa sen sahaja setiap liter.

Malah harga RON97 sebenar sekarang lebih rendah daripada harga RON95 yang ditetapkan kerajaan iaitu RM2.30 seliter. 

Ini bermakna kerajaan mengutip 45 sen cukai bagi setiap liter RON97 yang dibeli pengguna.

Sebagai pengguna RON97 dan mengetahui harga sebenar RON97, saya rasa kerajaan patut mengurangkan harga RON97 sekurang-kurangnya 10 sen atau lebih baik 20 sen. 

Bukanlah pengguna RON97 tidak mahu atau mampu membayar lebih tetapi kerajaan sendiri yang mengatakan bahawa RON97 akan ditentukan mengikut harga pasaran jadi lebih molek harga RON97 diturunkan untuk menggambarkan keadaan sebenar harga minyak antarabangsa. 

oleh Norman G Masdar

Pemandu Malaysia Naik Hantu Bila Memandu?

Pemandu Malaysia Naik Hantu Bila Memandu? 


Dua kejadian buli jalanraya berlaku pada hari yang sama. Seorang pemandu teksi menampar seorang wanita, manakala seorang pemandu lelaki telah meludah dan mematahkan wiper kereta. Apa nak jadi dengan sikap pemandu di negara ini? 

Lagi sekali kisah pembuli jalanraya hangat di media sosial baru-baru ini. Seorang pengguna Facebook, Jeslene Tan menggunakan media sosial untuk mendedahkan seorang pembuli jalanraya yang menyerangnya secara fizikal di Jalan Raja Chulan selepas bertengkar dengan seorang pemandu teksi. 


Menurut cerita mangsa, pemandu teksi berkenaan enggan membenarkan keretanya melepasi jalan yang sempit terlebih dahulu yang kemudiannya melanggar kereta milik mangsa. Kedua-dua mereka keluar dari kenderaan dan berlaku pertengkaran. Sejurus itu, pemandu teksi berkenaan menampar wanita tersebut. 


Pada hari yang sama, turut berlaku kejadian buli jalanraya di Subang Jaya, USJ. Dalam kejadian itu, seorang lelaki bertindak meludah cermin kereta dan merosakkan wiper kereta milik seorang wanita. 


Wanita berkenaan berkongsi imej pembuli jalanraya tersebut di Facebook dan telah menjadi viral sejak itu sehingga mendapat 5,700  kongsian oleh pengguna Facebook yang lain. Pembuli jalanraya tersebut telah ditahan polis untuk siasatan lanjut. 


Dengan 2 kejadian buli jalanraya yang berlaku dalam masa sehari, serta pelbagai cerita yang dikongsi mengenai pembuli jalanraya tahun ini, ianya menunjukkan satu masalah yang serius dan berterusan di negara ini. Tindakan melakukan kerosakan atau ugutan boleh didakwa di bawah Seksyen 427 dan 506 Kanun Keseksaan. 

Mengapakah kejadian ini semakin berleluasa? Bagaimanakah seseorang boleh bertindak ganas dalam keadaan tersebut atau lebih tepat lagi bertindak ganas apabila sedang memandu kenderaan? 

Sebenarnya, ia merupakan satu tindak balas psikologikal yang berkaitan dengan kenaikan tekanan darah dalam badan dan tahap hormon testosteron selain dari tingkatnya pernafasan serta adrenalin yang dihasilkan dalam keadaan tersebut. 

Jika anda seorang yang panas baran ketika memandu, melepaskan baran anda kepada pengguna jalanraya yang lain bukanlah tindakan yang bijak. Berikut adalah cara untuk mengelakkan diri dari menjadi mangsa pembuli jalanraya. 

Cara paling mudah ialah untuk tidak melilbatkan diri dalam sebarang bentuk konfrontasi atau tindakan kurang ajar. 


Seperti keadaan tertekan yang lain, adalah amat penting untuk terus kekal tenang untuk elakkan keadaan menjadi lebih tegang. Namun, jika keadaan terus tegang, pastikan diri anda selamat terlebih dahulu dengan mendapatkan bantuan atau terus pandu kenderaan anda ke balai polis yang berdekatan. 

Ianya tertakluk kepada setiap individu atau pengguna jalanraya itu sendiri untuk menyelesaikan masalah pembuli jalanraya ini. Selain berkongsi di media sosial untuk meningkatkan kesedaran orang ramai, setiap pengguna jalanraya hendaklah hormat menghormati ketika berada di atas jalanraya. Biarlah kita menjadi solusi dan bukan menjadi salah satu puncanya.